Darah Tinggi Mampu Membunuh Dalam Senyap

Oleh NURUL IZZA ROSLY izza.rosly@kosmo.com.my

 

KIRA-KIRA 20 tahun lalu, Daniel Chong dikejutkan dengan berita bahawa rakan baiknya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kehilangan banyak darah.

Atas semangat setiakawan, dia bergegas ke hospital berkenaan untuk mendermakan darah bagi menyelamatkan nyawa rakannya. Namun niat murninya itu berakhir tanpa dilunaskan apabila dia sendiri terpaksa ditahan di hospital yang sama gara-gara menunjukkan petanda hipertensi.

"Alangkah terkejutnya saya ketika itu kerana saya langsung tidak mengalami sebarang simptom yang berkaitan dengan hipertensi sebelumnya. Doktor memberitahu dengan bacaan tekanan darah 190, saya berisiko mendapat serangan strok minor.

"Cuma saya perasan, imej yang saya pandang kelihatan semakin mengecil dan mengalami pening-pening biasa. Keadaan itu kemudian hilang apabila saya berjalan-jalan dan berehat sebentar," katanya yang kini berusia 52 tahun.

Tambahnya, penyakit darah tingginya itu diwarisi daripada ibunya yang menghidap hipertensi selain faktor penyumbang lain seperti tekanan kerja dan gaya hidup tidak sihat.

Bagi Zubaidah Omar, 56, yang merupakan seorang guru, dia tidak menyedari bahawa dirinya mempunyai penyakit tekanan darah tinggi sehinggalah dia berjumpa dengan doktor kerana mengalami kebas di bahagian kepala.

"Ketika itulah, doktor memberitahu saya mempunyai penyakit darah tinggi dengan kadar tekanan 190 berbanding tekanan normal 120 dan mempunyai risiko strok jika lambat mendapatkan rawatan.

"Saya diberikan ubat, tetapi apabila tekanan darah sudah normal saya jarang mengambil ubat. Sehinggalah pada satu masa ia kembali naik," katanya yang hanya menyedari menghidap penyakit itu dua tahun lalu.

Hipertensi atau darah tinggi yang merupakan pembunuh senyap merujuk kepada tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi dari tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg semasa keadaan rehat dijangka mempunyai keadaan darah tinggi.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman memberitahu, hipertensi merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan tekanan darah melebihi tekanan normal.

"Tekanan darah memang penting untuk menyalurkan darah kepada otot dan kepada organ-organ penting terutamanya otak, jantung dan buah pinggang. 

SOKONGAN keluarga dan pengambilan makanan seimbang mampu menyumbang kepada paras kesihatan yang lebih baik.

"Tetapi kalau darah terlalu tinggi, lama-kelamaan keadaan tersebut boleh merosakkan organ-organ penting, yang paling ketara sekali ia boleh merosakkan pembuluh darah itu sendiri," katanya.

Tambahnya, paras kolestrol yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan pembuluh darah menjadi keras akibat penebalan kolestrol (arteriosklerosis) yang menyumbang kepada kerosakan organ.

"Hipertensi pada awalnya memang tiada sebarang gejala. Kalau kita tidak rawat dari awal, insiden kali pertama boleh terjadi dalam bentuk komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang.

"Keadaan tersebut boleh berlaku seberapa cepat bergantung kepada berapa tinggi tahap hipertensi dan berapa lama seseorang pesakit itu mengalaminya. Komplikasi tersebut akan berlaku dengan cepat apabila seseorang pesakit itu mempunyai penyakit-penyakit lain seperti kencing manis dan merokok," jelasnya.

Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada hipertensi iaitu keturunan, berat badan, tahap stres dan gaya hidup.

Menurutnya, hipertensi bukan seperti selesema. Hipertensi sudah bertapak lama dalam diri seseorang pesakit tanpa disedari. Jika hipertensi berada di peringkat awal, boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup seperti senaman 120 minit seminggu, kurangkan makanan bergaram dan berkolesterol.

"Kerosakan sudah mula berlaku tetapi tidak semestinya ia akan menimbulkan strok kecuali apabila umur meningkat. Hanya sebahagian kecil penghidap hipertensi menunjukkan gejala yang tidak beberapa ketara seperti pening kepala, mabuk dan kabur mata.

"Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa periksa tekanan darah lebih-lebih lagi mereka yang menjangkau usia 30 tahun terutamanya kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga supaya hipertensi boleh dikesan dan dicegah pada awal lagi," ujarnya.

Azhari memberitahu penyakit ini tidak akan hilang dan dalam kebanyakan kes ia boleh diklasifikasikan sebagai penyakit seumur hidup kerana seseorang penghidap hipertensi itu perlu bergantung pada ubat bagi mengawal tekanan darahnya.

RAWATAN dan pemeriksaan awal amat penting untuk memastikan keadaan hipertensi itu tidak berlarutan dan menjadi lebih buruk.

"Penyakit ini bukan seperti selesema, hari ini dapat minggu depan sudah baik dan boleh berhenti ubat. Ini penyakit seumur hidup, sentiasa kena jumpa doktor, makan ubat, amalkan gaya hidup sihat.

"Jika ada di antara penghidap hipertensi mahu mengamalkan ubat tradisional seperti herba hempedu bumi, tunjuk langit, misai kucing dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Jangan sesekali berhenti mengambil ubat," pesannya.

Beliau mempamerkan kebimbangannya berhubung peningkatan penghidap hipertensi saban tahun memandangkan amalan hidup dan pemakanan yang tidak sihat diterapkan oleh ibu bapa kini terhadap anak masing-masing.

Katanya, kemungkinan pada masa akan datang risiko untuk mendapat hipertensi lebih awal.

"Kini, rakyat Malaysia belum merasai impak penyakit ini sepenuhnya. Kita akan merasai impaknya 15 tahun akan datang memandangkan kumpulan sekarang yang melalui cara hidup kurang sihat

"Dalam jangka masa 10 tahun akan datang, lebih ramai kelompok orang muda menghidapi penyakit ini dan terdedah kepada risiko strok, sakit jantung serta kegagalan buah pinggang.

"Hipertensi bukan lagi sakit yang menyerang orang tua, malah orang muda juga berpotensi untuk mengalaminya jika gaya hidup sihat tidak diamalkan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3iUQ8FWjG
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...