32.7% Rakyat Malaysia Hidap Darah Tinggi

 Image result for subramaniam kkm

PUTRAJAYA 12 Mac - dianggarkan 32.7 peratus rakyat Malaysia atau 5.8 juta orang yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi yang merupakan penyumbang utama kematian di negara ini. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu didorong oleh pengambilan garam secara berlebihan iaitu secara purata seorang dewasa mengambil sebanyak 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali ganda lebih tinggi berban­ding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram sehari atau sesudu teh sehari.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan Institut Kesihatan Umum dua tahun lalu itu juga mendapati pengambilan garam adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding wanita dan perkara ini disebabkan oleh kurangnya kesedaran dalam kalangan mereka. “Ini sekali gus meningkatkan risiko untuk mendapat lain-lain penyakit seperti osteoporosis, penyakit asma, kanser dan obesiti apabila dewasa,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2015 di sini hari ini.

Minggu Kesedaran Garam Sedunia diadakan dari 9 hingga 15 Mac yang bertemakan `Makan di Luar, Kurang Masin, Pilihan Sihat’ menekankan pemilihan makanan yang rendah kandungan garam ketika makan di luar. Tiga kumpulan sasaran ialah pelajar sekolah rendah dan menengah, pekerja dewasa dan pengusaha makanan. Subramaniam berkata, terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahawa tabiat pemakanan semasa kanak-kanak dan remaja turut mempengaruhi corak pemakanan di kemudian hari.

Menurut beliau, Bahagian Kawalan Penyakit dengan kerjasama Institut Kesihatan Umum serta Bahagian Pemakanan Jabatan Kesihatan Negeri telah melaksanakan kajian rintis tentang pengambilan garam dalam kalangan kakitangan sendiri pada 2012. “Sebanyak 445 responden (berumur 19-56 tahun) telah dipilih dan hasilnya, purata pengambilan garam dalam kalangan kakitangan ialah sebanyak 8,7 gram sehari iaitu 1.7 kali ganda lebih tinggi berban­ding saranan WHO sehari,” katanya.

Kajian itu juga menunjukkan, antara 10 makanan tinggi garam yang kerap dimakan oleh res­ponden ialah keropok ikan/udang, ikan goreng, kicap, sos tomato dan cili, ayam goreng, ikan bilis, ikan (kari, sambal, asam), lembu/kam­bing (kari, merah), bebola ikan/bebola udang dan nasi goreng. Sehubungan itu, katanya, pengguna harus mengambil beberapa langkah perlu seperti mengehadkan pengambilan makanan segera sebulan sekali, mengurangkan pengambilan makanan dalam tin dan menegur pengendali makanan jika masakan mereka masin.

Beliau menambah, kebanyakan pesakit hipertensi tidak mengalami sebarang gejala pada peringkat awal penyakit kerana tanda-tanda dan gejala lazimnya mula timbul setelah pesakit mendapat komplikasi akibat hipertensi yang lewat dikesan atau tidak terkawal.

 - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/32-7-rakyat-malaysia-hidap-darah-tinggi-1.68840#sthash.9kJ1sMi4.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...