Ramai Makan Garam Berlebihan

 Image result for salt
 
SHAH ALAM - Ramai tidak menyedari telah memakan garam secara berlebihan sama ada nyata atau tersembunyi setiap hari.

Ini kerana, kira-kira 75 peratus daripada garam dalam diet seharian datangnya daripada makanan terproses. 
 
Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, pengambilan garam secara berlebihan berkait rapat dengan penyakit darah tinggi atau hipertensi. 
 
"Penyakit hipertensi merupakan faktor risiko utama serangan jantung dan strok, iaitu punca utama kematian kalangan rakyat di negara ini.
 
"Kajian saintifik menunjukkan dengan pengurangan garam kepada 5 gram atau satu sudu teh sehari mampu mengurangkan kejadian strok sebanyak 24 peratus, dan penyakit kardiovaskular (18 peratus). 
 
"Dengan kata lain, ia boleh mencegah 2.4 juta kematian akibat strok dan penyakit kardiovaskular di seluruh dunia," katanya dalam sesi interaksi Kementerian Kesihatan Bahagian Kawalan Penyakit bersama Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
 
Dalam sesi itu, beliau membincangkan tajuk "Inisiatif pengurangan garam di Malaysia", kemudian disusuli oleh Pegawai Dietetik, Viola Micheal dengan topiknya "Garam dan kaitan dengan darah tinggi".
 
Dr Feisul Idzwan berkata, sempena sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang diraikan pada 9 hingga 15 Mac ini, kementerian mengambil pendekatan kempen bertemakan 'Makan di luar, kurang masin, pilihan sihat' untuk diterapkan dalam budaya pemakanan pengguna. 
 
"Kami menyasarkan tiga kumpulan iaitu murid, pekerja dan pengusaha makanan melalui objektif khusus. Kumpulan tersebut terdedah dengan pengambilan garam berlebihan di luar rumah," katanya. 
 
Pelbagai aktiviti diadakan seperti seminar, ceramah, bengkel, demonstrasi memasak, sesi interaksi bersama media, dan majlis pelancaran Minggu Kesedaran Garam Sedunia di Kementerian Kesihatan,Putrajaya pada 12 Mac ini.
 
http://www.sinarharian.com.my/nasional/ramai-makan-garam-berlebihan-1.361577

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...