Ramai Tak Tahu Hidap Darah Tinggi


Kuala Lumpur: Masih ramai dalam kalangan rakyat di negara ini tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi kerana penyakit itu tidak mempunyai gejala khusus menyebabkan mereka sering mengabaikan rawatan.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia Prof Datin Dr Chia Yook Chin berkata, sekiranya pesakit mula menyedari berlaku gejala tertentu memberi petanda sudah terlambat kerana penyakit berkenaan sudah merosakkan sebahagian fungsi badan mereka. “Sebab itu, adalah lebih baik penyakit tekanan darah tinggi disekat di peringkat permulaan daripada membiarkannya menjadi bertambah teruk dan membawa kepada komplikasi lain.

“Bagaimanapun, jika pesakit sudah didiagnos menghidap penyakit berkenaan, terapi paling efektif mampu mengawal penyakit itu hanya jika pesakit berkenaan bersungguh-sungguh mengambil ubat yang disaran, mematuhi arahan rawatan dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-11 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2014 di sini, semalam.

Dalam pada itu, menerusi Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 oleh Kementerian Kesihatan, 32.7 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap hipertensi berbanding 20.7 peratus pada 1996 dan 32.2 peratus pada 2006.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa daripada jumlah berkenaan, 19.8 peratus tidak mendapatkan diagnosis.

Tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai keadaan apabila tekanan darah dalam arteri atau salur darah meningkat secara kronik. Tekanan darah seseorang yang kurang dari 120/70 mmHg didefinisikan sebagai normal.
Hipertensi biasanya terjadi pada tekanan darah 140/90 mmHg atau ke atas dan ia diukur pada kedua-dua lengan sebanyak tiga kali dalam jangka masa beberapa minggu. Jika bacaan masih sama, maka seseorang itu menghidap darah tinggi.

Tekanan darah tinggi kebiasaannya berlaku dalam beberapa keadaan antaranya jantung berdegup atau mengepam lebih kuat bagi mengalirkan lebih banyak darah pada setiap kali degupan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...