Hipertensi Jejas Ekonomi



Penjagaan kesihatan bantu jana persekitaran proaktif

Ahmad, 40, seorang pegawai eksekutif, meninggalkan balunya yang juga suri rumah dan anak tunggal masih di bangku persekolahan.

Pemergian Ahmad memberikan impak besar terhadap isteri dan anak yang bergantung penuh kepadanya sebagai ketua keluarga. Bukan sekadar itu, syarikatnya juga kehilangan pekerja berwawasan tinggi.
Siapa sangka, penyakit tekanan darah tinggi sering di ambil mudah dan disangkakan tidak merbahaya boleh membawa maut. Sebenarnya, penyakit itu bukan saja mengganggu kesihatan individu tapi turut membabitkan kemelesetan ekonomi global jika dibiarkan secara berlarutan.
Persatuan Hipertensi Malaysia mendedahkan, jika dibiarkan berlarutan penyakit membawa maut itu ditafsirkan mampu memudaratkan sektor ekonomi global, membabitkan kerugian sehingga USD3.5 trilion (RM10.7 trilion) di peringkat global.
Mungkin ramai tidak tahu, hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah faktor utama kepada penyakit jantung, angin ahmar (strok), kegagalan buah pinggang dan kematian di seluruh dunia. Membimbangkan, kesedaran masyarakat membuat pemeriksaan rapi hanya mencecah 40 peratus.
Justeru, kadar itu perlu dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan awal.

Penghidap hipertensi meningkat

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan, penyakit hipertensi dihidapi satu daripada tiga dewasa berusia 25 tahun ke atas (atau kira-kira 1 bilion orang) di seluruh dunia dengan mengakibatkan hampir 9.4 juta kematian akibat serangan penyakit jantung dan strok setiap tahun. Selain itu ia turut meningkatkan, risiko kegagalan buah pinggang dan juga penyebab buta.

Keadaan itu secara tidak langsung, ia juga mempunyai impak yang besar pada ekonomi kerana kos penjagaan pesakit meningkat dan kehilangan produktiviti akibat pesakit tidak dapat bekerja.

Lebih merunsingkan, WHO menjangkakan jumlah penderita hipertensi akan terus meningkat seiring dengan jumlah penduduk yang membesar. Pada 2025 mendatang, dijangkakan lebih kurang 29 peratus warga dunia menghidapi hipertensi.

Peratusan penderita hipertensi ketika ini paling banyak terdapat di negara berkembang. Data Global Status Report on Noncommunicable Disesases 2010 dari WHO menyebutkan, 40 peratus negara ekonomi berkembang mempunyai penderita hipertensi, sedangkan negara maju hanya 35 peratus.

Kawasan Afrika didapati, paling ramai penderita hipertensi iaitu sebanyak 46 peratus manakala Asia Tenggara, mencatatkan 36 peratus. Untuk kawasan Asia, penyakit ini membunuh 1.5 juta orang setiap tahunnya.

Polisi kesihatan holistik

Menekankan hubungan antara tenaga kerja dan penyakit serta perniagaan perlu dititikberatkan, Ketua Serantau AXA (Kesihatan dan Pembangunan Perlindungan), David Varley berpendapat, kesihatan optimum menawarkan suasana perkitaran proaktif.

Jelasnya, satu polisi kesihatan bersifat holistik yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada pekerja terbukti, memberi faedah dari segi kewangan untuk jangka masa panjang.

“Kecekapan pekerja dalam memberikan fokus, bersandarkan kesegaran dan kesihatan. Daya mental dan fizikal sihat meningkatkan produktiviti pekerja selain mengekalkan mereka untuk terus bekerja dan membawa kemajuan kepada syarikat atau perniagaan.

“Perniagaan pada hari ini juga merasai tekanan kenaikan kos penjagaan kesihatan, pertambahan usia penduduk, permintaan untuk menyediakan manfaat kesihatan terbaik kepada pekerja dan mampu menarik serta mengekalkan kakitangan berkualiti,” katanya pada forum perbincangan hipertensi, di Gleneagles Kuala Lumpur (GKL), baru-baru ini.

Kurangkan risiko hipertensi

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Lokman Hashim Sulaiman berpendapat, hubungan di antara perniagaan dan penjagaan kesihatan berperanan penting untuk memberikan persekitaran proaktif.

“Peningkatan kadar kematian akibat penyakit jantung atau ‘pembunuh senyap’ di kalangan rakyat Malaysia amat membimbangkan kerana ia menyerang tanpa kira usia.

Hipertensi juga mempunyai gejala kehadiran secara berterusan dan hadir sebagai isu gangguan kesihatan, kitaran hidup serta ekonomi keseluruhan yang perlu dipandang serius memandangkan ia memberi kesan kepada pilihan gaya hidup awam.

“Malaysia sedang menuju ke arah negara berpendapatan dan berkemahiran tinggi serta negara bermaklumat. Oleh itu, kita perlu lebih aktif dalam mempelajari risiko hipertensi yang dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, khususnya penyakit jantung juga pembunuh nombor satu kita,” katanya.

Turut hadir memeriahkan forum itu adalah Pengarah Perubatan GKL Dr Terence Leslie. Perunding Kardiologi GKL Dr Azani Mohamed Daud, Pengarah Eksekutif BMCC Molly Jagpa dan wakil daripada pusat kesihatan awam dan swasta.


INFO:
Penyakit hipertensi:


* Masalah hipertensi dihidapi rakyat Malaysia berusia melebihi 30 tahun sedang meningkat.

* Penyakit darah tinggi berlaku akibat tindak balas tidak normal salur darah menyebabkan tekanan meningkat melebihi dari biasa. Tekanan darah normal bagi orang dewasa ialah 120 millimeter merkuri (mmHG) dan 80mmHg.

* Peningkatan tekanan darah menjadi lebih tinggi dari paras normal akan menyebabkan kerosakan serta pemendapan plak kolesterol pada salur darah, dan seterusnya boleh mengakibatkan pendarahan dan kerosakan pada organ.

Faktor hipertensi:

* Berat badan berlebihan (obesiti).
* Pengambilan lemak berlebihan atau makanan berkolesterol tinggi.
* Pengambilan garam/makanan terlalu masin.
* Kurang aktiviti fizikal dan bersenam.
* Faktor keturunan.

Majoriti pesakit tidak mempunyai sebarang gejala, dan tanda hipertensi biasanya dikesan semasa pemeriksaan rutin.

Tanda dan gejala yang boleh dialami adalah:

* Sering sakit atau pening kepala.
* Sakit tengkuk.
* Pitam atau pengsan.

Rawatan:

* Hipertensi boleh dikawal dengan pengambilan ubat darah tinggi. Jangan sekali-kali meninggalkannya atau meningkatkan dos rawatan tanpa pemeriksaan dan nasihat doktor.

* Selain dari memakan ubat, tekanan darah tinggi perlu dikawal dengan mengamalkan pemakanan sihat, iaitu kurang lemak dan garam.

* Sentiasa bersenam (dapatkan nasihat doktor jika anda menghidap sakit jantung, sebelum bersenam).

* Berhenti merokok.


Info :  http://jknperlis.moh.gov.my/pls/index.php/en/2012-02-16-02-33-57/366-hipertensi-jejas-ekonomi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...