Makanan Segera Punca Kanak-Kanak Darah Tinggi


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Penyakit darah tinggi yang sebelum ini kerap dikaitkan sebagai 'penyakit orang tua' kini turut dihidapi oleh kanak-kanak yang mengalami obesiti akibat pengambilan makanan segera yang tidak dikawal.

Kandungan garam dan lemak yang berlebihan dalam makanan tersebut boleh memudaratkan kesihatan tambahan pula jika mereka kurang melakukan aktiviti fizikal.

Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norlizawati Che Lah mendedahkan, terdapat kes seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dimasukkan di Pusat Rawatan Rapi (ICCU) selama dua minggu akibat diserang darah tinggi.

Katanya, kanak-kanak yang dirawat di ICCU hospital berkenaan itu mempunyai berat badan berlebihan sebanyak 30 kilogram daripada berat sepatutnya dimiliki oleh kanak-kanak yang berusia 12 tahun.

''Kanak-kanak tersebut menghidap darah tinggi kesan daripada pemakanan tidak seimbang dalam menu hariannya.

''Hampir setiap hari kanak-kanak itu menjadikan kentang goreng, piza dan ayam goreng sebagai makanan hariannya dan amalan pemakanan tidak sihat itu berlarutan dua tahun hingga menyebabkan dia diserang penyakit darah tinggi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak gembira dengan keadaan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan terutama obesiti dan sakit jantung.

Kenyataan spontan bekas Perdana Menteri itu menggambarkan rasa kecewa beliau dengan sikap rakyat Malaysia yang malas untuk menjaga kesihatan mereka.

Norlizawati menambah, lebih memburukkan keadaan, kanak-kanak obesiti ini tidak suka melakukan aktiviti fizikal dan lebih gemar bermain play station atau menonton televisyen.

Beliau memberitahu, berdasarkan kes yang dirujuk kepadanya, 30 peratus kes obesiti berkenaan melibatkan golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

''Sementara itu, selebihnya adalah golongan wanita yang datang sendiri berjumpa saya untuk mendapatkan panduan menurunkan berat badan,'' katanya.

Beliau memberitahu, bagi golongan lelaki pula mereka jarang mahu berjumpa pakar pemakanan.

''Kalau ada pun, kes adalah yang dirujuk oleh doktor,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...