Kajian berkenaan yang disiarkan majalah mingguan Britain, The Lancet menyatakan dalam tempoh itu jumlah mereka yang menghidap penyakit itu akan meningkat daripada seorang dalam empat penduduk kepada seorang dalam tiga penduduk.
Laporan itu dikeluarkan berdasarkan 30 kajian mengenai penyakit darah tinggi dalam masyarakat berpuluh-puluh negara dunia yang disiarkan sejak 13 tahun lalu.
Menurut kajian, pada 2000, jumlah lelaki dewasa yang menghidap darah tinggi adalah 972 juta iaitu 333 juta di negara kaya dan 639 juta di negara membangun.
Menjelang 2025, jumlah itu diramal meningkat kira-kira 60 peratus atau mencecah 1.56 bilion atau seorang daripada tiga penduduk dunia. Negara membangun akan menerima akibat paling buruk dengan peningkatan itu.
Insiden tekanan darah tinggi akan meningkat kepada 80 peratus di negara membangun dan pengarang laporan itu menyatakan, jumlah itu mungkin terlalu rendah jika dibandingkan dengan perubahan mendadak cara hidup di negara yang begitu pantas membangun.
Bagaimanapun, kajian itu meramalkan hanya peningkatan 24 peratus di negara maju.
Antara punca peningkatan ketara penyakit itu adalah pertambahan penggunaan produk tembakau terutamanya di negara Asia, makanan berlemak yang menyebabkan kolestrol, kurang bersenam serta penggunaan garam yang tinggi dalam makanan sudah diproses.
Kajian itu diketuai oleh Jaing He dari Sekolah Perubatan Awam dan Ubatan Tropika, Universiti Tulane, New Orleans, Louisiana.
Tekanan darah tinggi adalah punca utama kepada penyakit jantung termasuk angin ahmar yang dikatakan menjadi penyebab kepada kira-kira 30 peratus kematian di seluruh dunia.
Kadar itu jelas ketara antara negara kaya yang melabur banyak wang dalam kempen kesedaran bagi menggalakkan penduduk mereka bersenam dan memakan makanan sihat.
Kempen kesedaran dan program kesihatan di negara miskin pula banyak terganggu akibat kurangnya peruntukan kewangan. – AFP
http://intanaaroni.multiply.com/reviews/item/8
No comments:
Post a Comment