SAYA kini hamil 33 minggu dan menghadapi masalah tekanan darah tinggi. Buat pertama kali, tekanan darah saya naik sehingga 162/111. Melihat kenaikan itu dan ditambah dengan faktor umur saya iaitu 40 tahun serta hamil anak sulung, doktor mengarahkan saya memulakan pengambilan ubat darah tinggi tapi dengan dos yang paling rendah.
Saya sudah membuat ujian air kencing dan didapati negatif dengan protein. Saya ingin bertanya selain daripada pemakanan ubat, apakah amalan yang boleh saya lakukan supaya saya dapat mengurangkan kebergantungan kepada ubat?
Masalah kedua saya ialah berat janin saya tidak mencapai standard iaitu sepatutnya pada usia 33 minggu, berat minimum adalah 1,800-1,900 gram tetapi berat janin saya hanya 1,700 gram saja.
Adakah ada kesan sampingan kepada janin sekiranya beratnya tidak mencapai standard minimum? Bagaimana saya dapat meningkatkan berat janin saya agar ia berada dalam lingkungan berat yang sepatutnya?
MURNI TAIB,
Kuala Lumpur
____________________________________________________________________
JIKA tekanan anda benar sedemikian tinggi (lazimnya bukan berdasarkan pada satu bacaan saja tetapi setelah diulangi selepas beberapa minit), saya pasti anda sudah dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian rapi dan tindakan seterusnya.
Penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan lazimnya berpunca daripada masalah di dalam uri. Tiada ubat atau petua sebenar, ubat antihipertensi hanyalah bertindak sementara saja. Secara am, rehat dapat membantu mengurangkan tekanan (termasuk tekanan darah tinggi).
Anda juga dinasihatkan mengambil pemakanan berkhasiat dan suplemen vitamin mencukupi bagi menjadikan tubuh ‘sihat’ untuk menghadapi kemungkinan terpaksa menjalani pembedahan.
Setelah kelahiran (dan setelah uri dikeluarkan), barulah penyakit ini dijangka pulih sepenuhnya dalam masa enam minggu. Sementara tempoh ini, anda terdedah kepada risiko berkaitan darah tinggi (seperti orang dewasa yang lain) lebih-lebih lagi jika terdapat protein di dalam air kencing. Apabila terdapat kehadiran protein ini, ia dinamakan pre-eklampsia yang boleh mengundang kepada komplikasi sawan (eklampsia) jika semakin teruk.
Tekanan tinggi di dalam salur darah juga bermakna aliran darah terbabit sempit atau berkurangan. Ini memungkinkan kesan terhadap pertumbuhan janin, malah kadar pertumbuhan organ tertentu juga lebih lambat berbanding organ yang lebih penting.
Singkatan IUGR (intra-uterine growth restriction) digunakan untuk keadaan pertumbuhan janin yang terjejas. Pada usia kandungan 33 minggu, berat janin adalah sekitar 2.2 - 2.4 kilogram. Doktor akan memantau kadar pertumbuhan janin secara memplot pada graf pertumbuhan yang ada.
Terdapat kemungkinan anda terpaksa melahirkan anak lebih awal sekiranya perlu lebih-lebih lagi sekiranya aliran darah di dalam tali pusat menunjukkan rintangan tinggi (diukur menggunakan ultrabunyi Doppler).
Dengan keperluan ubat antihipertensi, setidak-tidaknya anda mungkin bersalin dua minggu awal dari tarikh jangkaan, lebih-lebih lagi apabila beratnya dijangka melebihi 2.5 kilogram. Pada waktu ini (minggu ke-38), bayi sudah cukup matang daripada segi usia.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibumengandungrisaudarahtinggi/Article/index_html
No comments:
Post a Comment