Darah Tinggi Ancam Buah Pinggang


Penyakit buah pinggang kini semakin menular di kalangan masyarakat di negara ini. Ia berlaku disebabkan cara hidup yang tidak sihat dan pengambilan makanan yang tidak seimbang. Kini lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita penyakit buah pinggang setiap tahun. Ramai di antara mereka meninggal dunia disebabkan masalah ini.

Di Amerika Syarikat, penyakit diabetes atau kencing manis adalah penyebab utama penyakit buah pinggang kronik dan kegagalan buah pinggang. Di Malaysia kini terdapat 20,000 dan hampir 55% daripada pesakit dialisis baru disebabkan oleh penyakit yang sama.

Menyedari hakikat itu Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NFK) mengadakan sindang akhbar sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD), di pusat latihan yayasan di Petaling Jaya, Selangor dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyakit berkenaan.

Antara punca penyakit ini ialah akibat penyakit kencing manis yang tidak dikawal. Penyakit ini berlaku apabila pengambilan gula tanpa kawalan dan kurang minum air kosong. Tabiat ini mengakibatkan kerosakan tisu dan organ badan seperti salur darah dan mata termasuk buah pinggang.

Apa Yang Perlu Dilakukan

Penjagaan yang sempurna dapat mengelakkan berlaku penyakit ini. Justeru, pesakit diabetes digalakkan supaya membuat pemeriksaan darah untuk mengesan kandungan gula dalam darah sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ujian ini mengambil kira purata paras gula dalam darah untuk tempoh tiga bulan. Keputusan AICnya mestilah kurang daripada 7%.

Pesakit juga perlu mengambil tahu mengenai suntikan insulin, ubat-ubatan, perancangan menu, aktiviti fizikal dan pemantauan paras gula daripada perunding kesihatan. Selain itu, mereka perlu membuat pemeriksaan tekanan darah beberapa kali dalam setahun.

Sekiranya dalam masa yang sama pesakit mengalami tekanan darah tinggi, mereka perlu mengikut arahan penasihat kesihatan untuk mengembalikan tekanan darah ke paras normal iaitu 130/80.

Selain itu pesakit dinasihatkan supaya melakukan ujian untuk mengetahui keadaan kesihatan buah pinggang. Pesakit turut disarankan melakukan ujian air kencing untuk mengenal pasti kehadiran protein dalam air kencing. Kedua-dua ujian ini dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Dalam pada itu bertanyalah kepada perunding kesihatan sama ada pesakit mendapat manfaat daripada pengambilan ACE inhibitor atau angiotensin-coneverting enzyme atau ARB (angiotensin receptor blockers).

Pesakit juga perlu bertanya kepada perunding kesihatan terlebih dahulu sama ada perlu mengurangkan pengambilan protein dalam diet seharian. Sebaik-baik rujuk kepada pakar pemakanan untuk mendapat bantuan tentang perancangan menu harian.

Read more: http://tanyalelaki.com/diabetes-ancam-buah-pinggang/#ixzz1mo3HGnA3

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...