Kopi O, Darah Tinggi & Pantang Kambing

Image result for goat

Satu masalah bagi saya setiap kali balik ke rumah mertua ialah sukar lena malam. Itulah yang berlaku ketika bercuti raya minggu lepas. Kadang kala terkebil-kebil saya sampai jam dua atau tiga pagi.

Ada orang kata, masalah susah lena malam bagi orang yang berpindah tempat tidur, kerana tidak biasa dengan tempat tidur yang baru. Itu biasa. Tetapi dalam kes saya, andaian puncanya lebih daripada itu.

Sejak lama dulu, saya sering mengelak minum kopi melewati jam 6 petang meskipun kopi O pekat adalah kegemaran saya. Jika saya langgar pantang itu, nescaya malamnya saya terpaksa berjaga, ada kala sehingga subuh.

Akan tetapi, kopi O pekat adalah hidangan wajib bagi keluarga mertua saya. Pantang teko kosong, pasti diisi baru. Jadi, selain sebab berpindah tempat tidur, ada kemungkinan masalah saya puncanya kerana kopi O.

Namun apabila disebut hal kopi O ataupun lain-lain minuman berkafein sebagai punca susah tidur, ada pula rakan-rakan yang memberi pandangan berbeza. Menurut mereka, itu hanya andaian psikologi, yang apabila seseorang menganggap kopi sebagai punca sukar lena malam, dia sendiri akan mengalami tekanan sekali gus menyebabkannya tidak dapat tidur. Ini pendapat oleh mereka yang walaupun minum kopi berteko-teko, tidur malam mereka tetap berdengkur!

Apa yang saya mahu kaitkan dengan pengalaman ini ialah sama ada kesukaran saya tidur malam berlaku kerana tekanan psikologi, bukan atas sebab-sebab fizikal. Turut berkait dengan isu yang sama ialah soal pemakanan, yang sememangnya menjadi isu pada musim rumah terbuka sekarang.

Kita tahu, daging adalah makanan berkolesterol tinggi yang boleh meningkatkan tekanan darah. Dalam kategori daging, daging kambing paling tinggi kolesterolnya. Namun ada rakan-rakan saya yang tidak setuju apabila banyak makan kambing dikatakan punca seseorang mudah diserang darah tinggi manakala bagi yang sedia ada darah tinggi, boleh jadi lebih teruk hingga terkena serangan strok.

Saya teringat kisah seorang kawan yang mengadu, dia bukan sahaja tidak boleh makan daging kambing (kerana sudah ada darah tinggi) malah berselisih dengan kambing pun tidak boleh. “Aku kalau jumpa kambing, dari jauh lagi sudah menyimpang,” katanya.

Berkait dengan darah tinggi, saya sendiri sudah ada penyakit ini tetapi daging kambing tetap saya bedal juga. Pada bulan puasa baru lalu. entah berapa kilo daging kambing sudah masuk perut saya kerana melihat kambing tanpa kepala diputar-putar pada besi semanggang sahaja sudah cukup untuk membuat saya terliur.

Itu belum lagi cerita kambing kebuli yang wajib ada dalam setiap hidangan buffet di mana-mana. Akan tetapi, yang aneh bagi saya, sepanjang dua minggu berada di Tanah Suci dalam kunjungan umrah beberapa tahun lalu, saya tidak pula terasa apa-apa kesan yang berbeza meskipun hampir setiap hari hidangan saya adalah daging kambing. Ini berbeza dengan kambing yang saya makan di Malaysia.

Ada kawan-kawan beri komen, daging kambing yang dimakan di Tanah Suci tidak menjejaskan kesihatan kerana ketika disembelih, ia mati dalam iman.

Dikisahkan orang mengenai seorang penghidap darah tinggi kronik yang kononnya sudah lama berpantang makan daging kambing. Pada suatu majlis kenduri, dia jamah dengan cukup berselera kurma daging yang disangkanya daging lembu.

Selang beberapa hari kemudian, ketika berborak dengan kawan-kawan termasuk tuan kenduri yang dihadirinya, dia pun bercerita mengenai pantang daging kambing yang menurutnya sudah bertahun-tahun dipatuhi. Mendengar itu, si tuan kenduri pun bersuara: “Bertahun-tahun apa, yang hang makan kenduri di rumah aku hari tu daging kambinglah.” Habis tuan kenduri berkata-kata, si pemantang daging kambing tiba-tiba jatuh pitam, kononnya akibat serangan darah tinggi yang kritikal walhal sebelum itu, dia sihat walafiat sahaja. Adakah ini kaitannya tekanan psikologi juga?

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/muhamad-mat-yakim/kopi-o-darah-tinggi-pantang-kambing-1.2626

Mengurus Darah Tinggi

Berhati-hati dengan pilihan makanan

mariatul qatiah 
zakaria | 10 Februari 2015 2:22 PM

 
Sayur-sayuran pilihan terbaik untuk penghidap kencing manis.

HIPERTENSI atau tekanan darah tinggi merupakan salah satu penyakit paling kerap dihidapi penduduk negara ini.

Walaupun bahaya penyakit ini telah banyak didedahkan begitu juga cara-cara untuk mencegahnya, bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.

Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit tersebut, malah ada individu yang tidak mengetahui mereka mengalami tekanan darah tinggi.

Dalam kebanyakan kes, penyakit ini tidak akan hilang, dalam erti kata lain dihidapi seumur hidup.

Akibatnya, penghidap tekanan darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

Secara amnya, penyakit tersebut merujuk kepada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

Individu yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat, berpotensi mendapat penyakit tersebut.

Sekiranya keadaan tersebut tidak dibendung dari awal boleh membawa risiko serangan atau kegagalan jantung, strok, dan kerosakan buah pinggang.

Kesemua risiko akibat komplikasi darah tinggi ini boleh dielakkan jika individu tersebut berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

Menurut Pegawai Pemakanan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Nur Shakila Pingi, kepada mana-mana individu yang mempunyai penyakit darah tinggi, mereka dinasihatkan agar menjaga pemakanan harian.

Ini kerana katanya, pemakanan turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat tekanan darah tinggi.

“Kajian ada menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit tersebut dan menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi.

“Pesakit digalakkan mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan, dan kekacang.

“Pada masa yang sama, pesakit tekanan darah tinggi disarankan agar mengurangkan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu, dan daging,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, katanya, penyakit tekanan darah dan kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.

Disebabkan permasalahan ini, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.

Untuk itu juga, pesakit darah tinggi turut disarankan agar mengelakkan pengambilan makanan segera di samping ikan masin dan telur masin.

Bagi pesakit tekanan darah tinggi, mereka seharusnya membaca analisis khasiat makanan yang terdapat pada setiap bungkusan makanan supaya sesuai dengan pelan makanan harian.

Selain itu, susu rendah lemak, buah-buahan tinggi potasium dan serat, nasi dan roti perang, serta yogurt tanpa perisa, antara makanan yang disarankan untuk pesakit darah tinggi.

“Jadi, kawalan diet terutama pengambilan garam selain melakukan senaman untuk mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi.

“Di sini juga diingatkan bahawa stres boleh meningkatkan tekanan darah. Untuk itu pesakit dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.

“Penyakit darah tinggi ini boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat,” beritahunya lagi sebelum mengakhiri bicara.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/mengurus-darah-tinggi-1.58042#sthash.M62FVQu8.dpuf

1/3 Rakyat M'sia Hidap Darah Tinggi Terlebih Makan Garam

Foto: Harakah DailyFoto: Harakah DailyKUALA LUMPUR: Sepertiga daripada rakyat di negara ini menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi akibat mengambil garam berlebihan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari.

Ia adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya ketika menjadi tetamu khas program 'Ala Carte Pagi' terbitan Bernama Radio24 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk Malaysia agar mengambil tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh garam sehari bagi membendung hipertensi.
"Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengawal pengambilan garam, penyakit hipertensi itu akan menjadi lebih serius dan boleh mengundang kepada risiko kematian," katanya.

Dr Feisul berkata garam menjadi sumber utama sodium dalam kebanyakan makanan kegemaran rakyat di negara ini apabila ia dijadikan sebagai penambah perisa bagi menyedapkan makanan itu.

"Sebagai contoh, masyarakat pada masa sekarang lebih gemar makan di luar berbanding memasak sendiri, jadi masakan panas bergoreng yang mengandungi kandungan garam tinggi menjadi kegemaran mereka.

"Ditambah pula dengan lidah mereka yang telah terbiasa dengan makanan masin dan bergaram, apabila makanan bergoreng itu dikatakan 'tidak cukup rasa' mereka akan menambah kicap atau garam," katanya.
Dr Feisul berkata rakyat perlu mengurangkan pengambilan garam dengan menggunakan herba dan bahan perasa asli untuk menyedapkan makanan.

"Amalkan cara pemakanan sederhana yang kurang garam dan bersos ketika makan di luar," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menganjurkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia dari 9 hingga 13 Mac ini bagi mewujudkan kesedaran bahayanya pengambilan garam secara berlebihan.

Seminar berkenaan pengambilan garam juga akan diadakan untuk orang awam pada 12 Mac ini bertempat di Kompleks KKM, Putrajaya dan masuk adalah percuma, katanya.

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/541244-1-3-rakyat-m-sia-hidap-darah-tinggi-terlebih-makan-garam.html

Padah Makan Daging Kambing Setiap Hari


MAKAN dianggap aktiviti wajib dan hobi kegemaran bekas pengurus bank ternama di ibu kota, Zainal Abidin Nordin. Menu kesukaannya adalah kari kambing atau daging bebiri tua dan raja buah, durian jenis Musang King. Rentetan tabiat suka makan itu, Zainal Abidin akhirnya disahkan menghidap salah satu cabang penyumbang masalah kardiovaskular iaitu darah tinggi atau dari sudut saintifik dikenali sebagai hipertensi pada usia 19 tahun.

Ketika ditemubual kolum Sihat di kediamannya baru-baru ini, Zainal Abidin berkata, usia muda banyak dihabiskan dengan 'mencintai' makanan dan mula menyedari menghidap hipertensi selepas kerap kali mengalami pening teruk pada awal pagi. Zainal Abidin berkata, perkara itu menyebabkan beliau terpaksa berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca sakit yang dialami. Disifatkan sebagai terlebih berat ketika itu, beliau mula sedar perlu menjaga kaedah pemakanan serta rajin menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengawal tekanan darah tinggi.

Mengulas lanjut mengenai menu kesukaannya, kegilaannya terhadap daging kambing mendorong Zainal Abidin makan daging itu setiap hari. "Sekurang-kurangnya, saya perlu ambil satu hidangan masakan berunsurkan kambing setiap hari. Jika tidak, saya akan rasa lemah dan tidak bersemangat menjalankan kerja harian. "Sudahnya, saya sudah boleh jangka jika alami pening dan mual, pasti tekanan darah tinggi memuncak. Justeru, saya atasi dengan amalkan minum segelas air limau suam dan berehat sekurang-kurangnya sejam selepas itu," kata bapa kepada empat anak ini.

Mengimbau saat getir menghidap sakit darah tinggi, Zainal Abidin berkata, selain pengambilan makanan tidak seimbang, tekanan kerja turut mempengaruhi kenaikan tekanan darah. Beliau berkata, bebanan kerja sebagai pengurus bank dan tumpuan bagi memastikan perjalanan karier lancar menyebabkan Zainal sering mengalami tekanan berkali ganda. "Selalunya, waktu kerja padat antara jam lapan pagi hingga 9.30 malam menambahkan kesukaran mengurangkan tekanan. "Bayangkan, rutin normal dilakukan setiap hari seperti solat dan makanpun di pejabat saja. Tiada masa senggang dan ia tidak lagi mengambil kita faktor terpaksa mengharungi kesesakan trafik dalam perjalanan pergi dan balik kerja," katanya.

Difahamkan, tekanan darah lelaki berusia 61 tahun ini kembali normal selepas bersara. Aspek penjagaan pemakanan seperti mengurangkan masakan berlemak, bergaram, makanan bergula dan paling utama, makanan berminyak, membolehkan beliau mengatasi penyakit dialami. Malah, Zainal Abidin sudah empat tahun tidak merasai keenakan roti canai selain mengamalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan purata berjalan kaki sejauh tiga kilometer pada setiap sesi senaman.

Waktu senggang diisi dengan bersosial bersama 'Kumpulan Jogging Titiwangsa' yang turut dianggotai lebih 30 anggota seusianya. Aktif dan gembira dengan aktiviti dirancang, Zainal Abidin mencadangkan supaya pesakit hipertensi sentiasa tenang, yakin dan menghayati kehidupan dengan ceria. "Prinsip saya mudah. Kegembiraan dan kecenderungan minat akan membuatkan anda leka sekali gus tidak berfikir mengenai penyakit.

Serangan psikologi melemahkan dan ia membuat anda rasa teruk mempunyai penyakit. “Jadi, hargai kecergasan dan keceriaan anda," katanya yang masih menjalani pemeriksaan doktor setiap bulan dan mengambil ubat bagi mengawal kestabilan tekanan darah.

sumber: Berita Harian Online

Gaya Hidup Punca Darah Tinggi

 

Kegilaan masyarakat terhadap gaya hidup urban selain pendedahan kepada budaya hidangan popular seperti roti canai, kari kambing serta sup gearbox berisiko menyebabkan anda menghidap penyakit kardiovaskular iaitu darah tinggi.

Darah tinggi terjadi apabila darah dalam arterial dan venous circuit sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada biasa. Jika tidak dikawal, penyakit kategori pembunuh senyap ini mampu mencetuskan antara punca Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, angin ahmar dan kerosakan buah pinggang dalam masa panjang. - Dr Azani Mohamad Daud.

Keadaan ini menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh sekali gus menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Berdasarkan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006, dianggarkan sekurang-kurangnya 63 peratus pesakit mengalami sama ada satu punca penyakit kardiovaskular manakala 33 peratus menghidapi dua punca utama pembunuh senyap itu.

Kajian itu juga mendapati hanya 14 peratus pesakit mengalami ketiga-tiga faktor berkenaan. Kadar kajian penyakit bagi individu dewasa berusia 30 tahun ke atas menunjukkan penyakit hipertensi menduduki senarai tertinggi dengan peratusan sebanyak 43 peratus, diikuti obesiti (37 peratus), hiperkolesterol (24 peratus) dan hipergilacemia (15 peratus).

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Dr Azani Mohamad Daud berkata, berdasarkan maklumat dalam kajian NHMS, daripada sejumlah 5.8 juta orang di Malaysia, hanya 2.2 juta pesakit saja mengambil inisiatif mendapatkan rawatan dan ubat mengawalnya. Dr Azani berkata, laporan menunjukkan kebanyakan pesakit lebih gemar bersikap tidak endah dengan pecahan 41 peratus, diikuti mempunyai kesedaran (35 peratus), diagnosa dan mendapatkan rawatan (32 peratus) dan stabil atau terkawal (sembilan peratus). Malah, hanya segelintir mempunyai kesedaran mendapatkan rawatan dengan pecahan Melayu iaitu 26 peratus bagi lelaki dan 34.2 peratus (perempuan), diikuti lelaki Cina (32.8 peratus) dan perempuan 40.4 peratus. Manakala lelaki India sebanyak 37.4 peratus dan perempuan 38.2 peratus.

 "Sasaran tekanan darah ideal adalah di bawah 140/90 mmHg bagi individu yang tidak mengalami sebarang penyakit sampingan. Manakala di bawah 130/80mmHg sekiranya mengalami diabetes, angin ahmar dan penyakit kronik. "Penyakit darah tinggi boleh dielak. Namun, bakal berlaku pada sesiapa saja dengan potensi tinggi dalam kalangan perokok, individu kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang, obesiti dan hiperkolesterol. "Jika tidak dikawal, penyakit kategori pembunuh senyap ini mampu mencetuskan antara punca Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, angin ahmar dan kerosakan buah pinggang dalam masa panjang," katanya pada Mesyuarat Tahunan Saintifik Persatuan Hipertensi Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyebab utama penyakit kardiovaskular ini, Dr Azani berkata, kesedaran membabitkan penyakit hipertensi kurang dalam kalangan lelaki. Namun, paling ramai dihidapi perempuan. Berdasarkan kajian mengikut bangsa, wanita Melayu dikatakan menjuarai kategori penyakit hipertensi paling ramai di Malaysia iaitu dengan 48.4 peratus, diikuti lelaki Cina (42.4 peratus), lelaki Melayu (41.7 peratus), lelaki India (40.5 peratus), perempuan India (39.5 peratus) dan perempuan Cina (38.7 peratus).

Dr Azani berkata, pesakit hipertensi perlu sedar bahawa ada beberapa peringkat tekanan darah tinggi iaitu Peringkat Tiga dengan tekanan darah melebihi 180 mmHg sistolik); Peringkat Dua (antara 160-179 mmHg sistolik); Peringkat Satu (antara 140 hingga 159 mmHg sistolik); pra-hipertensi (120 hingga 139 mmHg sistolik) dan ideal (kurang 120 mmHg).

"Setiap peringkat membawa natijah berbeza antaranya ‘serangan penyakit vaskular Periferal’ pada Peringkat Satu, kegagalan fungsi buah pinggang pada Peringkat Dua dan lebih teruk yang mampu membuatkan pesakit koma adalah serangan angin serta kegagalan injap jantung di Peringkat Tiga. "Rawatan untuk mengawal hipertensi adalah mengawal berat badan sekali gus mendapatkan berat ideal atau unggul iaitu antara 18.5 hingga 22.9 kg/m2; tekanan darah ideal; tekanan kolestrol keseluruhan (kurang 5.2 mmol/l); serum seratinin (kurang 120umol/L) dan mendapatkan tekanan gula yang stabil.

 "Orang ramai perlu sedar bahawa penyakit ini tidak mempunyai gejala jelas dan boleh dikesan melalui pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali," katanya menjelaskan tindakan segelintir pesakit tidak mengendahkan tekanan penyakit darah tinggi dalam risiko bahaya termasuk kematian. Justeru, Dr Azani berkata, masyarakat perlu memantau kesihatan masing-masing melalui penekanan gaya hidup berikutan penyakit ini berlaku atas pelbagai faktor.

Sehubungan itu, pesakit perlu bertanggungjawab dan lebih efektif terhadap kesihatan masing-masing serta mendapatkan pengetahuan membabitkan sakit dialami. Kajian saintifik menunjukkan persekitaran amat kuat dan cenderung mempengaruhi tingkah laku manusia. Fokus MHS adalah meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai gaya hidup sihat bagi kurangkan risiko penyakit NCD serta membangunkan kepentingan integrasi dan pengurusan multidisiplin risiko kardiovaskular.

sumber: Berita Harian

Adakah Semua Kelahiran Daripada Ibu Yang Menghidap Darah Tinggi Akan Berakhir Dengan Kematian dan Kecacatan?

 
Saya berusia 32 tahun, sudah berkahwin selama tujuh tahun dan mempunyai dua anak masing-masing berumur tujuh dan empat tahun.Baru-baru ini, saya disahkan mempunyai darah tinggi dan saya diberikan ubat dos rendah yang perlu diambil setiap hari.

Saya teringin untuk hamil lagi, tetapi doktor memberitahu saya hanya boleh hamil sehingga usia 35 tahun saja. Pada masa sama saya melihat kesukaran kakak ipar saya sewaktu melahirkan kedua-dua anaknya, juga disebabkan darah tinggi.

Saya begitu teringin untuk hamil, tetapi takut memikirkan risikonya. Apakah pandangan doktor? Adakah semua kelahiran daripada ibu yang menghidap darah tinggi akan berakhir dengan kematian dan kecacatan?


Nor,

Johor Bahru, Johor.


Eloklah kita tidak meletakkan perkataan ‘semua’ dalam perkara yang bukan di dalam kuasa kita. Kematian dan kecacatan (saya jangka ia merujuk kepada kekurangan fungsi otak akibat kompikasi sawan darah tinggi) memang antara risiko penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan, tetapi bukanlah semua.

Saya pasti doktor anda sudah pun berbincang mengenai risiko dan komplikasi penyakit darah tinggi kepada anda dan kandungan. Bukan itu saja, anda dan suami juga perlu memikirkan kesan tidak langsung kepada ahli keluarga yang lain apabila risiko atau komplikasi terbabit berlaku.

Jika itulah juga pilihan anda, saya sarankan anda menjalani pemeriksaan pakar terlebih dulu sebelum hamil. Jarang wanita seusia anda mengalami penyakit darah tinggi, lazimnya ia mempunyai sebab.

Amah Mati Ketika Soal Siasat Akibat Darah Tinggi

 

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan bahawa pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal ketika sedang disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja Besut semalam adalah akibat tekanan darah tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata hasil laporan bedah siasat pakar forensik perubatan mendapati saluran darah utama ke jantung mangsa pecah akibat tekanan darah tinggi.

"Kita mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan tiada sebarang kecederaan dan unsur jenayah berlaku pada mangsa," katanya kepada pemberita.

Pembantu rumah yang berusia 42 tahun itu maut ketika sedang disoal siasat berhubung kes kecurian duit milik ibu majikannya.

Kes itu disedari adik ipar majikan mangsa kira-kira pukul 11.30 malam Ahad lalu setelah pembantu rumah itu melarikan diri dari rumah ibu majikannya di Kampung Seberang Jerteh.

Manoharan berkata majikan pembantu rumah itu yang merupakan seorang guru sebelum itu meminta adik iparnya memeriksa barang-barang berharga di rumah ibunya dan mendapati duit sebanyak RM5,000 yang diletakkan di dalam sampul telah hilang.

"Majikannya bersama beberapa jiran mencari pembantu rmah itu di kawasan sekitar dan berjaya menemuinya di sebuah taman permainan kanak-kanak tidak jauh dari tempat kejadian bersama beg pakaiannya," katanya.

Beliau berkata majikannya lalu membawa suspek ke Balai Polis Kampung Raja dan kira-kira pukul 2.30 petang semasa pihak polis sedang mengambil keterangan daripadanya, pembantu rumah yang sedang duduk di kerusi tiba-tiba rebah dan jatuh dari kerusi.

Manoharan berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku telah menyerahkan wang tersebut kepada suaminya namun pihak polis belum mengetahui bagaimana dia menyerahkan wang berkenaan.

Difahamkan dia mempunyai suami di Johor.

Katanya pembantu rumah itu yang menjaga ibu majikannya yang lumpuh sejak Mei lepas mempunyai mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi.

-- BERNAMA

http://web6.bernama.com/bernama//v3/bm/news_lite.php?id=971270
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...