Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
Masalah hipertensi di kalangan rakyat Malaysia yang berusia melebihi 30 tahun sedang meningkat.
Gaya hidup sihat mengurangkan risiko menghidap darah tinggi
TEKANAN darah adalah daya penolakan darah terhadap dinding salur darah. Jantung mengepam darah ke dalam arteri, yang seterusnya menyampaikan darah ke seluruh bahagian badan manusia.
Maka, tekanan darah tinggi yang dikaitkan dengan hipertensi adalah sangat berbahaya kerana ia membuatkan jantung terpaksa 'bekerja' lebih kuat untuk memompa darah ke seluruh tubuh.
Keadaan ini menyumbang kepada pengerasan arteri atau aterosklerosis dan membawa kepada kegagalan jantung.
Penyakit kardiovaskular masih kekal sebagai pembunuh nombor satu di dunia.
Ia termasuk penyakit arteri koronari dan strok. Mengikut rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira seperlima, atau 1.6 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia disumbangkan oleh penyakit ini.
Di Malaysia, kewujudan masalah hipertensi di kalangan orang dewasa yang berusia melebihi 30 tahun sedang meningkat.
Jika dalam Kaji Selidik Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada tahun 1996 mencatatkan peratusan sebanyak 33 peratus, catatan kaji selidik yang dilakukan pada tahun 2006 pula adalah sebanyak 42 peratus.
"Dalam kita bercakap tentang perkara yang membimbangkan ini, terdapat dua objektif yang dimainkan oleh bidang perubatan. Pertama adalah memanjangkan hayat dan yang kedua mengurangkan simptom," kata Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datuk Dr. Azhari Rosman.
Bagaimanapun, menurut beliau, masalah hipertensi di kalangan mereka yang berusia kurang daripada 30 tahun juga wujud dan tetap dipandang serius.
Ia boleh berlaku jika mengambil kira faktor-faktor tertentu seperti kualiti persekitaran, pemakanan, perubahan hormon, atau juga kehadiran penyakit sampingan lain.
Menurut beliau, hipertensi lazimnya dianggap masyarakat sebagai penyakit tanpa simptom. Sebab itulah ia menjadi cabaran lebih-lebih lagi untuk menerangkan kepada mereka yang mengalami hipertensi tentang keperluan mengambil ubat sepanjang hayat.
"Maka perkara lebih praktikal untuk memperbaiki keadaan ini adalah dengan membuat perubahan dalam gaya hidup seharian. Mereka perlu bersenam, mengurangkan berat badan, mengurangkan pengambilan garam serta menitikberatkan makanan sihat," ujar Azhari.
Walaupun hipertensi merupakan faktor risiko penyakit kardiovaskular yang mudah dirawat, ramai pesakit hipertensi gagal didiagnosis.
Lebih membimbangkan, terdapat jumlah yang besar mereka yang sudah didiagnosis tidak mengambil perubatan yang betul seperti yang dinasihatkan doktor.
Menurut Dr. Azhari, daripada jumlah mereka yang mengambil ubat, hanya sebanyak 26 peratus yang dikawal sepenuhnya. Peratusan tersebut adalah sama dengan kiraan yang dicatatkan sedekad lalu.
"Lebih daripada satu agen diperlukan untuk mencapai sasaran bacaan tekanan darah terbaik di kalangan pesakit hipertensi. Rawatan boleh dimulakan dengan monoterapi atau kombinasi dua jenis ubat dalam dos rendah.
"Dos ubat atau bilangan jenis ubat boleh ditambah mengikut keperluan," kata Perunding Kardiologi yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr. Khoo Kah Lin.
Beliau mengulas tentang pengambilan rumusan perubatan terapi gabungan seperti amlodipine besylate dan valsartan dilaporkan dapat membantu mengurangkan tekanan darah dengan lebih ketara berbanding ubat yang diambil secara sendiri.
Khoo turut memberitahu bahawa agen dwiterapi adalah kaedah terkini dalam rawatan hipertensi kerana ia menggabungkan dua ubat yang paling kerap diberi menerusi preskripsi.
Pemahaman tentang terapi terkini, mekanisme hipertensi dan pengambilan ubat-ubatan gabungan telah membuatkan pesakit mempunyai peluang baik untuk mengawal tekanan darah.
"Cuma cabarannya sekarang adalah untuk mengingatkan pengamal perubatan dan pesakit bahawa rawatan yang berkesan bukan sahaja mengenai kawalan tekanan darah, tetapi untuk mengekalkan bacaan terkawal itu demi mengelakkan komplikasi jangka panjang," terang Azhari.
Persatuan Hipertensi Malaysia sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan sesi latihan untuk para doktor dan juga menganjurkan program kesedaran. Salah satu daripada kempen tersebut dilaksanakan sempena Hari Hipertensi Sedunia pada 17 Mei ini.
Laman web msh.org.my atau darahtinggi.com.my boleh dikunjungi untuk mendapatkan garis panduan amalan klinikal (CPG) untuk hipertensi.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz3jsmM3yLN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment