Darah Tinggi Penyebab Strok, Sakit Jantung

 

Ia dilabel pembunuh senyap kerana boleh mengakibatkan beberapa komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan strok.

Dianggarkan 4.8 juta individu menghidap hipertensi di Malaysia. Hampir dua pertiga daripada individu yang menghidap hipertensi di Malaysia tidak menyedari mereka ada penyakit itu.

Hipertensi ialah kenaikan tekanan darah dalam arteri atau salur darah yang membawa darah dari jantung untuk dipam ke semua tisu dan organ badan kadar bacaan normal.

Ada dua jenis tekanan darah iaitu sistolik (tekanan darah ketika kontraksi otot jantung / bacaan atas) dan distolik (ketika jantung berehat mengepam / bacaan bawah).

Tekanan darah yang normal ialah bawah 120/80; tekanan darah di antara 120/80 dan 139/89 dipanggil ‘pra-hipertensi’, dan tekanan darah 140/90 ke atas dianggap tinggi.

Emosi mempengaruhi tekanan darah iaitu meningkat ketika perasaan gemuruh, tertekan dan sedih, manakala tekanan darah turun ketika kita dalam keadaan tenang dan santai.

Walaupun ada peningkatan dalam penyediaan rawatan di kalangan mereka yang didiagnosis, kadar kawalan adalah rendah.

Laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan, di kalangan pesakit tekanan darah tinggi diberi rawatan ubatan, hanya 26 peratus daripada mereka mencapai sasaran tekanan darah normal.

Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Prof Datuk Dr Azhari Rosman berkata, ada dua bentuk tekanan darah tinggi iaitu primer dan sekunder.

Tekanan darah tinggi primer yang sukar dikenal pasti puncanya membabitkan lebih 90 peratus kes manakala tekanan darah tinggi sekunder yang diketahui puncanya, membabitkan lebih 10 peratus kes.

Pelbagai masalah kesihatan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi sekunder seperti masalah buah pinggang, penyakit salur darah dan gangguan hormon.


Punca, kejadian dan faktor risiko

Banyak faktor boleh mempengaruhi tekanan darah, termasuk:


  • Kandungan air dan garam di dalam badan
  • Keadaan buah pinggang, sistem saraf atau saluran darah
  • Tahap hormon badan yang berbeza


    Risiko tekanan darah tinggi meningkat sekiranya:

  • Obes
  • Sering tertekan atau cemas
  • Minum alkohol terlalu banyak
  • Mengambil terlalu banyak garam dalam diet
  • Keluarga mempunyai sejarah kes tekanan darah tinggi
  • Menghidap diabetes
  • Merokok


    Pilihan rawatan

    Beberapa jenis rawatan diguna untuk merawat tekanan darah tinggi, termasuk:

  • Angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors
  • Angiotensin receptor blocker
  • Diuretik
  • Beta-blockers
  • Calcium channel blockers
  • Alpha-blockers
  • Alpha-agonists
  • Renin inhibitors
  • Gabungan ubatan

    Rawatan tanpa ubatan ialah dengan mengubah gaya hidup terutamanya mengurangkan pengambilan garam, mengurangkan berat badan berlebihan memenerusi diet, mengurangkan pengambilan gula/karbohidrat, lemak dan makanan berkalori tinggi dan senaman.

    Selain itu, hentikan tabiat merokok agar tahap kesihatan meningkat secara menyeluruh, kurangkan stres dengan mengawal puncanya, bersenam dan uruskan masa dengan bijak.

    Diuretik sering disyorkan sebagai terapi utama bagi kebanyakan pengidap hipertensi.

    Bagaimanapun, rawatan selain diuretik mungkin ditetapkan sebagai terapi pertama jika pesakit mempunyai masalah perubatan tertentu.

    Sebagai contoh, perencat ACE sering menjadi pilihan untuk pesakit diabetes.
    Jika satu daripada ubat tidak berkesan atau tidak dipersetujui, jenis ubat lain boleh didapati.

    Jika bacaan tekanan darah 20/10 mata lebih tinggi daripada sepatutnya, doktor mungkin mempertimbangkan untuk memulakan rawatan dengan dua ubat atau gabungan ubat.


    Gabungan terapi

    Garis panduan hipertensi mengesyorkan penggunaan ubat gabungan yang mempunyai mekanisme pelengkap tindakan berkesan mencapai matlamat tekanan darah.

    Tekanan darah sering tidak dapat dikawal oleh rawatan dengan agen antihipertensi tunggal.

    Terapi kombinasi umumnya menghasilkan pengurangan tekanan darah yang lebih besar dan boleh mencapai kawalan dalam melebihi 75 peratus.

    Pfizer Malaysia melancarkan rawatan baru untuk hipertensi iaitu kombinasi ubatan terapi daripada dua bahan aktif untuk memerangi penyakit itu.

    Gabungan Amlodipine Besylate dan Olmesartan Medoxomil menyumbang kepada kecekapan dan keberkesanan terapi hipertensi untuk menurunkan tekanan darah dalam lapan minggu berbanding monoterapi.

  • http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyebabstrok_sakitjantung//Article/article_print

    Tingkat Stamina Kardiovaskular


    Tahun baru juga masa yang sesuai untuk nafas baru, pengukuhan serta tumpuan semula usaha kepada sesuatu yang baru dan lebih baik.

    Sememangnya tahun baru sesuai untuk memulakan tabiat lebih sihat serta positif sambil mengambil iktibar perkara negatif yang berlaku pada diri sepanjang tahun lalu.

    Tidak dinafikan salah satu perkara penting yang tersenarai sebagai azam tahun baru ialah kesihatan serta kecergasan tubuh selain mengurangkan berat badan.

    Diri mula berazam untuk bersenam dan ke gimnasium sekerap mungkin, tidak kurang pula giat menyusun diet pemakanan.

    Walaupun pengurangan berat badan dan tampil menarik sering ada dalam perancangan hampir setiap individu, tidak ramai pula yang sedar kunci untuk mengelakkan penambahan berat badan serta menikmati kehidupan yang panjang juga bahagia adalah dengan menjaga jantung agar lebih kuat dan sihat.

    Justeru, kehadiran tahun baru ini boleh dijadikan alasan untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Daripada sekadar bersenam untuk menurunkan berat badan, tumpuan turut diberi dalam usaha meningkatkan stamina dan kecergasan kardiovaskular.

    Daripada hanya makan makanan berkhasiat untuk mendapat badan yang langsing, mengapa tidak makan dengan cara yang lebih baik untuk jantung yang lebih sihat?

    Daripada cuba mengelakkan keadaan sekitar yang berasap dan berjerebu, mengapa tidak menjauhkan diri daripada merokok?

    Pengurusan gaya hidup yang sihat sejak dulu ditekankan dalam masyarakat kita, namun saban tahun penyakit kardiovaskular dikaitkan antara penyebab utama kematian di negara ini.

    Jelas Perunding Pakar Kardiologi dari Hospital Assunta, Dr Lam Kai Huat, kadar yang tinggi bagi penyakit kardiovaskular boleh dikaitkan dengan fakta bahawa hampir separuh daripada lelaki dewasa Malaysia merokok (46.4 peratus) dan Malaysia juga mencatat lebih 10,000 kematian akibat penyakit berkaitan rokok setiap tahun.

    “Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 17 juta mati akibat penyakit jantung setiap tahun. Statistik ini lebih membimbangkan di Malaysia berikutan penyakit kardiovaskular terus menjadi punca utama kematian dalam kalangan lelaki dan wanita di negara ini. Ia melebihi 22,000 kematian setiap tahun,” katanya.

    Ini nyata berbeza dengan negara maju yang terus melihat penurunan dalam bilangan perokok. Di United Kingdom (UK) contohnya, hanya 21 peratus daripada penduduk lelaki adalah perokok.

    Begitu juga di Amerika Syarikat, angka ini berada pada 21.5 peratus. UK ketika ini menganggarkan kelaziman merokok dalam kalangan penduduk dewasa akan berada di bawah 18 peratus menjelang 2015.

    Hipertensi atau tekanan darah tinggi satu lagi faktor penyumbang utama ke arah penyakit jantung. Dengan bilangan 5.8 juta yang menghidapnya, Malaysia mempunyai kadar tekanan darah tinggi yang agak tinggi.

    Meskipun masalah ini dahulunya dikaitkan dengan peningkatan umur seseorang, kadar penyakit tekanan darah tinggi kini lebih menular dalam kalangan golongan muda.

    “Empat daripada 10 rakyat Malaysia berumur 30 tahun mempunyai tekanan darah tinggi. Ia kadar yang dianggap lebih tinggi berbanding kebanyakan negara maju lain,” tambah Dr Lam.

    Selain itu, obesiti dicanang sebagai salah satu penyumbang utama ke arah kadar penyakit jantung yang tinggi.

    Menurut Pengarah Urusan Fitness First Malaysia, Kurt Stocks, Malaysia kini dianggap negara dengan rakyat paling gemuk di Asia Tenggara susulan wujudnya masalah perancangan diet yang diamalkan masyarakat.

    “Ia membimbangkan kerana jika kita lihat pada kesihatan rakyat secara keseluruhan, ia menunjukkan seorang daripada tiga rakyat Malaysia mengalami masalah gemuk, 5.8 juta rakyat mengalami tekanan darah tinggi manakala lebih 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap kencing manis.

    “Gaya hidup sibuk tapi kurang terbabit dalam kegiatan aktif menjadi antara punca peningkatan penyakit jantung ini dalam kalangan masyarakat Malaysia.
    “Sebagai contoh, sebanyak 75 peratus rakyat Malaysia didapati tidak banyak melakukan senaman, malah ramai yang langsung tidak melakukannya.

    “Jadi, tidak hairanlah negara ini tersenarai antara negara paling gemuk di Asia Tenggara selain di tangga ke-10 negara paling malas di dunia berikutan kurangnya aktiviti fizikal dalam peratusan penduduk,” ujarnya.

    Pakar diet Hospital Assunta, Ho Shiau Fen, tidak ketinggalan menambah bahawa tabiat pemakanan yang diwarisi dan dibanggakan masyarakat ini lebih banyak membawa kepada kemudaratan berbanding kebaikan pada tubuh.

    “Tabiat pemakanan rakyat Malaysia sedikit sebanyak perlu dipersalahkan dalam masalah ini. Kita kurang bergerak tetapi lebih banyak makan.

    “Makanan tradisional kita pula mempunyai kolesterol yang tinggi dan majoriti penuh lemak tepu. Ia murah dan boleh didapati pada bila-bila masa. Kesenangan ini membuatkan kita terlalu bergantung kepada makanan tidak sihat ini sehingga menjadikan kita tidak lagi bimbang mengenai implikasi kesihatan jangka panjang,” katanya.

    Tambahnya, tidak salah menjamah makanan kegemaran yang penuh minyak dan lemak asalkan sifat kesederhanaan menjadi amalan ketika makan.


    Bagaimana diri sendiri yang menjadi pemusnah kepada kesihatan jantung kita

    -Tiga kesilapan utama yang dilakukan pada kesihatan jantung. Realiti yang membimbangkan ini diburukkan lagi oleh kesilapan biasa yang kita lakukan dalam pilihan gaya hidup kita. Jika kita tidak menjadikan intervensi dan kesedaran satu keutamaan, penduduk negara ini secara keseluruhannya akan menghadapi kesan kesihatan buruk.


    1. Gaya hidup tidak aktif dan langkah melampau dalam membina badan.

    Ujar Stocks, rakyat Malaysia berada di sisi bertentangan apabila dilihat dari sudut senaman.

    “Dari satu segi, ada yang tidak bersenam sama sekali. Mereka mengalami berat badan yang tidak seimbang dan menjalani gaya hidup yang tidak aktif. Hasilnya, golongan ini berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular.

    “Sebaliknya, ada yang terlalu memberi tumpuan pada senaman membina badan dan lebih mengambil berat membentuk badan serta otot yang besar dalam waktu singkat berbanding meletakkan sasaran untuk menjadi lebih cergas dan sihat.

    “Golongan ini sebenarnya tidak sedar mereka juga berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung, sama seperti mereka mengalami obes dan tidak aktif,” katanya.

    Stocks juga menjelaskan, masalah antara aktiviti membina badan dengan penyakit jantung ini apabila terlalu kerap berlatih bermatlamatkan badan sasa dalam tempoh singkat.

    Golongan ini lazimnya mengambil pelbagai jenis protein, kreatina, steroid, ramuan herba, serbuk penambah tenaga dan pil dalam pelbagai bentuk untuk mencapai sasaran tubuh sasa atau perut kempis dengan segera tapi jumlah usaha dan masa yang sedikit.

    Beberapa penyelidikan yang kini giat dijalankan bagi mengaitkan protein tertentu dengan peningkatan homosisteina dalam darah. Homosisteina adalah asid amino berhablur yang menjadi bahan perantara dalam pengubahan metabolik metionina kepada sisteina. Ia didapati menjadi faktor penyumbang kepada penyakit kardiovaskular.


    2. Kekurangan pemeriksaan kesihatan yang kerap dan memahami apa yang perlu dilakukan dalam kes serangan jantung atau kecemasan perubatan.

    Dr Lam menyatakan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak melakukan pemeriksaan kesihatan biasa. Ramai yang sekadar ke klinik untuk masalah kesihatan biasa seperti demam atau selesema, namun kurang yang mahu melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh secara berkala.

    “Mereka hanya akan melakukannya jika benar-benar perlu. Sebagai contoh, sesetengah orang melakukannya jika pemeriksaan kesihatan diperlukan sebagai sebahagian daripada proses permohonan kerja baru, untuk memulakan polisi insurans atau jika mereka sudah disahkan dan dirawat untuk sesuatu penyakit,” katanya.

    Bagaimanapun, penting bagi setiap individu berusia 20 tahun ke atas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setiap beberapa tahun, manakala mereka yang berusia 50 tahun ke atas perlu melalui pemeriksaan kesihatan menyeluruh setiap tahun.

    Pemeriksaan menyeluruh ini memberikan analisis menyeluruh keadaan kesihatan terkini seseorang individu dan dapat membantu mengenal pasti potensi masalah jantung yang boleh disahkan oleh diagnosis yang tepat.

    Selain itu, bercakap dengan pakar perubatan profesional ketika pemeriksaan kesihatan akan memberikan lebih banyak pendedahan dan kesedaran mengenai apa yang perlu dilakukan dalam kes serangan jantung atau kecemasan perubatan.


    3. Makan berlebihan dan pemakanan yang tidak baik.

    Menurut Ho, rakyat Malaysia secara amnya mempunyai tabiat pemakanan yang tidak baik dan ini sering bermula sejak di usia muda apabila anak-anak kecil dipengaruhi pemakanan ibu bapa mereka.

    “Jika mereka sudah biasa mengambil makanan yang tidak sihat di rumah ketika kecil, biasanya mereka akan membawa tabiat pemakanan ini hingga dewasa.

    “Kekurangan maklumat dan kefahaman dalam kalangan ibu bapa juga membuatkan ramai kanak-kanak negara ini mula mengalami masalah kegemukan.

    “Ada banyak garis panduan pemakanan dipaparkan media dan Internet tapi ramai yang jahil atau langsung tidak peduli mengenainya,” ujarnya.


    Apa yang boleh dilakukan untuk mengubah tabiat dan keadaan buruk ini?

    -Tiga petua penting untuk melindungi jantung

    1. Kepelbagaian! Tingkatkan variasi dalam rutin senaman.

    “Tidak kira apa pun tahap pengalaman dan kecergasan diri, tidak salah untuk mempelbagaikan rutin senaman dengan menyertakan tiga elemen teras iaitu senaman kardiovaskular, latihan ketahanan serta latihan imbangan dan latihan relaksasi,” kata Stocks.

    Senaman kardiovaskular adalah salah satu cara untuk menguatkan jantung dalam jangka masa panjang menjadikannya kurang terdedah kepada masalah di masa depan.
    Jenis senaman berintensiti tinggi ini menjurus kepada membuatkan jantung bekerja keras dan ia termasuk aktiviti berjalan, berbasikal, berenang atau menari.

    Jika diri pernah mengalami serangan jantung sebelum ini, berjalan pantas selama 10 hingga 15 minit boleh dianggap senaman kardio yang sangat baik.

    Stocks juga menambah bahawa latihan ketahanan boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan tahap kolesterol dan membantu mengawal tahap gula dalam darah dengan meningkatkan tisu otot lalu mengurangkan tisu lemak di dalam badan.

    Dengan lebih otot, metabolisme badan meningkat dan ini akan membolehkan diri mengekalkan berat badan sihat.

    Senaman seperti yoga dan pilates pula dikategorikan senaman imbangan dan latihan relaksasi yang baik. Ia membantu mengurangkan risiko hipertensi yang menjadi penyumbang kepada penyakit jantung.

    Selain itu, ia juga memperbaiki keseimbangan dan postur tubuh, memudahkan diri membina otot yang penting dalam peningkatan metabolisme.


    2. Mengetahui angka kesihatan diri.

    Dr Lam menggalakkan setiap individu mengikuti perkembangan profil kolesterol, tekanan darah dan gula dalam darah selain kerap memantaunya.

    “Tanya doktor jika diri perlu mendapatkan pemeriksaan protein C-reaktif (CRP), terutama jika kolesterol berada dalam julat normal.

    “Anggarkan risiko serangan jantung pada anda. Anda boleh menggunakan alat yang menyeluruh dan aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon pintar seperti Stress Check oleh Azumio dan PulsePoint oleh PulsePoint Foundation.

    “Aplikasi ini bukan saja membantu memantau kesihatan jantung diri, malah ahli keluarga yang dipercayai mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami serangan jantung,” katanya.


    3. Periksa label makanan dan gantikan dengan pilihan lebih sihat.

    Translemak yang biasa ditemui dalam makanan ringan, biskut, produk bakeri dan sesetengah marjerin di samping lemak tepu yang sering terdapat dalam mentega, krim masam dan mayonis biasa ditemui dalam semua makanan yang diproses seperti sosej iaitu penyumbang utama kepada penyakit jantung.

    “Penting membaca label makanan terlebih dulu agar diri menyedari bahan yang akan dimakan. Sebagai contoh, cara paling mudah untuk mengelakkan translemak adalah dengan mengelakkan makanan yang mengandungi minyak hidrogenasi dalam senarai ramuannya.

    “Label makanan juga akan memastikan kita boleh mengehadkan pengambilan lemak tepu hingga lima peratus atau kurang daripada jumlah pengambilan kalori harian, manakala menggantikan makanan sarat natrium diproses (iaitu sosej diproses) dengan makanan segar (seperti daging segar kurang lemak) boleh mengurangkan penggunaan natrium anda,” tegasnya.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tingkatstaminakardiovaskular//Article/article_print

    Ebby Yus Darah Tinggi


    Kuala Lumpur: “Sejak kebelakangan ini saya mudah berasa pening. Mungkin disebabkan rehat tidak mencukupi kerana jadual lakonan yang padat,” kata pelakon komedi popular, Ebby Yus, 48, yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak Ahad lalu akibat tekanan darah tinggi. Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia mengambil keputusan membuat pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan selepas mengalami pening kepala sejak minggu lalu. “Oleh kerana tidak sedap hati, saya meminta seorang rakan menghantar ke hospital Ahad lalu untuk pemeriksaan lanjut. Selepas pemeriksaan, doktor terpaksa menahan saya kerana tekanan darah agak tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Pelawak yang terkenal menerusi sitkom Karoot Komedia X itu berkata, dia hanya dibenarkan pulang ke rumah selepas tekanan darahnya stabil semula.

    “Doktor akan lakukan pemeriksaan lanjut esok (hari ini). Setakat hari ini (semalam) saya mudah pening apabila berdiri dan berjalan.

    “Memang tiada apa yang serius cuma saya risau untuk pulang jika apa-apa berlaku di rumah. Kita tengok macam mana jika keadaan saya sudah stabil, mungkin saya akan dibenarkan pulang.” katanya yang pernah menjalani pembedahan jantung pada 1999.

    Mengenai kerjaya, Ebby baru saja menjalani penggambaran program Aidilfitri berjudul Madu-Madu Raya untuk Astro, baru-baru ini.

    http://mobile.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tekanandarahtinggi/mobile/mArticle
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...