Jangan Perlekeh Hipotensi


Hipotensi atau tekanan darah rendah sebenarnya adalah penyakit yang kerap dialami tetapi sebahagian daripada kita mengabaikannya dan menganggap ia sebagai sakit pening biasa atau masalah dehidrasi.
Membiarkan tekanan darah rendah tanpa rawatan sama bahayanya dengan tekanan darah tinggi yang boleh mengancam nyawa.


Tekanan darah setiap orang adalah berbeza tetapi seseorang dikatakan mengalami tekanan darah rendah jika bacaan tekanan darah sistolik kurang 90 milimeter merkuri (mm Hg) atau tekanan darah diastolik kurang 60 mm Hg atau tekanan darah yang sentiasa berkurangan pada kedua-dua tahap berkenaan.

Perunding Klinikal dan Kardiologi Intervensi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr David Quek berkata, apabila tekanan darah rendah berlaku, setiap organ badan tidak mendapat aliran darah mencukupi, menyebabkan gejala pe-nyakit terbabit timbul.

Tanda tekanan darah rendah seperti pening atau pitam, pengsan, penumpuan kelam, penglihatan kabur, loya, kulit dingin, pucat dan lembap, pernafasan pendek dan cepat, keletihan dan dahaga.

Menurutnya, tekanan darah rendah boleh dikaitkan dengan masalah jantung berikutan organ berkenaan tidak berupaya mengepam darah dengan baik dan keadaan ini menyebabkan badan gagal mengedarkan darah yang membawa bekalan oksigen dan nutrien dikehendaki.

Selain itu, masalah endokrin seperti penyakit paratiroid dan penyakit Addison yang menyebabkan kekurangan adrenal, gula dalam darah yang rendah atau hipoglisemia juga menyumbang kepada tekanan darah berkurangan. Malah, penyakit diabetes boleh mencetuskan tekanan darah rendah.

“Mereka yang mengalami muntah-muntah atau cirit-birit yang teruk juga terdedah kepada risiko mendapat tekanan darah rendah berikutan mengalami dehidrasi kerana ketika dehidrasi, tubuh akan kehilangan banyak air.

“Lebih buruk, komplikasi dehidrasi seperti hypovolemic berlaku apabila isipadu darah yang rendah menyebabkan penurunan mendadak tekanan darah dan pengurangan oksigen untuk sampai ke organ penting. Jika tidak dirawat, hypovolemic teruk boleh menyebabkan kematian,” kata Dr Quek.

Menurutnya, pendarahan yang teruk akibat kecederaan seperti mangsa kemalangan juga mengurangkan jumlah darah dalam badan dan kehilangan banyak darah menyumbang kepada penurunan dalam tekanan darah.

“Punca lain tekanan darah rendah adalah jangkitan teruk (septisemia) apabila kuman memasuki aliran darah dan mengakibatkan tekanan darah jatuh.

“Keadaan ini juga boleh mengancam nyawa, terutama apabila jangkitan menyebabkan komplikasi kepada penyakit lain yang lebih serius.

“Tindak balas alahan yang teruk (anafilaksis) akibat tubuh sensitif dengan bahan tertentu seperti makanan juga menyebabkan penurunan tekanan darah. Malah, kekurangan nutrien dalam pemakanan juga mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit ini,” katanya.

Wanita hamil juga mudah mendapat serangan tekanan darah rendah sehingga rasa pening dan loya berikutan dalam tempoh berkenaan hormon kehamilan menyebabkan tekanan darah menurun tetapi tekanan darah akan kembali ke tahap biasa selepas bersalin.

Tekanan darah rendah boleh berlaku terhadap sesiapa tetapi risiko lebih tinggi kepada mereka yang lebih berusia, pengambil ubatan tertentu dan penghidap penyakit tertentu seperti Parkinson, diabetes dan lemah jantung.

Diagnosis tekanan darah rendah dilakukan bagi memastikan punca penyakit terbabit, sekali gus membantu mendapatkan rawatan sesuai, di samping mengenal pasti masalah berkaitan jantung, otak atau sistem saraf yang menyumbang kepada penurunan tekanan darah.

“Biasanya, pesakit dikehendaki menjalani ujian tekanan darah yang membaca tekanan sistolik dan diastolik. Doktor juga akan menawarkan ujian elektrokardiogram (ECG) untuk mengesan kekurangan bekalan darah ke jantung atau aliran darah tersekat pada arteri koronari iaitu saluran darah yang membawa darah ke jantung.

“Pemeriksaan tahap tekanan darah juga boleh dilakukan menerusi ujian darah bagi mengesan sama ada seseorang mengalami lebihan atau kekurangan gula dalam darah dan kekurangan sel darah merah yang menyebabkan tekanan darah menurun,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Janganperlekehhipotensi/MA/Article

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...