Darah Tinggi Ancam Ginjal

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Saat diberitahu berita itu, 15 tahun lalu, Tengku Rohani Husain, 58, merasakan dunianya gelap selain sedih kerana masih ada tanggungjawab yang perlu digalas apatah lagi waktu itu anak bongsunya baru berusia empat tahun.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, semuanya tanpa diminta namun mungkin sudah takdirnya. Mujur suami dan anak-anak sentiasa berdiri di sisi dan tidak putus-putus memberi sokongan moral kepadanya.

“Saya tidak pernah menduga akan mendapat penyakit ini. Tahu sajalah penyakit buah pinggang memerlukan kos tinggi setiap kali rawatan terutama hemodialisis.

“Memang perit sewaktu melakukannya malah tekak berasa kering dan cepat haus. Namun saya gagahkan diri kerana memikirkan masa depan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kesedaran Buah Pinggang di ibu kota baru-baru ini.

Hemodialisis proses mengalirkan darah keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer atau ginjal tiruan.

Selain itu, juga terdapat rawatan alternatif pesakit buah pinggang iaitu peritonial dialisis (PD) yang dilakukan dalam badan. Selaput nipis yang dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen meliputi semua rongga abdomen.

Ia separa telap iaitu hanya bahan-bahan tertentu boleh melalui selaput berkenaan. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah ketika dialisis.

Menurut Rohani, rawatan hemodialisis yang dilakukan membuatkan dirinya sering berulang alik ke pusat dialisis kerana rawatan itu hanya boleh dilakukan di luar.

“Dalam seminggu, tiga kali saya perlu membuat rawatan. Ada kala perlu menunggu dan kalau kurang bernasib baik tidak dapat peluang menjalani rawatan berkenaan disebabkan ramai orang apatah lagi saya mempunyai masalah tulang yang menyebabkan badan sering sakit-sakit,” katanya.

Tidak lama selepas itu, doktor mengesyorkan supaya Rohani menukar rawatan hemodialisis kepada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

CAPD berfungsi menggunakan prosedur pertukaran yang perlu dipelajari ketika latihan. Sebagai permulaan, tiub lembut steril peritonial dialisi (PD) disambung kepada set tiub.

Larutan yang berada dalam abdomen pada pertukaran sebelumnya mesti disalur keluar daripada rongga peritoneum ke dalam beg yang sudah tersambung.

Apabila cecair sudah dikeluarkan sepenuhnya daripada rongga peritoneal larutan dialisis baru disalur masuk melalui tiub mengisi rongga peritoneum dengan jumlah cecair baru yang ditetapkan.

Beg dan set tiub kemudian ditanggalkan dan dibuang. Dalam fasa pengantaraan (dwell) ini, apabila cecair berada dalam rongga peritoneum barulah dialisis sebenar atau penapisan bahan buangan dan cecair berlaku membuatkan anda bebas menjalankan kegiatan harian sambil dialisis berlaku dalam rongga peritoneum.

Setiap pertukaran mengambil masa 30 minit dan dilakukan setiap empat hingga enam jam. Pertukaran malam terakhir kekal atau disimpan dalam rongga peritoneum semalaman ketika tidur.

Katanya lagi, CAPD lebih memberi kebebasan melakukan dialisis di rumah, tempat kerja malah ketika bercuti.

“Kehidupan saya berubah sepenuhnya selepas menukar rawatan ke CAPD. Kini saya bebas membuat aktiviti harian seperti bercucuk tanam, memasak, membuat kerja rumah dan lain.

“Kini saya menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain. Paling penting rawatan ini memerlukan tahap penjagaan kebersihan paling tinggi bagi mengelakkan sebarang gangguan,” katanya yang mempunyai bilik khas di kediamannya yang dilengkapi penghawa dingin bagi melakukan rawatan CAPD.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher berkata, penyakit buah pinggang adalah pembunuh secara senyap yang mungkin tidak diketahui orang ramai.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan Malaysia akan mempunyai 2.48 juta penghidap sakit buah pinggang menjelang 2030. Reaksi takut, gerun dan terkejut saja tidak bermakna, sebaliknya semua perlu prihatin menjaga kesihatan.

“Terdapat pelbagai rawatan untuk pesakit. Rutin pemeriksaan kesihatan harian amat penting bagi mengelakkan penyakit menjadi semakin serius,” katanya.

Katanya, sembilan tahun lalu, bilangan pesakit yang menjalani dialisis di Malaysia meningkat tiga kali ganda daripada 9,034 pada 2002 kepada 26,159 tahun lalu.

Keadaan ini berpunca daripada cara hidup tidak sihat yang menyebabkan penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis menyebabkan kerosakan buah pinggang.



Info


  • Dialisis - Rawatan perubatan membantu pesakit mengalami kegagalan buah pinggang untuk mengeluarkan bendalir dan bahan buangan daripada darah.

  • Hemodialisis - Dialisis yang membersihkan darah dengan mengalirkannya keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer.

  • Peritonial dialisis (PD) - Dilakukan dalam badan. Selaput nipis dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen serta meliputi kesemua organ dalam rongga abdomen. Ia separa telap yang bermaksud hanya bahan tertentu boleh melalui selaput berkenaan. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah sewaktu dialisis.
  • No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...