Ramai Tak Tahu Hidap Darah Tinggi


Kuala Lumpur: Masih ramai dalam kalangan rakyat di negara ini tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi kerana penyakit itu tidak mempunyai gejala khusus menyebabkan mereka sering mengabaikan rawatan.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia Prof Datin Dr Chia Yook Chin berkata, sekiranya pesakit mula menyedari berlaku gejala tertentu memberi petanda sudah terlambat kerana penyakit berkenaan sudah merosakkan sebahagian fungsi badan mereka. “Sebab itu, adalah lebih baik penyakit tekanan darah tinggi disekat di peringkat permulaan daripada membiarkannya menjadi bertambah teruk dan membawa kepada komplikasi lain.

“Bagaimanapun, jika pesakit sudah didiagnos menghidap penyakit berkenaan, terapi paling efektif mampu mengawal penyakit itu hanya jika pesakit berkenaan bersungguh-sungguh mengambil ubat yang disaran, mematuhi arahan rawatan dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-11 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2014 di sini, semalam.

Dalam pada itu, menerusi Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 oleh Kementerian Kesihatan, 32.7 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap hipertensi berbanding 20.7 peratus pada 1996 dan 32.2 peratus pada 2006.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa daripada jumlah berkenaan, 19.8 peratus tidak mendapatkan diagnosis.

Tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai keadaan apabila tekanan darah dalam arteri atau salur darah meningkat secara kronik. Tekanan darah seseorang yang kurang dari 120/70 mmHg didefinisikan sebagai normal.
Hipertensi biasanya terjadi pada tekanan darah 140/90 mmHg atau ke atas dan ia diukur pada kedua-dua lengan sebanyak tiga kali dalam jangka masa beberapa minggu. Jika bacaan masih sama, maka seseorang itu menghidap darah tinggi.

Tekanan darah tinggi kebiasaannya berlaku dalam beberapa keadaan antaranya jantung berdegup atau mengepam lebih kuat bagi mengalirkan lebih banyak darah pada setiap kali degupan.

Darah Tinggi Ancam Ginjal

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Saat diberitahu berita itu, 15 tahun lalu, Tengku Rohani Husain, 58, merasakan dunianya gelap selain sedih kerana masih ada tanggungjawab yang perlu digalas apatah lagi waktu itu anak bongsunya baru berusia empat tahun.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, semuanya tanpa diminta namun mungkin sudah takdirnya. Mujur suami dan anak-anak sentiasa berdiri di sisi dan tidak putus-putus memberi sokongan moral kepadanya.

“Saya tidak pernah menduga akan mendapat penyakit ini. Tahu sajalah penyakit buah pinggang memerlukan kos tinggi setiap kali rawatan terutama hemodialisis.

“Memang perit sewaktu melakukannya malah tekak berasa kering dan cepat haus. Namun saya gagahkan diri kerana memikirkan masa depan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kesedaran Buah Pinggang di ibu kota baru-baru ini.

Hemodialisis proses mengalirkan darah keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer atau ginjal tiruan.

Selain itu, juga terdapat rawatan alternatif pesakit buah pinggang iaitu peritonial dialisis (PD) yang dilakukan dalam badan. Selaput nipis yang dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen meliputi semua rongga abdomen.

Ia separa telap iaitu hanya bahan-bahan tertentu boleh melalui selaput berkenaan. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah ketika dialisis.

Menurut Rohani, rawatan hemodialisis yang dilakukan membuatkan dirinya sering berulang alik ke pusat dialisis kerana rawatan itu hanya boleh dilakukan di luar.

“Dalam seminggu, tiga kali saya perlu membuat rawatan. Ada kala perlu menunggu dan kalau kurang bernasib baik tidak dapat peluang menjalani rawatan berkenaan disebabkan ramai orang apatah lagi saya mempunyai masalah tulang yang menyebabkan badan sering sakit-sakit,” katanya.

Tidak lama selepas itu, doktor mengesyorkan supaya Rohani menukar rawatan hemodialisis kepada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

CAPD berfungsi menggunakan prosedur pertukaran yang perlu dipelajari ketika latihan. Sebagai permulaan, tiub lembut steril peritonial dialisi (PD) disambung kepada set tiub.

Larutan yang berada dalam abdomen pada pertukaran sebelumnya mesti disalur keluar daripada rongga peritoneum ke dalam beg yang sudah tersambung.

Apabila cecair sudah dikeluarkan sepenuhnya daripada rongga peritoneal larutan dialisis baru disalur masuk melalui tiub mengisi rongga peritoneum dengan jumlah cecair baru yang ditetapkan.

Beg dan set tiub kemudian ditanggalkan dan dibuang. Dalam fasa pengantaraan (dwell) ini, apabila cecair berada dalam rongga peritoneum barulah dialisis sebenar atau penapisan bahan buangan dan cecair berlaku membuatkan anda bebas menjalankan kegiatan harian sambil dialisis berlaku dalam rongga peritoneum.

Setiap pertukaran mengambil masa 30 minit dan dilakukan setiap empat hingga enam jam. Pertukaran malam terakhir kekal atau disimpan dalam rongga peritoneum semalaman ketika tidur.

Katanya lagi, CAPD lebih memberi kebebasan melakukan dialisis di rumah, tempat kerja malah ketika bercuti.

“Kehidupan saya berubah sepenuhnya selepas menukar rawatan ke CAPD. Kini saya bebas membuat aktiviti harian seperti bercucuk tanam, memasak, membuat kerja rumah dan lain.

“Kini saya menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain. Paling penting rawatan ini memerlukan tahap penjagaan kebersihan paling tinggi bagi mengelakkan sebarang gangguan,” katanya yang mempunyai bilik khas di kediamannya yang dilengkapi penghawa dingin bagi melakukan rawatan CAPD.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher berkata, penyakit buah pinggang adalah pembunuh secara senyap yang mungkin tidak diketahui orang ramai.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan Malaysia akan mempunyai 2.48 juta penghidap sakit buah pinggang menjelang 2030. Reaksi takut, gerun dan terkejut saja tidak bermakna, sebaliknya semua perlu prihatin menjaga kesihatan.

“Terdapat pelbagai rawatan untuk pesakit. Rutin pemeriksaan kesihatan harian amat penting bagi mengelakkan penyakit menjadi semakin serius,” katanya.

Katanya, sembilan tahun lalu, bilangan pesakit yang menjalani dialisis di Malaysia meningkat tiga kali ganda daripada 9,034 pada 2002 kepada 26,159 tahun lalu.

Keadaan ini berpunca daripada cara hidup tidak sihat yang menyebabkan penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis menyebabkan kerosakan buah pinggang.



Info


  • Dialisis - Rawatan perubatan membantu pesakit mengalami kegagalan buah pinggang untuk mengeluarkan bendalir dan bahan buangan daripada darah.

  • Hemodialisis - Dialisis yang membersihkan darah dengan mengalirkannya keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer.

  • Peritonial dialisis (PD) - Dilakukan dalam badan. Selaput nipis dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen serta meliputi kesemua organ dalam rongga abdomen. Ia separa telap yang bermaksud hanya bahan tertentu boleh melalui selaput berkenaan. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah sewaktu dialisis.
  • Darah Tinggi Pembunuh Senyap

    Tekanan darah tinggi juga dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak memberikan tanda atau amaran.
    Sekiranya tidak dirawat, ia boleh membawa risiko sera­ngan jantung, strok, penyakit buah pinggang dan dementia (nyanyuk).


    Ia berlaku apabila jantung menggunakan tekanan berlebihan bagi mengepam darah ke urat dan arteri manakala peningkatan berulang kali ini menyebabkan tekanan darah tinggi kronik.

    Tekanan darah tinggi berlaku mungkin disebabkan faktor persekitaran termasuk sejarah keluarga, diet natrium yang tinggi, pengambilan alkohol berlebihan, corak kehidupan yang tidak aktif, tekanan dan merokok.
    Foto


    Berikut panduan untuk mengawal tekanan darah:

  • Jalani pemeriksaan tekanan darah secara tetap.
  • Kekalkan berat badan seimbang.
  • Kurangkan pengambilan garam.
  • Amalkan pemakanan seimbang.
  • Kurangkan minuman beralkohol.
  • Jangan ponteng mengambil ubat walaupun sehari. Pastikan ubat dimakan mengikut jadual.
  • Tepati temu janji de­ngan doktor bagi membolehkan dok­tor memantau kesihatan secara menyeluruh.
  • Mulakan bersenam, sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor jenis senaman yang sesuai.
  • Jika disahkan mengalami tekanan darah tinggi, pastikan seisi keluarga turut dibawa menjalani pemeriksaan tekanan darah secara tetap kerana mereka juga berisiko tinggi mendapat masalah sama.
  • Belajar menangani tekanan dan cuba jalani kehidupan sebaik mungkin.


    Antara panduan pencegahan dan mengatasi tekanan darah tinggi:
  • Ambil makanan yang mengandungi kalium, magnesium dan kalsium yang mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.
  • Senaman secara teratur dapat menurunkan tekanan darah tinggi. Jika anda menderita tekanan darah tinggi, pilih senaman olahraga yang ringan seperti berjalan kaki, berbasikal, lari santai dan berenang. Lakukan selama 30 hingga 45 minit sehari sebanyak tiga kali seminggu.
  • Makan sayur dan buah berserat tinggi seperti sayuran hijau, pisang, tomato, tembikai dan oren.
  • Jalani terapi antitekanan untuk mengurangkan tekanan
  • Berhenti merokok.
  • Kawal kadar kolesterol.
  • Kawal diabetes.
  • Hindari ubat yang boleh meningkatkan tekanan darah dan dapatkan nasihat doktor jika menerima rawatan untuk penyakit tertentu.

    Tekanan darah tinggi bukan suatu penyakit yang tidak boleh diatasi kerana paling penting, gunakan cara betul untuk menanganinya.

  • http://www.hmetro.com.my/articles/Pembunuhsenyap/Article

    4.8 Juta Penduduk Hidap Darah Tinggi


    Subang: Lebih separuh rakyat Malaysia berumur 40 tahun dan lebih dijangka menghidap penyakit darah tinggi menjelang 2025 berikutan kurangnya amalan gaya hidup sihat serta budaya pemakanan yang tidak sihat.
    Pengerusi Persatuan Hipertensi Malaysia (PHM) Datin Dr Chia Yook Chin berkata, pada 2006, statistik menunjukkan 32.6 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap masalah tekanan darah tinggi manakala 42.6 peratus berusia 40 tahun dan lebih.

    “Bagaimanapun pada 2011, jumlah ini meningkat kepada 33 peratus (melebihi 18 tahun) dan 45 peratus (40 tahun atau lebih).

    “Berikutan itu, tidak mustahil lebih separuh rakyat di negara ini yang berumur lebih 40 tahun boleh menghidap penyakit ini apatah lagi dengan masalah kegemukan yang membelenggu masyarakat turut menjadi penyumbang kepada penyakit darah tinggi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

    Katanya, ketika ini secara keseluruhan dianggar 4.8 juta penduduk di Malaysia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi atau dikenali sebagai hipertensi.

    “Lebih membimbangkan dua daripada tiga pesakit tidak mengetahui mereka menghidap tekanan darah tinggi memandangkan ia tidak menunjukkan tanda awal seperti penyakit berbahaya lain.
    “Perlu diingatkan penyakit darah tinggi menyumbang 62 peratus kepada semua jenis penyakit, termasuk strok dan 49 peratus penyakit jantung selain turut menyebabkan masalah buah pinggang serta kegagalan fungsi hati.

    “Justeru, saya menggesa orang ramai membuat pemeriksaan berkala setiap tahun bagi memastikan mereka tidak menghidapi penyakit darah tinggi,” katanya.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/4_8jutapendudukhidapdarahtinggi/Article/index_html

    Darah Tinggi Bagai Bom Jangka


    Pesakit akan disahkan mempunyai tekanan darah tinggi jika tekanan itu berterusan untuk selang beberapa kali bacaan dalam jarak masa yang berbeza. Pradarah tinggi pula dikatakan jika tekanan sistolik antara 120 hingga 139 mmHg dan tekanan diastolic antara 80 hingga 89 mmHg.

    Secara umumnya 90 peratus daripada pesakit darah tinggi tidak mempunyai punca utama. Ia dipanggil sebagai essential hypertension. Biasanya mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dari kumpulan ini disebabkan faktor usia.

    Ia juga kombinasi kompleks antara faktor genetik dan amalan gaya hidup tidak sihat. Selebihnya pesakit yang mempunyai darah tinggi disebabkan masalah perubatan lain seperti buah pinggang, ketidakstabilan hormon, tiroid, masalah saluran darah ataupun masalah auto immune. Kumpulan ini dikenali sebagai secondary hypertension Dalam kebanyakan kes, tekanan darah tinggi tidak mempunyai simptom. Mereka hanya dikenal pasti apabila menjalani pemeriksaan klinikal biasa ataupun ketika rawatan ke klinik akibat demam selesema.

    Bagaimanapun, ada juga yang mempunyai simptom seperti sakit kepala, sakit tengkuk, pening, loya, telinga berdesing dan penglihatan mula kabur. Oleh itu, tekanan darah tinggi juga dipanggil sebagai ‘bom jangkamasa’ kerana ia tidak mempunyai simptom walaupun tekanan darah sudah tinggi.

    Yang lebih merisaukan ialah dalam kebanyakan kes, tekanan darah meningkat terlalu tinggi yang dipanggil ‘krisis darah tinggi.’ Ketika itulah simptom dirasai. Ia berlaku jika tekanan darah melebihi 180 mmHg untuk sistolik dan 110 mmHg untuk diastolic. Ketika ini komplikasi darah tinggi mungkin sudah berlaku.

    Antara komplikasi darah tinggi ialah strok ataupun bengkak dalam otak pesakit. Ini mengakibatkan seseorang itu mengalami lemah sebelah anggota badan ataupun gangguan saraf lain.

    Jika komplikasi berlaku dalam mata, pembuluh darah pada retina boleh pecah dan mengakibatkan gangguan penglihatan. Buah pinggang juga boleh rosak dan gagal berfungsi menyebabkan seseorang pesakit akan bergantung kepada dialisis sepanjang hayat. Serangan jantung juga boleh berlaku dan mengakibatkan jantung gagal berfungsi.

    Walaupun diberi gelaran ‘bom jangka’, ramai yang mengambil ringan tentang pengawalan tekanan darah. Sikap sambil lewa untuk mengambil ubat seperti diarahkan dan gagal mengubah gaya hidup sihat menyebabkan komplikasi darah tinggi berlaku lebih awal dan komplikasi ini kekal serta berpanjangan.

    Perubahan gaya hidup amat penting kepada semua pesakit darah tinggi terutama kepada mereka dalam kelompok pradarah tinggi. Pergantungan hanya kepada ubat diberi tidak memadai.

    Pengurusan berat badan amat penting. Semua pesakit dinasihatkan mencapai berat badan optimum berdasarkan pengiraan indeks jisim badan (BMI). Pengurangan berat badan sebanyak 4.5 kilogram terbukti dapat mengurangkan tekanan darah.

    Penjagaan makanan yang kurang garam dalam masakan dan pengambilan diet yang kaya dengan buah-buahan serta sayuran dapat membantu mengurangkan tekanan darah. Berhenti merokok dan tidak mengambil minuman keras juga boleh membantu mengawal tekanan darah. Selain itu, senaman juga tidak boleh dilupakan. Bersenamlah 30 minit sehari sekurang-kurangnya selama lima hari. Senaman dapat mengendurkan lapisan salur darah dan seterusnya tekanan dalam salur darah pesakit dapat dikurangkan.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Darahtinggibagaibomjangka/MA/Article/article_print

    Atasi Bahaya Darah Tinggi


    Oleh Dr Norman Mohd Norawi


    Menurut Panduan Amalan Klinikal (CPG) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, darah tinggi adalah keadaan tekanan darah sistolik melebihi 140mmHg dan tekanan darah diastolik melebihi 90mmHg dengan mengambil bacaan sekurang-kurangnya dua kali dalam dua lawatan oleh doktor.
    Bagi pesakit yang menghidap masalah darah tinggi, doktor akan memberikan preskripsi ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi.

    Amal cara DASH Pesakit sebenarnya boleh mengawal darah tinggi dengan mengubah cara hidup dengan senaman dan makanan yang betul setiap hari. Terdapat kajian yang dijalankan Institut Kebangsaan Kesihatan, Amerika Syarikat pada 1997 yang menunjukkan pengawalan darah tinggi boleh dilakukan dengan mengawal pemakanan.

    Kajian ini dipanggil Pendekatan Pemakanan untuk Mengawal Darah Tinggi atau DASH yang bermaksud ‘Dietary Approach to Stop Hypertension’.

    Dengan kaedah DASH ini pengambilan makanan yang rendah lemak, terutama lemak tepu (dari sumber haiwan) dan berkolesterol tinggi di samping itu makan makanan yang tinggi dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan hasil tenusu (dairy) rendah lemak.

    Hasil kajian ini mendapati tekanan darah dapat diturunkan dengan baik seakan-akan makan ubat darah tinggi. Ia akan mula dilihat selepas dua minggu mengamalkan pemakanan dengan cara ini dan kesannya sehingga lapan minggu tanpa mengira jantina, kaum atau tekanan darah asal.

    Pemakanan dengan kaedah DASH ini memberikan serat yang tinggi, zat, kalsium, magnesium dan potasium yang terbukti dengan kajian lain membantu menurunkan tekanan darah. Ia juga rendah dengan lemak tepu dan lemak ‘trans’. Kaedah DASH ialah dengan makan lapan ke 10 hidangan buah-buahan seperti epal, oren, pear yang digabungkan dengan makan sayuran-sayuran seperti seleri, kubis bunga, brokoli, kacang buncis, salad, asparagus dan kubis.

    Minum susu rendah lemak dua hingga tiga gelas sehari atau produk tenusu. Mengurangkan gula dalam makanan dan minuman. Elakkan makanan segera yang lain seperti roti putih, mi segera, jajan, kerepek dan sebagainya.

    Makan makanan berserat tinggi seperti roti gandum penuh, oat, beras perang dan lain-lain sehingga tujuh ke lapan hidangan sehari.

    Makan daging dikurangkan sehingga dua hidangan sehari dan utamakan sumber makanan protein putih seperti ayam (tanpa kulit) atau ikan, udang, sotong selain makan kekacang, kuaci atau biji-bijian empat ke lima hidangan seminggu.

    Kurangkan garam Pada 2000 kajian lanjut pemakanan dengan kaedah DASH ini dibuat dengan mengkaji sama ada mengurangkan garam dalam makanan dapat menurunkan tekanan darah dengan lebih baik.

    Hasil kajian mendapati garam berlebihan dalam makanan menyebabkan peningkatan tekanan darah kerana air disimpan oleh buah pinggang menyebabkan peningkatan jisim air dalam badan yang meningkatkan tekanan darah.

    Garam juga menyebabkan saluran darah kecil mengecut yang meningkat tekanan darah. Dalam kajian ini mendapati mengawal jumlah garam dalam makanan akan lebih menurunkan tekanan darah berbanding dengan kajian sebelumnya.

    Amal gaya hidup sihat Senaman ringan seperti berjalan pantas selama 30 minit ke sejam tiga kali seminggu juga penting untuk mengawal tekanan darah tinggi.

    Berhenti merokok juga boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Dengan pemakanan yang betul, bukan hanya tekanan darah dapat dikawal, malahan berat badan juga dapat diturunkan secara tidak langsung. Berat badan berlebihan juga adalah punca kepada tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.

    Kesimpulannya, dalam pemakanan seharian untuk mengawal tekanan darah, kita perlu mengambil lebih buah-buahan, sayur-sayuran, protein putih, kurangkan lemak tepu dan kurangkan garam dalam pemakanan.

    Penulis Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Anti Penuaan & Perubatan Regeneratif
    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atasibahayadarahtinggi//Article/article_print

    Ubat Darah Tinggi Boleh Jejas Tenaga Batin

    Saya ada masalah lemah tenaga batin. Saya berumur 58 tahun dan ada darah tinggi. Kebiasaannya tekanan darah pada kadar 135/75. Doktor syorkan saya makan ubat darah tinggi dan gelosteron. Adakah ubat ini punca masalah saya?
    ZALI
    Kota Tinggi, Johor


     

    Kegagalan mencapai ereksi keras untuk persetubuhan dikenali sebagai disfungsi erektil atau lemah tenaga batin dan mati pucuk.


    Anda mengalami masalah itu sejak menghidap tekanan darah tinggi dan mengambil ubat untuk mengawalnya. Sebilangan besar ubat tekanan darah tinggi memberi kesan sampingan terhadap disfungsi erektil.

    Jika anda tidak makan ubat, masalah lemah tenaga batin masih boleh berlaku kerana kemasukan darah dalam otot zakar anda masih kurang disebabkan kesempitan dan ketebalan salur darah dalam otot zakar.

    Jika tidak makan ubat, tekanan darah melambung dan mencetuskan strok jika salur darah tercedera, pembekuan darah atau salur darah tersumbat. Jadi anda tidak boleh elak mengambil ubat tekanan darah tinggi.

    Kini doktor peka dengan ubatan yang mengganggu perjalanan darah dalam otot zakar. Jadi mereka akan beri ubat kurang memberi kesan terhadap lemah ereksi.

    Kini ada pelbagai ubat yang dapat melancarkan darah dalam otot zakar. Namun, ubat ini perlu dikendalikan doktor dan diberi apabila selesai melakukan pemeriksaan.

    Amalkan gaya hidup sihat, senaman berkala untuk stamina dan fizikal, melakukan senaman kemut atau Kegel, mengukuhkan otot benteng zakar selain mendapat ubat pelancar darah.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ubatdarahtinggibolehjejastenagabatin/Article/index_html
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...