Khasiat Daun Serai Kayu Rawat Darah Tinggi



 
Dr Wan Amir Nizam bersama pelajarnya dengan hasil kajian di Makmal Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. - Foto Fathil Asri

UMUM tahu penyakit tekanan darah tinggi adalah satu daripada punca kematian paling biasa di seluruh dunia. Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, obesiti, kehidupan sendentari termasuk kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan garam berlebihan, alkohol dan banyak lagi, turut menyumbang kepada penyakit yang juga dianggap sebagai pembunuh dalam senyap itu.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Institut Hati, Paru-paru dan Darah Kebangsaan Amerika Syarikat (US NHLBI) menunjukkan lebih 65 juta atau satu daripada setiap tiga orang dewasa di Amerika Syarikat menghidap tekanan darah tinggi, sementara 59 juta lagi warga Amerika mengalami peringkat awal darah tinggi.

Pembunuh senyap

Kajian juga meramalkan menjelang tahun 2025, dianggarkan 1.56 bilion penduduk dunia menghidap tekanan darah tinggi. Ia adalah pembunuh senyap kerana lazimnya ia tidak memberikan sebarang amaran atau simpton. Berikutan itu, ramai yang tidak menyedari kehadirannya.

Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang kali pertama dijalankan di Malaysia pada tahun 1996, mendapati 32.4 peratus atau dianggarkan 2.6 juta warga dewasa Malaysia berusia 30 tahun dan ke atas turut menghidap tekanan darah tinggi.

10 tahun selepas itu, kajian sama dilakukan, kelaziman penyakit tekanan darah tinggi dalam kalangan usia yang serupa dengan kaedah sama digunakan turut meningkat kepada 40.5 peratus.

Kadar peningkatan penyakit tekanan darah tinggi turut direkod dengan kajian kumpulan kecil dijalankan di Malaysia.

Namun, kajian terhadap 2,508 subjek dari semua daerah di Kelantan, trend tekanan darah tinggi dalam kalangan penduduk negeri ini didapati lebih rendah iaitu 13.9 peratus berbanding peratusan di seluruh negara.

Dr Wan Amir Nizam bersama pelajarnya melakukan kajian ke atas daun serai kayu yang boleh mengubati penyakit darah tinggi di Makmal Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. - Foto Fathil Asri
Pengambilan ulam daun serai kayu


Menyedari perkara ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kelantan mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan terhadap pengambilan ulam daun serai kayu atau daun salam dalam kalangan penduduk tempatan yang dikatakan mampu menurunkan kadar darah tinggi.

Daun serai kayu atau di sesetengah tempat di negara ini dikenali sebagai daun salam, samak kelat, daun bay dan daun beriani, banyak digunakan dalam masakan di seluruh dunia kerana keistimewaannya membangkitkan aroma dalam juadah.

Jika di Indonesia ia lebih dikenali sebagai meselengan, ubat serai, gowok, manting dan kastolam, manakala istilah sainsnya pula Syzygium polyanthum.

Di Eropah dan kawasan negara Mediterranean, daun serai kayu ini lazimnya dikeringkan dan digunakan sebagai penambah perisa kepada masakan terutama dalam sos, sup, stew dan masakan berunsurkan makanan laut, sayur serta daging.

Tidak ketinggalan, dalam masakan Arab, India dan Pakistan. Antaranya, digunakan untuk menambah keenakan rasa dalam masakan nasi beriani dan bahan dalam garam masala (rempah ratus).

Di Kelantan dan Terengganu, daun serai kayu ini banyak digunakan dalam masakan seperti laksam dan dijadikan ulam untuk dimakan bercicahkan budu.

Rupa-rupanya, di sebalik keenakannya sebagai perisa tambahan kepada masakan, daun ini mempunyai seribu satu rahsia dari sudut kesihatan terutama dalam rawatan penyakit tekanan darah tinggi.

Rahsia keunikan dan kehebatan daun yang pokoknya mudah ditanam di kawasan tropika, berjaya dibongkar kumpulan penyelidik berkenaan yang diketuai Pensyarah Kanan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, universiti itu, Dr Wan Amir Nizam Wan Ahmad dalam penyelidikannya yang sudah masuk tahun keempat.

"Daun serai kayu atau salam sudah lama digunakan penduduk Kelantan yang menghidap darah tinggi untuk menurunkan tekanan darah mereka.

"Kami tertarik untuk mengkaji dengan lebih mendalam khasiat daun ini selepas melihat corak tekanan darah tinggi beberapa pesakit yang dirujuk di klinik kami semakin normal dan mereka hanya perlu mengambil ubat darah tinggi dengan kadar dos kecil.

"Selepas diselidik, rupa-rupanya mereka mengamalkan makan daun salam sebagai ulam harian mereka," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Serbuk daun serai kayu. - Foto Fathil Asri

Belum ada kajian

Justeru, kumpulannya menjalankan penyelidikan secara saintifik selepas mendapati belum ada lagi kajian terhadap daun itu dilakukan bagi menentukan keberkesanannya dalam bidang perubatan.

Kajian saintifik yang dijalankan terhadap dua spesies tikus, Wistar Kyoto (WKY) dan Spontaneously Hypertensive (SHR) mendapati ekstrak daun serai kayu mampu menurunkan tahap tekanan darah haiwan itu.

"Kita menggunakan dua kaedah iaitu menyuntik cecair dari ekstrak daun serai kayu ke salur darah kedua jenis tikus berkenaan dan memberi makan ekstrak daun itu selama sebulan.

"Hasilnya, sebaik cecair ekstrak daun salam disuntik dalam saluran darah, tahap tekanan darah tikus SHR yang sememangnya secara genetik mempunyai darah tinggi menurun sehingga 30 peratus, manakala tikus WKY yang juga tikus berdarah normal, tahap tekanan darahnya tetap normal," katanya.
Terbukti bantu turunkan darah tinggi

Menerusi kaedah kedua, katanya, pihaknya menggunakan cara memberi makan ekstrak daun salam kepada kedua jenis tikus itu selama sebulan dan mendapati ia turut membantu menurunkan darah tinggi.

Lebih menakjubkan, ia tidak langsung menurunkan darah tikus WKY yang berdarah normal.

"Tujuan menggunakan kaedah kedua adalah bagi meniru kesan pesakit darah tinggi yang makan ulam daun salam setiap hari. Daripada kajian ini, kita dapati daun salam tidak memudaratkan mereka yang mempunyai tekanan darah normal kerana pengambilannya tidak menurunkan darah," katanya.

Kajian itu juga mendapati daun serai kayu mengandungi asid galik (gallic), asid oleik, asid linoleik dan seselin, yang berfungsi menurunkan tekanan darah.

"Kita juga menjalankan kajian toksikologi dan hasil penyelidikan mendapati bahan aktif dalam daun itu tiada kesan berbahaya jika diambil melebihi dos dicadangkan," katanya.

Ketika ini, pihaknya bercadang menjalankan kajian lanjut bagi mengasingkan bahan aktif dalam daun salam itu dan bercadang untuk mempatenkan hasil kajian seperti peringkat kajian terhadap manusia dijalankan tidak lama lagi.

"Kita berharap dapat menghasilkan produk suplemen bagi membantu golongan penghidap darah tinggi. Ia boleh menghasilkan ubat daripada serai kayu dengan formulasi yang betul bagi penghidap penyakit darah tinggi," katanya.

http://www.bharian.com.my/node/8681

Pemeriksaan Tekanan Darah Lagi?

S: Kalau kita ada darah tinggi tapi darah tinggi kita dah turun sebelum ni, adakah kita kena periksa tekanan darah kita lagi?
Azura Othman

J: Ya, kerana dalam kebanyakan kes, tekanan darah tinggi tidak mempunyai simptom atau erti kata lain ianya tidak memberikan tanda amaran. Sebab itu tekanan darah tinggi sering dikenali sebagai pembunuh senyap atau bom jangka.

Kebanyakan pesakit yang dikenal pasti hanya didiagnos atau dikesan ketika menjalani pemeriksaan klinikal biasa ataupun ketika rawatan ke klinik akibat demam selesema. Malah ada yang hanya menyedari diri di’serang’ darah tinggi ketika tekanan darah meningkat terlalu tinggi yang dipanggil ‘krisis darah tinggi’, iaitu ketika tekanan darah melebihi 180 mmHg untuk sistolik dan 110 mmHg untuk diastolic.

Ketika ini komplikasi darah tinggi mungkin sudah berlaku dan berkemungkinan mencetuskan Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, angin ahmar dan kerosakan buah pinggang.

Oleh sebab itu, bekas Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Dr Azani Mohamad Daud pernah menggalakkan orang ramai melakukan pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali. Bagi yang pernah dikesan atau didiagnos dengan hipertensi atau tekanan darah tinggi, lakukan pemeriksaan tekanan mengikut arahan doktor.

Sebaiknya, simpan satu alat pemeriksaan tekanan darah di rumah dan ini membolehkan anda buat pemeriksaannya sendiri. Alat ini boleh didapati dengan harga serendah RM99.90.

http://www.soalkesihatan.com/kesihatan-jantung/tekanan-darah-tinggi/adakah-kita-perlu-buat-pemeriksaan-tekanan-darah-lagi/

Hati-Hati Hipertensi

Tekanan darah tinggi atau hipertensi antara penyebab kematian utama di seluruh dunia termasuk rantau Asia Tenggara.

Peningkatan tekanan di dalam salur darah menyebabkan pendarahan intrakranium, sekali gus boleh merosakkan organ penting termasuk hati, ginjal, otak dan paru-paru. Penyakit ini ditakuti ramai kerana mampu membunuh secara senyap tanpa sebarang simptom yang ketara.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan penyakit ini meragut hampir 1.5 juta nyawa setiap tahun. Malaysia tidak terkecuali apabila 32 peratus daripada rakyat negara ini yang berumur 18 tahun ke atas dikatakan berisiko tinggi menghidap tekanan darah tinggi.

Namun, penyakit itu boleh dielak jika mengambil langkah pencegahan. Pencegahan awal dan kawalan adalah kaedah yang jauh lebih murah dan selamat berbanding rawatan pembedahan.

Menyedari hakikat itu, rangkaian kedai farmasi dan kesihatan Guardian memperkenalkan alat khas, monitor tekanan darah untuk membantu masyarakat memantau sendiri tekanan darah.

Alat yang sesuai untuk kegunaan di rumah itu dilengkapi paparan LCD besar untuk memudahkan pengguna terutama warga tua membaca bacaan.

Menerima ukur lilit lengan daripada 22 sentimeter (sm) hingga 36sm, monitor ini disesuaikan untuk pelbagai saiz lengan selain dilengkapi penunjuk degupan jantung.

Berbanding produk lain di pasaran, peranti moden ini direka untuk mengutamakan aspek fungsi dan praktikal.

Monitor tekanan darah itu boleh didapati di semua rangkaian Guardian seluruh negara termasuk e-kedai



https://www.hmetro.com.my/node/4238?m=1

Doa Rawat Darah Tinggi, Kencing Manis Dan Sakit Jantung


Salam Pembaca Yang Setia,
N3 kali bersambung lagi dari rancangan TV “Tanya Ustaz” iaitu “Indah Perubatan Islam” oleh Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie. Yang sempat captain catatkan kali ini berkaitan “Doa Rawatan” untuk penyakit Darah Tinggi, Kencing Manis dan Sakit Jantung.
Marilah kita kongsi bersama ilmu ini yang diajarkan oleh beliau. Kata ustaz kalau tak silap dengar oleh captain. Jika sudah berusaha secara moden masih tidak sembuh juga. Cubalah rawatan secara Islam dengan menggunakan ayat-ayat suci Al Quran kalamullah. Bolehlah membeli buku beliau yang baru berada di pasaran bertajuk “Indah Perubatan Islam”. 

Cara-caranya:
Letak tangan kanan pada dada disebelah kiri dan bacalah kedua-dua doa ini. Amalkan selalu, insyaAllah mendapat kesembuhan dari Allah SWT.
DOA 1.
Maksudnya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
DOA 2.
Maksudnya:
“Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar) dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata).” (Surah Fushillat: Ayat 44)
 http://aki2004.wordpress.com/2012/01/05/doa-rawat-darah-tinggi-kencing-manis-dan-sakit-jantung/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...