Darah Tinggi Risiko Utama Penyakit Jantung

 

KUALA LUMPUR – Penyakit berkaitan kardiovaskular antara punca kematian tertinggi di negara ini dengan 11,812 kes atau 25.4 peratus daripada kes kematian membabitkan penyakit itu sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, risiko utama yang menyebabkan penyakit jantung adalah penyakit darah tinggi iaitu antara 56 hingga 63 peratus.

“Ia diikuti penyakit diabetis antara 39 hingga 44 peratus, merokok (33-34 peratus), tahap kolestrol tinggi (31-35 peratus) dan sejarah keluarga mengidap masalah jantung (9-13 peratus),” katanya pada majlis Perasmian Persidangan Promosi Kesihatan di sini hari ini.

Rosnah berkata, pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terhadap penyakit ini tinggi tetapi dari segi pelaksanaan dan tindakan yang diambil bagi mengurangkan risiko agak kurang dan diambil sambil lewa.

Justeru, kata beliau, pengamal perubatan dan pegawai pendidikan kesihatan memainkan peranan penting dalam usaha membawa perubahan mengenai gaya hidup masyarakat dalam menjaga kesihatan.

Menurutnya, promosi kesihatan merupakan kunci utama kepada transformasi tingkahlaku kesihatan yang positif di kalangan masyarakat dan tahun lalu 67 peratus responden menyatakan hasrat untuk mengubah cara hidup berhubung kesihatan dan 75 peratus telah mengubah cara hidup dalam tempoh dua bulan.

Jelasnya, antara tindakan utama yang dikenal pasti untuk mencari penyelesaian terhadap penyakit gaya hidup ialah menyediakan dasar awam melalui kerjasama pelbagai sektor untuk menghasilkan promosi kesihatan yang lebih berkesan.

http://mynewshub.my/2011/10/10/darah-tinggi-risiko-utama-penyakit-jantung/

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...