Penyakit Darah Tinggi di Kalangan Kanak-kanak

 

Risiko penyakit darah tinggi boleh dikurangkan dengan mengawal berat badan dari peringkat usia kanak-kanak lagi dengan mengurangkan pengambilan garam dalam makanan ringan, sos makanan, mengambil makanan yang kurang berlemak dan banyakkan bersenam.

Dr, Noor Aziah menyarankan agar kanak-kanak yang dikesan obes atau berat badan berlebihan perlu diberikan perhatian untuk menurunkan berat badannya dan menggalakkannya bersenam.

‘‘Untuk membantu penurunan berat badan dengan lebih sistematik dan beransur-ansur, kanak-kanak obes boleh dirujuk kepada pakar pemakanan untuk menguruskan diet yang seimbang dan berkalori rendah sesuai untuk kanak- kanak membesar.

‘‘Rujukan fisioterapi perlu jika berat badan melampau dan memerlukan nasihat dan bantuan tentang cara senaman yang sesuai dan tidak menyebabkan kecederaan tulang dan sendi akibat terlalu berat,’’ katanya.

Kaedah-kaedah ini juga berkesan untuk menurunkan tekanan darah tinggi pada peringkat awal.

Pemeriksaan tekanan darah adalah dicadangkan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi kanak-kanak dan remaja, seawal usia tiga tahun untuk mengesan penyakit ini dari peringkat awal.

*Rawatan

Cara rawatan hipertensi kanak- kanak pada peringkat awal boleh menggunakan kaedah menurunkan berat badan, mengurangkan pengambilan garam dan lemak, bersenam serta merawat punca penyebab darah tinggi jika ada, glomerulonefritis misalnya.

Tetapi sekiranya kaedah-kaedah ini tidak berkesan dan tekanan darah bertambah tinggi, ubat perlu digunakan untuk mengawalnya sebelum ia boleh membunuh pesakit jika tidak dirawat.

‘‘Prinsip utama dalam perubatan ialah merawat tanpa memudaratkan pesakit akibat rawatan itu. Sekiranya kesan sampingan rawatan lebih membahayakan berbanding kebaikannya, kaedah rawatan itu akan ditinggalkan.

‘‘Ubat-ubatan yang digunakan untuk kanak-kanak lazimnya digunakan untuk merawat orang dewasa dan telah diuji serta sesuai digunakan untuk kanak-kanak dengan kesan sampingan minimum,’’ ujar Dr. Noor Aziah.

Penyakit yang lebih serius, jelas beliau, selalunya memerlukan pengambilan ubat yang pelbagai jenis. Masalah yang kerap timbul adalah, kebanyakan ubat darah tinggi adalah dalam bentuk pil atau kapsul dan tiada dalam bentuk cecair yang lebih sedap dan mudah diambil oleh kanak-kanak.

‘‘Peranan ibu bapa sangat penting terutamanya pada peringkat mencegah dan mengawal penyakit kanak-kanak seperti mana disarankan oleh Kementerian Kesihatan, gaya hidup sihat bermula dirumah.

‘‘Mengamalkan pemakanan yang lebih sihat seperti makanan seimbang, makanan yang segar dan disediakan sendiri di rumah, mengurangkan makanan berlemak dan berminyak adalah perlu,’’ katanya.

Tip beliau: Cara memasak perlu diubahsuai dengan mengurangkan makanan bergoreng dan menggantikannya dengan kaedah stim atau merebus.

Gaya hidup kini juga amat kurang bergerak dan tidak melibatkan aktiviti bersenam. Kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa di sekolah, pusat-pusat tuisyen, di depan televisyen dan bermain video komputer.

Galakkan anak-anak membantu kerja rumah seperti menyapu, membersihkan halaman, berkebun dan beriadah bersama-sama yang lebih menyeronokkan di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan.

*Cara mengukur tekanan darah tinggi

Salah satu cara mengukur tekanan darah ialah dengan sfigmomanometer yang mempunyai lilitan lengan yang dipadankan kepada lengan atas pesakit. Bunyi denyutan darah dikesan dengan meletakkan stetoskop pada pelipat lengan.

Tekanan sistolik adalah tekanan darah yang mula-mula dikesan semasa mengukur tekanan darah. Ia adalah tekanan darah yang dikaitkan dengan tekanan yang berlaku ketika jantung sedang mengepam darah ke seluruh badan.

Tekanan diastolik pula adalah tekanan yang terakhir dikesan semasa mengukur tekanan darah. Ia dikaitkan dengan tekanan darah yang berlaku ketika jantung berehat seketika di antara denyutan jantung selanjutnya.

Oleh sebab itu, tekanan darah sistolik adalah lebih tinggi daripada tekanan diastolik.

Kedua-dua bacaan ini adalah penting untuk memberi gambaran yang lebih tepat tentang tekanan darah keseluruhan seseorang.

Kaedah lain untuk mengesan darah tinggi ialah menggunakan alat elektronik dan digital yang terdapat di pasaran.



http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1957.0

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...