Satu masalah bagi saya setiap kali balik ke rumah mertua ialah sukar lena malam. Itulah yang berlaku ketika bercuti raya minggu lepas. Kadang kala terkebil-kebil saya sampai jam dua atau tiga pagi.
Ada orang kata, masalah susah lena malam bagi orang yang berpindah tempat tidur, kerana tidak biasa dengan tempat tidur yang baru. Itu biasa. Tetapi dalam kes saya, andaian puncanya lebih daripada itu.
Sejak lama dulu, saya sering mengelak minum kopi melewati jam 6 petang meskipun kopi O pekat adalah kegemaran saya. Jika saya langgar pantang itu, nescaya malamnya saya terpaksa berjaga, ada kala sehingga subuh.
Akan tetapi, kopi O pekat adalah hidangan wajib bagi keluarga mertua saya. Pantang teko kosong, pasti diisi baru. Jadi, selain sebab berpindah tempat tidur, ada kemungkinan masalah saya puncanya kerana kopi O.
Namun apabila disebut hal kopi O ataupun lain-lain minuman berkafein sebagai punca susah tidur, ada pula rakan-rakan yang memberi pandangan berbeza. Menurut mereka, itu hanya andaian psikologi, yang apabila seseorang menganggap kopi sebagai punca sukar lena malam, dia sendiri akan mengalami tekanan sekali gus menyebabkannya tidak dapat tidur. Ini pendapat oleh mereka yang walaupun minum kopi berteko-teko, tidur malam mereka tetap berdengkur!
Apa yang saya mahu kaitkan dengan pengalaman ini ialah sama ada kesukaran saya tidur malam berlaku kerana tekanan psikologi, bukan atas sebab-sebab fizikal. Turut berkait dengan isu yang sama ialah soal pemakanan, yang sememangnya menjadi isu pada musim rumah terbuka sekarang.
Kita tahu, daging adalah makanan berkolesterol tinggi yang boleh meningkatkan tekanan darah. Dalam kategori daging, daging kambing paling tinggi kolesterolnya. Namun ada rakan-rakan saya yang tidak setuju apabila banyak makan kambing dikatakan punca seseorang mudah diserang darah tinggi manakala bagi yang sedia ada darah tinggi, boleh jadi lebih teruk hingga terkena serangan strok.
Saya teringat kisah seorang kawan yang mengadu, dia bukan sahaja tidak boleh makan daging kambing (kerana sudah ada darah tinggi) malah berselisih dengan kambing pun tidak boleh. “Aku kalau jumpa kambing, dari jauh lagi sudah menyimpang,” katanya.
Berkait dengan darah tinggi, saya sendiri sudah ada penyakit ini tetapi daging kambing tetap saya bedal juga. Pada bulan puasa baru lalu. entah berapa kilo daging kambing sudah masuk perut saya kerana melihat kambing tanpa kepala diputar-putar pada besi semanggang sahaja sudah cukup untuk membuat saya terliur.
Itu belum lagi cerita kambing kebuli yang wajib ada dalam setiap hidangan buffet di mana-mana. Akan tetapi, yang aneh bagi saya, sepanjang dua minggu berada di Tanah Suci dalam kunjungan umrah beberapa tahun lalu, saya tidak pula terasa apa-apa kesan yang berbeza meskipun hampir setiap hari hidangan saya adalah daging kambing. Ini berbeza dengan kambing yang saya makan di Malaysia.
Ada kawan-kawan beri komen, daging kambing yang dimakan di Tanah Suci tidak menjejaskan kesihatan kerana ketika disembelih, ia mati dalam iman.
Dikisahkan orang mengenai seorang penghidap darah tinggi kronik yang kononnya sudah lama berpantang makan daging kambing. Pada suatu majlis kenduri, dia jamah dengan cukup berselera kurma daging yang disangkanya daging lembu.
Selang beberapa hari kemudian, ketika berborak dengan kawan-kawan termasuk tuan kenduri yang dihadirinya, dia pun bercerita mengenai pantang daging kambing yang menurutnya sudah bertahun-tahun dipatuhi. Mendengar itu, si tuan kenduri pun bersuara: “Bertahun-tahun apa, yang hang makan kenduri di rumah aku hari tu daging kambinglah.” Habis tuan kenduri berkata-kata, si pemantang daging kambing tiba-tiba jatuh pitam, kononnya akibat serangan darah tinggi yang kritikal walhal sebelum itu, dia sihat walafiat sahaja. Adakah ini kaitannya tekanan psikologi juga?
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/muhamad-mat-yakim/kopi-o-darah-tinggi-pantang-kambing-1.2626
No comments:
Post a Comment