Stres dan Tekanan Darah Tinggi


Tekanan darah kawan saya selalunya berada di paras normal 120/80 walaupun beliau sudah berumur lebih dari 50 tahun. Beliau juga jarang sakit, namun setiap kali beliau membawa anak berjumpa doktor, beliau tidak pernah lupa untuk memeriksa tekanan darah beliau. Sebulan yang lepas beliau membawa anaknya berjumpa doktor kerana demam. Seperti biasa beliau meminta doktor untuk memeriksa tekanan darah beliau, bacaannya 170/90. Beliau terkejut, beberapa bulan bacaannya masih maintain 120/80.

“Macamana boleh jadi cam ni? Gaya hidup saya tak ubah. Takkanlah tiba-tiba tekanan darah boleh naik?”

“Tekanan darah ni dia boleh naik mendadak, tidak semestinya naik sikit-sikit. Biasanya kalau naik mendadak ni stres sebabnya. Mungkin tahap awak punya stres tak seperti dulu lagi.”

“Mungkin juga, akhir-akhir ni saya banyak problem besar yang perlu diselesaikan.”

“Senaman macamana? Ada bersenam tak?”

“Dah lama tak bersenam doktor! Maklumlah selalu sibuk.”

“Kerja tu kerja juga, tapi jangan lupa jaga kesihatan diri. Hilang kesihatan seperti hilang semuanya. Eloklah awak bersenam dan jangan risau sangat pada kerja dan masalah yang dihadapi. Walau kuat mana awak risau, awak tak dapat ubah apa yang telah terjadi, awak juga tak dapat menjangka atau merungkai apa yang akan berlaku. Tangani masalah bila dia ada di depan kita dan terima apa yang ditakdirkan sebagai sebahagian ujian hidup untuk mencapai yang lebih baik.”

“OK, saya akan lakukan. Terima kasih doktor.”

Itulah secara ringkas cerita perbualan kawan saya dengan doktor peribadi beliau.

Stres dan Akibatnya

Keadaan atau masa yang menimbulkan stres selalu berlaku. Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan gaya hidup di dunia moden yang serba pantas ini.

Adakah anda tahu mengenai pelbagai kesan stres ke atas sistem tubuh kita? Ia boleh merosakkan beberapa sistem. Ia malah mampu melemahkan tubuh kita hingga ke satu tahap di mana sistem imun berputus asa.

Daripada hanya membaca maklumat ini begitu sahaja, adalah penting untuk kita mengambil pendirian. Buatlah keputusan untuk membuat apa saja yang terdaya untuk mengurangkan kesan buruk stres. Stres boleh membunuh, justeru jangan biarkan ia membunuh anda atau orang yang anda sayangi. Individu yang mengalami stres sentiasa kehilangan tenaga yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Jika ini berlaku, ianya boleh menyemai sikap negatif dalam kehidupan mereka. Kemurungan akan berlaku dan mencetuskan kesan negatif kepada kehidupan individu berkenaan.

Kegagalan menangani stres juga boleh membawa kesan buruk ke atas kesihatan seseorang. Lazimnya sistem imun dapat mempertahankan tubuh dari penyakit. Namun begitu, stres boleh melemahkan sistem imun. Jika ini berlaku, individu berkenaan akan lebih mudah mendapat penyakit berbahaya seperti kanser dan masalah jantung. Pada masa yang sama, jika dia sedang berhadapan dengan masalah kesihatan, ianya boleh memburukkan lagi keadaan.

Umum mengetahui penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di dunia. Sebahagian dari simptom atau pertanda penyakit jantung mempunyai kaitan dengan stres. Peningkatan tekanan darah yang mendadak dan debaran jantung berterusan adalah antara tanda-tandanya. Berasaskan fakta-fakta tersebut, adalah penting untuk seseorang untuk berbuat sesuatu sekiranya mereka mendapati diri mereka tidak berupaya menangani stres. Mereka perlu mengatasi masalah tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa stres yang boleh membunuh.

Cara Mudah untuk Mengatasi Stres

Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan buruk stres. Dengan mengamal langkah-langkah berikut, risiko untuk mendapat kesan buruk stres dapat dikurangkan.

1. Pemakanan yang Betul

Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12), asid folik dan mineral.

2. Jangan Membebankan Diri

Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan meringankan beban tubuh dan minda kita.

3. Berehat

Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika. Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak. Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang.

4. Berinteraksi dengan Famili dan Rakan

Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.

Stres sebenarnya boleh membunuh tetapi ianya tidak perlu begitu. Penting untuk seseorang itu mempunyai kawalan ke atas kehidupannya. Lindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang akan membantu mengurus stres dengan baik.

http://kesihatan.biz/blog/stres-dan-tekanan-darah-tinggi.htm
http://www.kesihatan.biz/artikel/stres_dan_akibatnya.php

Darah Tinggi Pembunuh Senyap Kaum Lelaki

Penyakit Darah Tinggi atau Hipertensi boleh digelarkan pembunuh senyap. Kebiasaan penyakit ini mudah mendekati golongan lelaki yang berusia lebih daripada 40 tahun dan ke atas.

Namun begitu, trend ini telah berubah di mana golongan muda juga terpaksa berdepan dengan penyakit ini.

Kajian telah menunjukkan sebanyak 4.8 juta daripada keseluruhan jumlah penduduk di Malaysia menghidapi penyakit darah tinggi dan 2 per 3 tidak menyedari yang mereka sedang menghadapi penyakit ini. Malah mereka tidak hirau langsung dan menganggap perkara ini tidak serius.

Penyakit darah tinggi memang sukar hendak dikesan, kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala yang ketara. Walaubagaimanapun terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko serangan penyakit ini iaitu usia, keturunan, tabiat merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, pengambilan garam yang banyak, masalah kegemukan, kurang bersenam dan stres berlebihan.

Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh mengundang padah kerana mendedahkan individu kepada ancaman penyakit lain. Tekanan darah tinggi yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakkan pada organ-organ yang penting badan iaitu sel-sel jantung, buah pinggang, sel otak dan mata hingga mengakibatkan penyakit jantung, serangan angin ahmar atau strok dan penyakit buah pinggang.

Apa yang menakutkan ialah penyakit-penyakit ini hanya dapat dikesan apabila mencapai tahap serius. Kesan ini akan lebih dirasai sekiranya tekanan darah terlalu tinggi. Sel-sel jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah. Jika dibiarkan, lama-kelamaan dinding jantung akan menebal dan jantung akhirnya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Read more: http://tanyalelaki.com/penyakit-darah-tinggi/#ixzz1nQ704nDZ

Menu Jus Untuk Pesakit Darah Tinggi

Bagi mereka yang menghidap penyakit darah tinggi, berikut antara resepi jus yang boleh anda amalkan. Ia terdiri daripada bahan semulajadi yang membantu untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Pilihlah yang mana satu ingin anda cuba.


JUS 1

BAHAN-BAHAN :
- Mengkudu
- Madu

CARA :
- Sediakan 3 biji buah mengkudu yang sudah masak. Parut atau kisar dan kemudian tapis untuk mendapatkan airnya.
- Amalkan minum air mengkudu itu setiap hari dan jika mahu boleh dicampurkan dengan sedikit madu.






JUS 2

BAHAN-BAHAN :
- Daun Seleri

CARA :
- Sediakan 100gram daun seleri.
- Cuci bersih dan kemudian kisar dengan secawan air.
- Tapis dan minum airnya.

JUS 3

BAHAN-BAHAN :
- Bawang Putih

CARA :
- Tumbuk lumat tiga atau empat ulas bawang putih dan
masukkan ke dalam secawan air panas.
- Minum ketika masih suam.

JUS 4

BAHAN-BAHAN :
- Labu

CARA :
- Sebiji labu siam dikisar dengan sedikit air.
- Tapis dan minum airnya.

JUS 5

BAHAN-BAHAN :
- Belimbing

CARA :
- Buah belimbing yang sudah masak dikisar, tapis dan minum jusnya.

JUS 6

BAHAN-BAHAN :
- Timun

CARA :
- Sediakan ½ biji timun.
- Kisar dan tapis untuk dapatkan jusnya.Amalkan minum jusnya selalu.

http://www.pertanianperak.gov.my/jpp/images/pdf/c-Jus%20Untuk%20Penghidap%20Darah%20Tinggi.pdf
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...