Lee Ting Ung, 40 mengakui hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan ancaman baru sebagai pembunuh senyap.
Ini kerana kebanyakan orang termasuk dirinya tidak menyedari mereka menghidap hipertensi.
"Saya menyedari saya mempunyai penyakit ini apabila saya membuat pemeriksaan kesihatan. Bayangkan saya makan apa saja tanpa menghiraukan penyakit hipertensi yang sudah menjadi satu penyakit keturunan dalam keluarga saya.
"Tetapi itulah, macam saya cerita tadi, bila jumpa doktor, doktor tanya makan ubat tak? Kawal makanan tak? Semuanya saya angguk tanda faham," ujar Ting Ung.
Selepas mengetahui dia menghidap hipertensi, Ting Ung mula sedar dan bertindak untuk mengawal penyakit ini.
Namun malang tidak berbau, selepas beberapa tahun kemudian, ia memberi kesan pada buah pinggangnya hingga menyebabkan dia mengalami edema (kewujudan air yang berlebihan pada ruang antara tisu tubuh sehingga menyebabkan bahagian yang berkenaan kelihatan bengkak).
Akhirnya, sikap bermain tarik tali dengan penyakit ini menjadi satu lipatan sejarah dalam hidupnya.
"Syukur kesedaran saya untuk mengikis sikap penafian dalam diri membolehkan saya berjaya menurun dan mengawal ukuran paras hipertensi.
"Doktor pula menasihatkan saya bersenam, mengurangkan pengambilan garam dan tidak lupa mengambil garam," katanya.
Selain berhadapan dengan penyakit hipertensi, Ting Ung juga berdepan dengan masalah kolestrol tinggi. Justeru itu, dia perlu berjaga-jaga soal pengambilan garam dan mengawal gaya pemakanan.
Bahkan, dirinya yang dulu kurang bersenam kini mula berminat melakukan aktiviti luar.
Pilihan
Tidak ketinggalan Ting Ung sekeluarga menggunakan garam alternatif yang hanya mengandungi 50 peratus sodium.
"Hari ini kita bertuah kerana ada pilihan menggunakan garam yang baik untuk kesihatan. Pengambilan dan rasa masakan tetap sama tetapi garam ini mengandungi rendah sodium. Antara jenama yang saya gunakan ialah 'Fine Food Lake Salt Light'," ujarnya.
Berdasarkan kajian dan bacaan Ting Ung, garam tersebut turut mengandungi mineral seperti potasium dan magnesium yang sangat penting untuk kesihatan termasuk mengawal hipertensi.
"Saya menerima hakikat bahawa saya ada penyakit ini tetapi saya perlu bertindak untuk mengawal dan mencegah hipertensi daripada terus menular dalam diri saya. Bermula sebagai seorang yang tidak tahu tentang hipertensi, kini saya mengambil berat tentang kesihatan keluarga saya kerana bapa dan adik-beradik yang lain turut menghidap hipertensi ," ujarnya yang menasihatkan orang ramai segera mengawal pemakanan termasuk pengambilan garam dalam menu harian.
Kesihatan global
Dalam pada itu, Ahli Majlis Persatuan Hipertensi Malaysia, Prof Dr. Rashid Abdul Rahman memberitahu, masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan satu masalah kesihatan global dengan anggaran satu pertiga penduduk dewasa dunia melebihi umur 30 tahun menghidap penyakit tersebut.
Di Malaysia, mungkin lebih enam juta golongan dewasa, terutamanya lelaki menghidap tekanan darah tinggi yang boleh berpunca daripada pelbagai faktor.
Terdapat faktor yang tidak boleh diubah seperti warisan genetik tetapi ada juga yang boleh diubah seperti kekerapan bersenam, merokok dan amalan pemakanan.
"Tekanan darah tinggi juga menjadi antara punca utama kepada serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan kebutaan.
Walaupun mudah dikesan, masalah tekanan darah tinggi masih sukar dikesan berikutan tidak ramai yang mengambil berat mengenainya dan tidak memikirkan mereka menghadapi risiko menghidapinya.
Ini menyebabkan ada antara mereka yang hadir dengan komplikasi seperti masalah jantung atau buah pinggang apabila disahkan menghidap tekanan darah tinggi ," katanya.
Pendekatan terbaik adalah dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan tekanan darah sekerap mungkin memandangkan lebih 64 peratus penghidap penyakit ini belum dikesan.
"Langkah pertama adalah diagnosis yang tepat iaitu mengambil bacaan tekanan darah ketika pesakit tidak mengalami tekanan, sakit atau mengambil ubat tertentu. Penghidap yang disahkan mempunyai tekanan darah tinggi perlu mengubah cara hidup dan menjalani rawatan mengikut nasihat doktor," ujarnya yang turut menyambut baik kehadiran garam rendah sodium di pasaran.
Pengambilan garam yang normal adalah 2400 miligram sodium atau satu sudu teh garam . Menurut kajian di Amerika, pengambilan garam melebihi 3,000 miligram akan meningkat cara pengambilan makanan segera.
Jika pengambilan garam sodium diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan pelbagai penyakit.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm
No comments:
Post a Comment