Lebih 30% Rakyat Malaysia Hidap Darah Tinggi - Liow

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mac 2013 12:00 AM
Image result for liow tiong lai

KUALA LUMPUR: Kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit darah tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ini dikesan melalui kajian rintis mengenai pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam pada tahun lepas.

"Kandungan purata pengambilan garam oleh rakyat Malaysia ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram sehari.

"Dalam kajian yang sama, didapati sos kicap soya merupakan makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi dan kaum lelaki merupakan golongan yang mengambil lebih banyak garam berbanding wanita," katanya dalam perutusan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2013.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang.

"Selain itu, hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan.

"Gunakan perisa asli seperti rempah ratus, daun sup atau limau untuk menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa yang lain," katanya.

Liow juga menyeru orang ramai supaya mengambil dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari, amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan dan pupuk minda sihat melalui penanganan stres, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.

Katanya pengambilan garam secara berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan berkait rapat dengan kejadian penyakit darah tinggi.

"Pengurangan pengambilan garam boleh mengurangkan tekanan darah dan kejadian strok serta penyakit jantung," katanya. Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia ke-6 yang akan berlangsung pada 11 hingga 17 Mac, ditujukan khusus kepada industri makanan, katering, pengusaha atau pengendali makanan (chef) dan tukang masak di restoran dengan tema " Less Salt Please" (Kurangkan Garam).

Kata Liow, pihak kementerian sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk Malaysia.

"Antaranya sebanyak 16 item makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi iaitu daripada kategori biskut, kicap, mi segera, makanan ringan dan daging beku telah diturunkan kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40 peratus daripada tahap asal sejak tahun 2011 hingga 2012," katanya. -BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/03/15/lebih-30-rakyat-malaysia-hidap-darah-tinggi--liow/

Ada Penawar Bagi Mengawal Darah Tinggi


Diterbitkan: Jumaat, 9 Julai 2010 12:00 AM

KUALA LUMPUR: Bilangan penghidap penyakit darah tinggi yang berjumlah lebih satu bilion orang di seluruh dunia dijangka meningkat kepada 1.56 bilion orang menjelang 2025.

Ia adalah satu masalah kesihatan tanpa petanda awal ataupun simptom, oleh itu lazimnya dirujuk sebagai 'pembunuh senyap'. Atas alasan ini, ramai yang tidak sedar akan kehadiran masalah kesihatan ini sehingga mereka berjumpa doktor.

Hipertensi, istilah perubatan bagi tekanan darah tinggi, menunjukkan bahawa jantung berfungsi melampaui had lazim, menyebabkan tekanan tinggi pada jantung dan arteri.

Pertubuhan Malaysia bagi Hipertensi mentakrif hipertensi sebagai keadaan di mana tekanan sistolik adalah lebih daripada 140 mmHg atau tekanan diastolik melampaui 90 mmHg. Secara tipikal, bacaan tekanan darah tinggi sebanyak tiga kali diperlukan dalam tempoh beberapa minggu untuk mendiagnosis keadaan ini.

Darah tinggi boleh menyumbang kepada sakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan aterosklerosis. Jika keadaan ini tidak dirawat atau tidak diuruskan, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat lagi untuk bekalan darah beroksigen yang cukup ke organ dan tisu untuk memenuhi keperluan tubuh.

EMPAT DARIPADA 10 ORANG ADA DARAH TINGGI


Di Malaysia, empat daripada 10 warga dewasa mengalami tekanan darah tinggi dengan hanya 26 peratus daripada mereka berjaya mengawal tekanan darah masing-masing.

Kos langsung dan tidak langsung dalam merawat tekanan darah tinggi masing-masing dianggarkan RM2,719 dan RM7,511 bagi setiap pesakit pada 2009.

Selain daripada itu sehingga 85 peratus daripada pesakit mungkin memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal tekanan darah, yang menunjukkan perlunya rawatan kombinasi ubat yang berkesan. Ini jelas sekali satu masalah besar kesihatan umum.

"Bagi para doktor, cabaran terbesar ialah mengawal tekanan darah dan mengekalkannya pada paras yang sesuai," kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sim Kui Hian semasa sidang media baru-baru ini.

Dr Sim, yang juga pakar perunding kardiologi berkata situasi ini menunjukkan perlunya terapi baru bagi tekanan darah tinggi.

MENGAWAL HIPERTENSI


Hypertensi perlu dikawal sepanjang hayat seseorang dan boleh diuruskan melalui sedikit perubahan dalam gaya hidup atau terapi ubat-ubatan. Perubahan kecil dalam gaya hidup boleh membantu dalam menguruskan dengan berkesan paras tekanan darah seperti mengurangkan pengambilan garam dan alkohol, bersenam dan hentikan tabiat merokok.

Tiada siapapun harus memandang remeh akan keadaan ini khasnya dengan simptom-simptom penyakit ini tidak ketara. Mereka dengan usia yang semakin meningkat dan daripada keluarga dengan sejarah penyakit itu perlu lebih berwaspada.

Para pesakit dengan tekanan darah tinggi luarbiasa mungkin mengalami rasa pening atau pendarahan melalui hidung. Bagaimanapun, tanda-tanda ini secara tipikal tidak muncul sehingga tekanan darah mencapai paras yang boleh mengancam nyawa.

TERAPI UBAT

Mereka yang menghidapi hipertensi kini antara lain mempunyai pilihan dalam merawat masalah ini menggunakan ubat Rasilez (aliskiren) - satu ubat yang boleh mengekalkan tekanan dengan konsisten bagi tempoh lebih 24 jam. Ini satu pertimbangan rawatan yang penting, kerana banyak ubat bagi tekanan darah tinggi tidak mempunyai kesan berterusan, khasnya semasa awal pagi apabila tekanan darah meningkat.

Pesakit mengalami kesan yang lebih baik dengan mengekalkan 91 peratus daripada kecekapan dalam mengawal tekanan darah walaupun jika terlepas satu dos ubat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd, Avinash Potnis.

Ia berfungsi dengan menyekat RAAS (sistem renin angiotensin aldosterone), inovasi utama dalam merawat tekanan darah tinggi bagi lebih sedekad.

"Novartis bangga untuk memperkenalkan ubat baru ini dalam memerangi penyakit yang mengancam dan semakin berleluasa ini," . - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2010/07/09/ada-penawar-bagi-mengawal-darah-tinggi/

Rakyat Malaysia Hidap Darah Tinggi Kerana Garam

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 2:25 PM


KUALA LUMPUR: Satu per tiga daripada rakyat di negara ini menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi akibat mengambil garam berlebihan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari.

Ia adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya ketika menjadi tetamu khas program 'Ala Carte Pagi' terbitan Bernama Radio24 di sini, Isnin.

Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk Malaysia agar mengambil tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh garam sehari bagi membendung hipertensi.

"Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengawal pengambilan garam, penyakit hipertensi itu akan menjadi lebih serius dan boleh mengundang kepada risiko kematian," katanya.

Dr Feisul berkata garam menjadi sumber utama sodium dalam kebanyakan makanan kegemaran rakyat di negara ini apabila ia dijadikan sebagai penambah perisa bagi menyedapkan makanan itu.

"Sebagai contoh, masyarakat pada masa sekarang lebih gemar makan di luar berbanding memasak sendiri, jadi masakan panas bergoreng yang mengandungi kandungan garam tinggi menjadi kegemaran mereka.

"Ditambah pula dengan lidah mereka yang telah terbiasa dengan makanan masin dan bergaram, apabila makanan bergoreng itu dikatakan 'tidak cukup rasa' mereka akan menambah kicap atau garam," katanya.

Dr Feisul berkata rakyat perlu mengurangkan pengambilan garam dengan menggunakan herba dan bahan perasa asli untuk menyedapkan makanan.

"Amalkan cara pemakanan sederhana yang kurang garam dan bersos ketika makan di luar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menganjurkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia dari 9 hingga 13 Mac ini bagi mewujudkan kesedaran bahayanya pengambilan garam secara berlebihan.

Seminar berkenaan pengambilan garam juga akan diadakan untuk orang awam pada 12 Mac ini bertempat di Kompleks KKM, Putrajaya dan masuk adalah percuma, katanya.
 
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/02/09/darah-tinggi/

Darah tinggi: Ambil serius!

 

Di Malaysia, hipertensi merupakan masalah umum di mana, menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datuk Dr. Azhari Rosman, seorang daripada tiga rakyat Malaysia berusia tiga puluh tahun ke atas menghidapinya.

Hanya enam daripada 100 orang dapat mengawal tekanan darah mereka.

``Lebih membimbangkan, hanya lebih sedikit daripada satu per lima (dua puluh tiga peratus) rakyat Malaysia yang menghidap tekanan darah tinggi sedang mengambil ubat,'' katanya.

Beliau yang juga Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN) berkata demikian pada majlis pelancaran Co-Diovan 160/25mg, satu formula baru bagi rawatan hipertensi daripada Novartis.

Menurutnya, statistik tersebut menunjukkan jurang rawatan yang serius membabitkan pesakit dan juga doktor.

``Masyarakat perubatan dan orang ramai mesti mengubah sikap mereka terhadap bahaya masalah ini dan menyedari keperluan merawat hipertensi secara agresif di peringkat awal.''

Sementara itu, Ketua Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher mengakui cabaran untuk meyakinkan pesakit bahawa mereka perlu mengambil ubat bagi mengawal tekanan darah.

``Walaupun hipertensi merupakan antara penyakit kardiovaskular yang paling mudah dirawat, kematian yang disebabkan oleh pembunuh senyap ini terus meningkat.

``Ini kerana, apabila rawatan disyorkan, pesakit sering tidak mengambil ubat seperti yang diarahkan,'' kata Dr. Zaki Morad merangkap pengerusi jawatankuasa kerja yang merangka garis panduan Malaysia bagi rawatan hipertensi.

Kumpulan kerja tersebut ditugaskan untuk merangka garis panduan bagi pihak Kementerian Kesihatan dan Akademi Perubatan.

Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan pada tahun hadapan akan membuat penyiasatan lanjut ke atas 70,000 rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas untuk membuktikan penularan penyakit hipertensi, kardiovaskular dan diabetes di negara ini.

Peningkatan kejadian hipertensi amat ketara dengan kenaikan berganda, daripada 58,961 pada 1985 kepada 103,512 pada 1998.

Persatuan Hipertensi Antarabangsa meramalkan bahawa sehingga 42 peratus daripada penduduk dunia atau hampir seorang daripada dua orang dewasa akan menghidap penyakit hipertensi menjelang tahun 2020.

Bagaimanapun, kata Dr. Zaki Morad, ramai yang tidak tahu mereka sebenarnya menghidap hipertensi memandangkan masalah ini sering timbul tanpa gejala.

``Bagi mereka yang sedar, bukan semuanya menerima rawatan dan di kalangan mereka yang diberi rawatan tersebut, hanya segelintir dapat mengawal tekanan darah mereka.

``Oleh kerana hipertensi adalah penyakit tidak bergejala, pesakit sering mengabaikan rawatan,'' katanya.

Tidak sampai separuh daripada pesakit yang menghidap hipertensi berjaya dirawat dengan pengambilan ubat. Memandangkan hanya segelintir pesakit dapat mengawal tekanan darah mereka, situasi ini perlu dinilai dengan lebih mendalam.

Ini mungkin bermakna mereka tidak mematuhi arahan rawatan, mereka tidak mendapatkan ubat yang betul atau kombinasi ubat yang betul. Sementara itu, doktor mereka mungkin tidak cukup agresif merawat masalah tekanan darah mereka.

Sudah tentulah terdapat juga pelbagai sebab lain. Adanya pelbagai jenis ubat tekanan darah membolehkan doktor menyesuaikan rawatan mengikut pesakit dan keadaan mereka.

Menurut Dr. Zaki Morad lagi, pada tahun-tahun kebelakangan ini, bukti kukuh telah dikumpulkan tentang sasaran rawatan bagi hipertensi.

``Jelas sekali tekanan darah kini perlu dikawal pada tahap yang lebih rendah berbanding sebelumnya bagi mengurangkan kerosakan kepada jantung.

``Usaha mencapai sasaran ini biasanya memerlukan dua atau tiga ubat antihipertensi, namun begitu pematuhan kepada rawatan mungkin menjadi masalah,'' katanya.

Apa yang lebih membimbangkan, ujar beliau, hipertensi menjadi punca utama sakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.

Dari segi kesan ekonomi, ia memberikan kesan besar ke atas produktiviti walaupun sukar untuk memberikan ukurannya.

Di beberapa negara, tekanan darah yang dikawal secara berkesan berupaya mengurangkan kejadian strok dan sakit jantung, sekali gus menghasilkan penjimatan besar kepada sistem penjagaan kesihatan.

Dr. Zaki Morad menjelaskan, satu lagi aspek penting rawatan adalah usaha memastikan jadual rawatan dipatuhi.

``Pilihan ubat penting. Faktor yang diambil kira termasuk ketiadaan kesan sampingan besar, jadual dos yang menyenangkan, kos dan penyakit yang berkaitan.

``Kelas ubat yang dinamakan ARB memberikan sedikit atau tiada langsung kesan sampingan dan mungkin menggalakkan tahap pematuhan yang lebih tinggi,'' katanya.

Terdapat kos ekonomi yang dikaitkan dengan ketidakpatuhan kepada rawatan. Ubat yang terbuang dan kemerosotan tahap kesihatan seseorang, meningkatkan lagi kos penjagaan kesihatan.

Usaha memantau cara pesakit mengambil ubat dan melaksanakan sistem lebih baik mungkin menjimatkan kos kewangan di samping meningkatkan tahap kesihatan dan kebajikan rakyat.

``Usia purata strok di Malaysia adalah 59 tahun. Usia ini sangat rendah. Purata usia serangan jantung dialami ialah 57 dan ini juga sangat rendah,'' kata Dr. Azhari.

Beliau turut mengaitkan sesetengah isu dan halangan kepada penjagaan lebih baik dengan sikap dan budaya.

``Sesetengah doktor tidak yakin bahawa hipertensi adalah masalah serius seperti yang didakwa, dan dengan itu tidak menekankan betapa pentingnya rawatan kepada pesakit.

``Di samping itu, rata-rata penduduk Asia tidak suka makan ubat. Sentimen ini, ditambah pula kecenderungan penggunaan herba atau ubat tradisional boleh menyukarkan lagi rawatan,'' ujar beliau.

Generasi baru ubat mempunyai sedikit kesan sampingan termasuk pening, keletihan, sesetengah masalah disfungsi seks, justeru rawatannya menyebabkan lebih banyak gejala daripada penyakit.

``Langkah memperkenalkan Co-Diovan 160/25mg memberikan fleksibiliti tambahan bagi ubat khusus ini. Tekanan darah tinggi ialah faktor risiko tunggal yang paling boleh dirawat.

``Co-Diovan ialah salah satu ubat yang saya gunakan untuk menjamin pematuhan pesakit kepada rawatan. Formula dos lebih tinggi ini berguna untuk mencapai sasaran,'' kata Dr. Azhari.

Co-Diovan 160/25mg ialah kombinasi dos tetap antara valsartan 160mg (valsartan ialah sejenis ARB) dan 25mg hydrochlortiazide (hydrochlorothiazide ialah sejenis diuretik).

Ia merupakan formulasi terkini ubat antihipertensi yang dilancarkan oleh Novartis Malaysia dan disyorkan kepada pesakit yang perlu menurunkan tekanan darah tinggi.

Seperti formulasi lain valsartan, Co-Diovan 160/25gm merupakan rawatan sekali sehari yang menyenangkan.

Selain menurunkan tekanan darah tinggi, ujian menunjukkan Diovan/Co-Diovan juga melindungi jantung daripada mengalami kerosakan.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini meluluskan Diovan untuk meningkatkan peluang hidup pesakit yang mengalami serangan jantung.

Dengan kelulusan tersebut, Diovan merupakan satu-satunya ARB yang disyorkan bagi rawatan pascaserangan jantung, kegagalan jantung dan hipertensi.

Sebarang jenis ubat tentunya mempunyai kesan sampingannya tersendiri. Secara amnya, kesan-kesan sampingan Diovan/Co-Diovan amat mudah ditoleransi.

Apa itu tekanan darah tinggi?

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko menghidap sakit jantung dan/atau sakit buah pinggang, juga strok.

Penyakit darah tinggi amat berbahaya kerana kebiasaannya tiada tanda amaran mahupun gejala.

Sesiapa sahaja, tidak kira bangsa, usia mahupun jantina boleh menghidap sakit darah tinggi.

Dari saat mula anda menghidap sakit darah tinggi, ia biasanya berkekalan seumur hidup. Anda boleh mencegah dan mengawal tekanan darah tinggi dengan mengambil langkah-langkah tertentu.


Penyebabnya

- Penyebab tekanan darah tinggi pelbagai. Ini termasuklah penyempitan arteri, isi padu darah yang lebih dari normal, atau denyutan jantung yang pantas atau lebih kuat dari sepatutnya.

Sebarang keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan terhadap dinding arteri.

Tekanan darah tinggi mungkin juga disebabkan oleh masalah-masalah perubatan lain. Pada kebiasaannya, punca tidak diketahui. Biarpun tekanan darah tinggi tidak boleh disembuhkan namun, dalam kebanyakan kes, ia mampu dicegah dan dikawal.

- Strok/otak: Tekanan darah tinggi adalah faktor utama risiko strok. Tekanan darah yang amat tinggi boleh menyebabkan kebocoran pada salur darah yang lemah dan kemudiannya mengalir ke otak.

Ini boleh mengakibatkan strok. Sekiranya salah satu arteri kecil tersumbat oleh darah beku, strok boleh juga terjadi.

- Gangguan penglihatan/mata: Tekanan darah tinggi lama-kelamaan boleh menyebabkan saluran darah di mata pecah atau berdarah. Penglihatan mungkin kabur atau terjejas dan boleh mengakibatkan buta.

- Arteri/arteri: Semakin meningkat usia, arteri menjadi semakin keras terutama arteri di jantung, otak dan buah pinggang.

Tekanan darah yang tinggi dikaitkan sebagai punca arteri mengeras. Ini seterusnya menyebabkan jantung dan buah pinggang terpaksa bekerja lebih.

- Kerosakan buah pinggang/buah pinggang: Buah pinggang bertindak sebagai penapis yang menyingkirkan bahan-bahan kumuhan badan.

Tekanan darah tinggi lama-kelamaan boleh menyempitkan salur darah melalui penebalan dinding saluran darah pada buah pinggang.

Proses penapisan oleh buah pinggang terjejas di mana kurang bendalir ditapis, seterusnya menyebabkan bahan kumuhan terkumpul di dalam darah.

Buah pinggang mungkin gagal sepenuhnya. Apabila ini berlaku, rawatan perubatan sama ada dialisis atau pemindahan buah pinggang mungkin diperlukan.

- Serangan jantung/jantung: Tekanan darah tinggi adalah faktor utama risiko serangan jantung.

Arteri berperanan membawa darah beroksigen ke otot jantung. Sekiranya jantung tidak mendapat cukup oksigen, sakit dada atau lebih dikenali sebagai angina boleh berlaku.

Jika aliran udara tersekat, serangan jantung terjadi.

Kegagalan jantung kongestif

Tekanan darah tinggi adalah faktor utama kegagalan jantung kongestif. Ia adalah masalah serius di mana jantung gagal mengepam darah yang secukupnya bagi keperluan tubuh badan.


Langkah-langkah pencegahan

Anda boleh mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan tekanan darah tinggi dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Langkah-langkah ini termasuklah mengekalkan berat badan sihat, sentiasa aktif, mengamalkan diet yang sihat dengan membanyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan tenusu rendah lemak, memilih dan menyediakan makanan rendah kandungan garam dan sodium.


Rawatan

Amat penting mengambil langkah-langkah untuk memastikan tekanan darah anda terkawal.

Sasaran bagi tekanan darah adalah bawah 140/90 dan lebih rendah bagi pesakit yang menghidapi penyakit lain seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.

Mengamalkan gaya hidup sihat merupakan langkah pertama paling berkesan dalam mencegah dan mengawal tekanan darah.

Sekiranya perubahan amalan gaya hidup sihat tidak berkesan dalam mengawal tekanan darah anda, adalah sangat perlu bagi anda mengambil ubat-ubatan darah tinggi.


Jenis-jenis ubat darah tinggi

- Diuretik: Membuang garam dan air berlebihan daripada badan

- Penghalang beta: Memperlahankan degup jantung supaya jantung tidak perlu bekerja lebih bagi mengepam darah

- Penghalang saluran kalsium: Mengendurkan saluran darah bagi menghalang kalsium daripada memasuki sel-sel otot

- Perencat enzim menukarkan angiotensin II (ACE): Merencat pembentukan angiotensin II, sejenis hormon yang menyebabkan penyempitan pembuluh darah

- Penghalang penerima angiotensin II (ARB): Menyekat secara langsung kesan-kesan bahaya angiotensin II ke atas pembuluh darah.


Petua-petua agar anda tidak lupa mengambil ubat

- Ambillah ubat pada masa sama setiap hari. Cuba kaitkan dengan sesuatu perkara yang anda sering lakukan seperti memberus gigi.

Sekiranya doktor menyarankan anda mengambil ubat selepas makan, cubalah ambil ubat ketika waktu makan anda setiap hari.

- Catatkan nota. Letakkan nota pada peti sejuk, berdekatan telefon, di kabinet ubat-ubatan atau cermin bilik mandi. Cuba tukarkan nota sekerap mungkin, gunakan warna berlainan bagi menarik perhatian atau alihkan nota ke sudut lain.

- Cuba gunakan bekas khas bagi membantu mengaturkan ubat-ubat anda. Bekas pil ini boleh didapati di kebanyakan farmasi atau kedai ubat.

- Mintalah bantuan ahli keluarga atau rakan. Mereka boleh menjadi sistem sokongan yang kuat. Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan yang juga mengambil ubat, amalan ingat-mengingati adalah sangat baik.

- Jangan lupa mendapatkan bekalan ubat. Setiap kali anda mendapatkan bekalan ubat, catatkan pada kalendar untuk pesanan ubat bulan berikutnya, seterusnya mengambil bekalan ubat seminggu sebelum ubat habis.


http://bintangkejora-myblog.blogspot.com/2010/06/darah-tinggi-ambil-serius.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...