Darah Tinggi & Mati Pucuk

Kawal tekanan darah tinggiTANYALAH mana-mana lelaki di dunia ini, mati pucuk atau Disfungsi Erektil (ED) adalah masalah yang cukup ditakuti. Paling menakutkan, ia boleh berlaku kepada semua lelaki tanpa mengira umur, bangsa dan keturunan walaupun lelaki berusia 40 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat ED.

Selain kencing manis dan gangguan kardiovaskular, hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah antara penyakit kronik yang boleh menyebabkan ED.

Malah, darah tinggi juga boleh membuatkan pesakit diserang strok dan buah pinggang tanpa mereka sedari. Bahayanya penyakit berkenaan ibarat api dalam sekam.

Sehubungan itu, Kelab Hipertensi Malaysia (MHC) menganjurkan forum bertajuk 'Tekanan Darah Tinggi - Kawal Sebelum Terlambat' di hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia diadakan dengan kerjasama Persatuan Hipertensi Malaysia dan Merck Sharp & Dohme dan dihadiri kira-kira 100 peserta.

Presiden MHC, Kong Voon Sin, berkata forum berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit darah tinggi serta langkah untuk mencegahnya.

"Ramai penghidap tidak tahu mereka menghidap darah tinggi. Justeru, ia perlu dikawal sebelum kita tidak dapat mengawalnya," katanya.

Forum itu turut disertai pakar perubatan Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Ng Wai Kiat, Perunding Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zahir dan Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Chua Chin Teong.

Perkara paling penting untuk mengawal tekanan darah ialah dengan menjadi lebih aktif. Aktiviti fizikal boleh mencegah masalah tekanan darah tinggi. Jika tekanan darah sememangnya tinggi, senaman boleh membantu mengawalnya.

Dr Ng berkata, gaya hidup moden, kurang bergerak dan pemakanan tidak seimbang serta banyak lemak adalah punca utama tekanan darah tinggi.

"Jangan jadikan tidak cukup masa sebagai alasan untuk tidak bersenam. Cari masa sesuai untuk kesejahteraan hidup anda walaupun sekadar berjalan selama 20 minit sehari. Selain itu cuba ubah gaya hidup dan tabiat pemakanan.

"Bagi lelaki yang merokok, segeralah berhenti. Ramai akui sukar untuk berhenti merokok, tetapi ia bukan mustahil untuk dilakukan. Cuba lakukan aktiviti yang boleh membuatkan anda lupa dengan rokok. Perlu diingati, selain darah tinggi, tabiat merokok berkait rapat dengan masalah ED," katanya.

ED adalah petunjuk awal kepada masalah kesihatan seperti darah tinggi. ED boleh berlaku akibat kadar kolesterol tinggi kerana ia menyebabkan tahap hormon testeron rendah.

Sementara itu kajian perangkaan jangka hayat sihat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hayat lelaki lebih rendah berbanding wanita di kebanyakan negara di seluruh dunia walaupun berbeza dari segi umur.

http://www.biovco.com/indexik.php?ref=mkd&no=48&tjk=kawal_tekanan_darah_tinggi.php

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...