Ramai Tak Tahu Hidap Darah Tinggi


Kuala Lumpur: Masih ramai dalam kalangan rakyat di negara ini tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi kerana penyakit itu tidak mempunyai gejala khusus menyebabkan mereka sering mengabaikan rawatan.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia Prof Datin Dr Chia Yook Chin berkata, sekiranya pesakit mula menyedari berlaku gejala tertentu memberi petanda sudah terlambat kerana penyakit berkenaan sudah merosakkan sebahagian fungsi badan mereka. “Sebab itu, adalah lebih baik penyakit tekanan darah tinggi disekat di peringkat permulaan daripada membiarkannya menjadi bertambah teruk dan membawa kepada komplikasi lain.

“Bagaimanapun, jika pesakit sudah didiagnos menghidap penyakit berkenaan, terapi paling efektif mampu mengawal penyakit itu hanya jika pesakit berkenaan bersungguh-sungguh mengambil ubat yang disaran, mematuhi arahan rawatan dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-11 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2014 di sini, semalam.

Dalam pada itu, menerusi Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 oleh Kementerian Kesihatan, 32.7 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap hipertensi berbanding 20.7 peratus pada 1996 dan 32.2 peratus pada 2006.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa daripada jumlah berkenaan, 19.8 peratus tidak mendapatkan diagnosis.

Tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai keadaan apabila tekanan darah dalam arteri atau salur darah meningkat secara kronik. Tekanan darah seseorang yang kurang dari 120/70 mmHg didefinisikan sebagai normal.
Hipertensi biasanya terjadi pada tekanan darah 140/90 mmHg atau ke atas dan ia diukur pada kedua-dua lengan sebanyak tiga kali dalam jangka masa beberapa minggu. Jika bacaan masih sama, maka seseorang itu menghidap darah tinggi.

Tekanan darah tinggi kebiasaannya berlaku dalam beberapa keadaan antaranya jantung berdegup atau mengepam lebih kuat bagi mengalirkan lebih banyak darah pada setiap kali degupan.

Darah Tinggi Ancam Ginjal

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Saat diberitahu berita itu, 15 tahun lalu, Tengku Rohani Husain, 58, merasakan dunianya gelap selain sedih kerana masih ada tanggungjawab yang perlu digalas apatah lagi waktu itu anak bongsunya baru berusia empat tahun.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, semuanya tanpa diminta namun mungkin sudah takdirnya. Mujur suami dan anak-anak sentiasa berdiri di sisi dan tidak putus-putus memberi sokongan moral kepadanya.

“Saya tidak pernah menduga akan mendapat penyakit ini. Tahu sajalah penyakit buah pinggang memerlukan kos tinggi setiap kali rawatan terutama hemodialisis.

“Memang perit sewaktu melakukannya malah tekak berasa kering dan cepat haus. Namun saya gagahkan diri kerana memikirkan masa depan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kesedaran Buah Pinggang di ibu kota baru-baru ini.

Hemodialisis proses mengalirkan darah keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer atau ginjal tiruan.

Selain itu, juga terdapat rawatan alternatif pesakit buah pinggang iaitu peritonial dialisis (PD) yang dilakukan dalam badan. Selaput nipis yang dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen meliputi semua rongga abdomen.

Ia separa telap iaitu hanya bahan-bahan tertentu boleh melalui selaput berkenaan. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah ketika dialisis.

Menurut Rohani, rawatan hemodialisis yang dilakukan membuatkan dirinya sering berulang alik ke pusat dialisis kerana rawatan itu hanya boleh dilakukan di luar.

“Dalam seminggu, tiga kali saya perlu membuat rawatan. Ada kala perlu menunggu dan kalau kurang bernasib baik tidak dapat peluang menjalani rawatan berkenaan disebabkan ramai orang apatah lagi saya mempunyai masalah tulang yang menyebabkan badan sering sakit-sakit,” katanya.

Tidak lama selepas itu, doktor mengesyorkan supaya Rohani menukar rawatan hemodialisis kepada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

CAPD berfungsi menggunakan prosedur pertukaran yang perlu dipelajari ketika latihan. Sebagai permulaan, tiub lembut steril peritonial dialisi (PD) disambung kepada set tiub.

Larutan yang berada dalam abdomen pada pertukaran sebelumnya mesti disalur keluar daripada rongga peritoneum ke dalam beg yang sudah tersambung.

Apabila cecair sudah dikeluarkan sepenuhnya daripada rongga peritoneal larutan dialisis baru disalur masuk melalui tiub mengisi rongga peritoneum dengan jumlah cecair baru yang ditetapkan.

Beg dan set tiub kemudian ditanggalkan dan dibuang. Dalam fasa pengantaraan (dwell) ini, apabila cecair berada dalam rongga peritoneum barulah dialisis sebenar atau penapisan bahan buangan dan cecair berlaku membuatkan anda bebas menjalankan kegiatan harian sambil dialisis berlaku dalam rongga peritoneum.

Setiap pertukaran mengambil masa 30 minit dan dilakukan setiap empat hingga enam jam. Pertukaran malam terakhir kekal atau disimpan dalam rongga peritoneum semalaman ketika tidur.

Katanya lagi, CAPD lebih memberi kebebasan melakukan dialisis di rumah, tempat kerja malah ketika bercuti.

“Kehidupan saya berubah sepenuhnya selepas menukar rawatan ke CAPD. Kini saya bebas membuat aktiviti harian seperti bercucuk tanam, memasak, membuat kerja rumah dan lain.

“Kini saya menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain. Paling penting rawatan ini memerlukan tahap penjagaan kebersihan paling tinggi bagi mengelakkan sebarang gangguan,” katanya yang mempunyai bilik khas di kediamannya yang dilengkapi penghawa dingin bagi melakukan rawatan CAPD.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher berkata, penyakit buah pinggang adalah pembunuh secara senyap yang mungkin tidak diketahui orang ramai.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan Malaysia akan mempunyai 2.48 juta penghidap sakit buah pinggang menjelang 2030. Reaksi takut, gerun dan terkejut saja tidak bermakna, sebaliknya semua perlu prihatin menjaga kesihatan.

“Terdapat pelbagai rawatan untuk pesakit. Rutin pemeriksaan kesihatan harian amat penting bagi mengelakkan penyakit menjadi semakin serius,” katanya.

Katanya, sembilan tahun lalu, bilangan pesakit yang menjalani dialisis di Malaysia meningkat tiga kali ganda daripada 9,034 pada 2002 kepada 26,159 tahun lalu.

Keadaan ini berpunca daripada cara hidup tidak sihat yang menyebabkan penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis menyebabkan kerosakan buah pinggang.



Info


  • Dialisis - Rawatan perubatan membantu pesakit mengalami kegagalan buah pinggang untuk mengeluarkan bendalir dan bahan buangan daripada darah.

  • Hemodialisis - Dialisis yang membersihkan darah dengan mengalirkannya keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer.

  • Peritonial dialisis (PD) - Dilakukan dalam badan. Selaput nipis dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen serta meliputi kesemua organ dalam rongga abdomen. Ia separa telap yang bermaksud hanya bahan tertentu boleh melalui selaput berkenaan. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah sewaktu dialisis.
  • Darah Tinggi Pembunuh Senyap

    Tekanan darah tinggi juga dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak memberikan tanda atau amaran.
    Sekiranya tidak dirawat, ia boleh membawa risiko sera­ngan jantung, strok, penyakit buah pinggang dan dementia (nyanyuk).


    Ia berlaku apabila jantung menggunakan tekanan berlebihan bagi mengepam darah ke urat dan arteri manakala peningkatan berulang kali ini menyebabkan tekanan darah tinggi kronik.

    Tekanan darah tinggi berlaku mungkin disebabkan faktor persekitaran termasuk sejarah keluarga, diet natrium yang tinggi, pengambilan alkohol berlebihan, corak kehidupan yang tidak aktif, tekanan dan merokok.
    Foto


    Berikut panduan untuk mengawal tekanan darah:

  • Jalani pemeriksaan tekanan darah secara tetap.
  • Kekalkan berat badan seimbang.
  • Kurangkan pengambilan garam.
  • Amalkan pemakanan seimbang.
  • Kurangkan minuman beralkohol.
  • Jangan ponteng mengambil ubat walaupun sehari. Pastikan ubat dimakan mengikut jadual.
  • Tepati temu janji de­ngan doktor bagi membolehkan dok­tor memantau kesihatan secara menyeluruh.
  • Mulakan bersenam, sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor jenis senaman yang sesuai.
  • Jika disahkan mengalami tekanan darah tinggi, pastikan seisi keluarga turut dibawa menjalani pemeriksaan tekanan darah secara tetap kerana mereka juga berisiko tinggi mendapat masalah sama.
  • Belajar menangani tekanan dan cuba jalani kehidupan sebaik mungkin.


    Antara panduan pencegahan dan mengatasi tekanan darah tinggi:
  • Ambil makanan yang mengandungi kalium, magnesium dan kalsium yang mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.
  • Senaman secara teratur dapat menurunkan tekanan darah tinggi. Jika anda menderita tekanan darah tinggi, pilih senaman olahraga yang ringan seperti berjalan kaki, berbasikal, lari santai dan berenang. Lakukan selama 30 hingga 45 minit sehari sebanyak tiga kali seminggu.
  • Makan sayur dan buah berserat tinggi seperti sayuran hijau, pisang, tomato, tembikai dan oren.
  • Jalani terapi antitekanan untuk mengurangkan tekanan
  • Berhenti merokok.
  • Kawal kadar kolesterol.
  • Kawal diabetes.
  • Hindari ubat yang boleh meningkatkan tekanan darah dan dapatkan nasihat doktor jika menerima rawatan untuk penyakit tertentu.

    Tekanan darah tinggi bukan suatu penyakit yang tidak boleh diatasi kerana paling penting, gunakan cara betul untuk menanganinya.

  • http://www.hmetro.com.my/articles/Pembunuhsenyap/Article
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...