Ramadan tiba kini dan semua umat Islam wajib menunaikan ibadah puasa
sebagaimana disyariatkan dalam Islam. Berpuasa baik untuk kesihatan
seperti dibuktikan dalam pelbagai kajian saintifik.
Berpuasa dalam Islam berbeza dengan berpuasa difahami masyarakat
Barat yang melakukan ‘crash diet’ sehingga memberi kesan buruk kepada
kesihatan.
Islam dan kesihatan adalah sesuatu yang sinonim kerana Islam
menitikberatkan soal kesihatan. Setiap ibadah disyariatkan dalam Islam
mempunyai banyak faedah kesihatan yang tersembunyi dan hanya kini mula
difahami dunia sains.
Ramadan adalah bulan latihan kendiri untuk umat Islam. Ramadan bukan
bulan ‘pesta makan’ yang secara tidak sedari kita lakukan setiap tahun.
Makan secara berlebihan dan memakan makanan tidak sihat adalah
bertentangan dengan semangat Ramadan.
Kita sepatutnya memfokus kepada ibadah dan mencari sebanyak mungkin
pelbagai ganjaran pahala berganda yang dikurniakan oleh Allah sepanjang
bulan mulia ini.
Dalam Ramadan, kita hanya mengubah waktu makan tetapi bukan jumlah
dan jenis makanan. Kita patut mengambil sepenuhnya peluang pada Ramadan
untuk mendapat faedah kesihatan dengan mengamalkan cara hidup sihat.
Menurut kajian kesan fisiologi yang positif, amalan berpuasa
menurunkan paras glukosa darah, paras kolesterol darah dan tekanan darah
tinggi.
Hakikatnya, berpuasa dicadangkan sebagai rawatan untuk pesakit yang
mengalami diabetes stabil, ringan hingga sederhana, pesakit darah
tinggi dan seseorang yang mempunyai masalah berat badan.
Berpuasa dicadangkan sebagai satu bentuk rawatan dalam persidangan
perubatan First International Congress on ‘Health and Ramadan’ pada 1994 di Casablanca, Maghribi.
Pada persidangan ini, sebanyak 50 kajian dibentangkan mengenai
kebaikan berpuasa kepada kesihatan. Bagaimanapun, ada pesakit tertentu
tidak digalakkan berpuasa seperti penghidap kanser yang teruk, diabetes
yang tidak terkawal dan gastrik ulser. Anda perlu mendapatkan nasihat
doktor untuk mengetahui jenis penyakit yang tidak digalakkan berpuasa.
Berpuasa juga bantu merehatkan sistem pencernaan dalam saluran gastro usus, selain organ hati dan kelenjar pankreas.
Secara tidak langsung, ia membantu organ hati kita melakukan proses
detoksifikasi dengan membuang toksin dalam sistem tubuh manusia yang
selama ini memakan pelbagai jenis makanan.
Banyak kajian menunjukkan berpuasa menurunkan paras kolesterol dalam
darah. Ini baik untuk pesakit yang mengalami masalah kolesterol tinggi
dan pesakit jantung.
Ini kerana ketika berpuasa, paras glukosa darah yang rendah
menyebabkan paras hormon insulin juga menurun. Ia menyebabkan enzim yang
menghasilkan kolesterol berlebihan di dalam hati menjadi kurang aktif
dan menurunkan paras kolesterol secara tidak langsung.
Penurunan paras kolesterol mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, darah tinggi dan diabetes.
Kelebihan puasa dari sudut perubatan
Penurunan berat badan
• Dapat membantu individu obes menurunkan berat badan dengan cara
sihat dan murah. Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi, paras
tekanan darah serta kandungan gula dalam tubuh boleh diturunkan dengan
lebih baik. PenuWrunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan berbeza
dengan amalan diet ketat atau cara diet untuk menurunkan berat badan
lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan
berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil kerana pesakit tidak
mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak jika berhenti
puasa.
Mempercepat proses pemulihan
• Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem
penghadaman ke sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme
badan. Proses penggantian tisu yang rosak pula bertambah baik hasil
proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan disebabkan
antibodi badan lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien
akan menghasilkan sel serta tisu lebih sihat. Kajian turut mendapati
berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme
badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.
Awet muda dan melanjutkan usia
• Hormon pertumbuhan, sejenis hormon anti-penuaan dirembeskan dengan
banyak ketika berpuasa. Fenomena ini juga berpunca daripada proses
pembentukan sintesis protein yang lebih efektif, ketahanan badan lebih
baik serta kadar metabolisme lebih rendah.
Mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis
• Kajian mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan
gula. Ini seterusnya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis
(sejenis penyakit pada arteri di mana plak berlemak berkembang pada
dinding dalam dan akhirnya menyekatkan aliran darah). Keadaan ini
terutama berlaku dalam kalangan pesakit diabetes.
Solat Tarawih memetabolismekan makanan
• Indah apabila bulan puasa turut diiringi dengan solat sunat
Tarawih pada sebelah malamnya. Ia membantu memproses makanan yang
dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200
kalori). Di samping itu, ia juga sebagai cara senaman
ringkas yang baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).
Disiplinkan diri berhenti merokok
• Amalan puasa dapat melatih diri meninggalkan amalan kurang baik
seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Pada
waktu siang, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa
manakala pada malam, mereka boleh meninggalkan rokok kerana takut akan
kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung
dan penyakit sekatan pernafasan.
Ketenangan mental
• Dari segi kesihatan mental, manusia berasa lebih tenang pada bulan
Ramadan. Ganjaran berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka
lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus mendatangkan
ketenangan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibadahpuasarawatanalternatif/MA/Article/index_html