Darah Tinggi Semasa Mengandung

 

Sungguhpun kebanyakan wanita hamil hanya mengalami masalah yang ringan dan dianggap biasa sahaja, sebilangan kecil yang kurang bernasib baik mengalami masalah serius yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak yang dikandungnya.

Masalah yang meragut banyak nyawa ibu ialah kencing manis, darah tinggi dan kurang darah. Saya ingin membincangkan ketiga-tiga masalah ini secara khusus supaya pembaca sekalian dapat memahaminya dengan lebih mendalam dan dengan ini jagaan serta rawatan rapi dapat diberikan.

Ibu yang hamil memang kerap mengalami masalah penyakit darah tinggi. Penyakit ini mempunyai bahaya tersendiri iaitu jika tidak terkawal boleh mengakibatkan maut kepada ibu hamil, apabila ibu diserang sawan beranak (eclamptic fit). Mengikut kajian pada tahun 1984, penyakit sawan beranak adalah punca kedua terbesar kematian ibu. Punca utama kematian ialah tumpah darah ketika bersalin.

Kenapa Penyakit Darah Tinggi Berlaku

Ramai wanita tidak menyangka mereka boleh menghidap penyakit darah tinggi ketika hamil. Ini kerana mereka berkeadaan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit sebelum hamil. Tekanan darah tinggi adalah salah satu tanda penyakit yang digelar praeklampsia. Penyakit ini kerap dialami oleh wanita hamil dan sehingga kini doktor masih belum dapat mencari punca penyakit ini walaupun banyak kajian dan penyelidikan dilakukan.

Walaupun demikian doktor mengetahui yang penyakit ini lebih kerap dialami oleh ibu hamil sulung daripada ibu yang pernah hamil sebelumnya. Wanita hamil yang meningkat umurnya melebihi 35 tahun juga kerap mengalaminya. Begitu juga dengan wanita kembar atau sedang menghidap penyakit lain semasa hamil seperti penyakit buah pinggang atau kencing manis.

Tanda Lain Praeklampsia

Selain daripada tekanan darah tinggi tanda lain praeklampsia ialah bengkak kaki sama ada kedua-dua belah atau sebelah sahaja dan kencing kotor iaitu air kencing mengandungi albumin. Penyakit ini biasanya timbul di peringkat akhir kehamilan iaitu apabila kehamilan masuk ke peringkat lapan bulan. Adalah dipercayai wanita yang menghidap penyakit ini mengeluarkan sejenis racun daripada kandungannya. Tidak dapat dipastikan sama ada racun ini dikeluarkan oleh uri atau bayi, tetapi racun ini memberi kesan kepada saluran darah ibu.

Ia menyebabkan sedikit kerosakan dengan menimbulkan beberapa kesan seperti timbunan fibrin pada saluran darah di seluruh badan. Saluran darah ibu kemudian menjadi kuncup dan mudah ditembusi cecair darah. Kerosakan ini berlaku di semua organ yang penting seperti buah pinggang, hati dan otak. Ekoran dari kerosakan ini tekanan darah meningkat. Albumin dari darah akan keluar melalui saluran perkencingan kerana berlakunya kebocoran pada saluran darah dalam buah pinggang.

Jika keadaan ini berlarutan dan tidak dikawal, kerosakan pada saluran darah di seluruh tubuh boleh menjadi sangat teruk menyebabkan buah pinggang terus rosak dan tidak boleh menjalankan tugas langsung. Ini akhirnya akan menyebabkan apa yang digelar acute renal shut down. Kerosakan pada otak juga boleh berlaku menyebabkan saluran darah ke otak pecah dan darah tumpah ke dalam tisu otak. Keadaan inilah ynag menyebabkan ibu itu mendapat sawan beranak. Pada peringkat ini, ibu berkenaan dalam keadaan sangat berbahaya dan sebahagtian besar daripada mereka akan menemui maut akibat kerosakan otak dan buah pinggang.

Bukan sahaja tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan sawan beranak, penyakit buah pinggang yang berlarutan sebelum wanita itu hamil juga boleh menyebabkan tekanan darah meningkat tinggi. Ada segolongan wanita lain mengalami penyakit darah tinggi sebelum hamil. Wanita seperti ini termasuk dalam golongan penghidap apa yang digelar essential hypertension. Golongan ini biasanya telah menghidap masalah darah tinggi sebelum mereka hamil. Tekanan darah tinggi ini akan berterusan sehingga dia melahirkan anak. Biasanya penyakit darah tinggi jenis yang disebut tadi tidak begitu berbahaya seperti penyakit darah tinggi yang dialami oleh sebab praeklampsia.

Mengesan Darah Tinggi

Penting bagi setiap wanita yang ingin hamil mendapatkan pemeriksaan badan bagi menentukan mereka sihat. Antara pemeriksaan yang saya maksudkan ialah pemeriksaan tekanan darah, ujian darah untuk mengukur paras hemoglobin, ujian air kencing untuk mengesan penyakit buah pinggang dan kencing manis serta penyakit lain seperti penyakit jantung. Saya anggap pemeriksaan dan ujian sebelum seseorang wanita itu hamil adalah penting untuk menentukan kesihatan dan kesejahteraan ibu dan bayi yang akan dilahirkan.

Begitu juga apabila wanita itu mengetahui dia hamil, patutlah mendapatkan pemeriksaan di klinik ibu mengandung dengan secepat mungkin untuk tujuan yang sama. Jika terdapat sesuatu penyakit, bolehlah diberi rawatan dan jagaan yang sewajarnya sejak dari peringkat awal lagi. Pemeriksaan setiap bulan khususnya di peringkat akhir kehamilan sangat penting untuk mengesan penyakit darah tinggi.

Mengatasi Masalah Darah Tinggi

Jika seseorang wanita didapati menghidap penyakit darah tinggi, perkara pertama yang dilakukan oleh doktor dan kakitangan perubatan ialah menentukan punca penyakit ini.

Beberapa ujian dan penyiastan perlu dilakukan untuk mengetahui punca tekanan darah tinggi. Sebahagian besar daripada kes ini adalah disebabkan praeklampsia yang tidak diketahui puncanya.

Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi ketika hamil munkin perlu dimasukkan ke hospital untuk mengawasi penyakitnya. Seperti yang saya katakan tadi, jika keadaan ini tidak terkawal ia boleh mengancam nyawa ibu dan bayi. Kemungkinan bayi akan mati dalam kandungan. Bayi ini juga biasanya lahir dengan timbang berat yang ringan dan kadangkala lahir sebelum cukup bulan. Kedua-dua masalah ini boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan bayi di masa hadapan.

Sebenarnya tidak ada ubat yang khusus bagi penyakit praeklampsia melainkan dengan memberi rehat yang cukup. Doktor selalunya mencadangkan ibu berehat di hospital kerana dia mungkin diganggu oleh ahli keluarganya jika berehat di rumah. Ini mungkin menyebabkan fikirannya tidak tenteram dan tidak boleh memulihkan keadaannya. Semasa di hospital pengawasan boleh dilakukan pada ibu dan bayi untuk menentukan keadaannya tidak berbahaya.

Kadangkala para doktor perlu memberi ubat untuk menenangkan fikiran dan memudahkan dia tidur kerana kedua-duanya sangat penting dalam memulihkan penyakit tersebut. Jika tekanan darah tingginya melambung naik dan tidak dapat dikawal dengan cara rehat atau cara lain, para doktor akan memberi ubat khusus untuk menurunkan tekanan darah.

Perlu ditegaskan ubat untuk merawat penyakit praeklampsia tidak boleh memulihkan atau merawat penyakit praeklampsia kerana seperti yang saya nyatakan kita belum mengetahui punca sebenarya. Rawatan dengan ubat hanyalah untuk mengurangkan tanda-tanda seperti tekanan darah tetapi tidak memberi kesan rawatan yang mutlak terhadap penyakit tersebut.

Cara Kelahiran Bayi

Ibu-ibu yang mengalami masalah darah tinggi kadangkala perlu melahirkan kandungan lebih awal daripada biasa. Seringkali kelahiran perlu dipaksakan secara induction of labour lebih awal iaitu satu atau dua minggu sebelum tarik kelahiran sebenar. Dalam keadaan cemas apabila penyakit ini menjadi sangat teruk seperti yang ditunjukkan oleh tekanan darah tinggi ataupun kencing manis yang mengandungi terlalu banyak albumin, atau ada tanda-tanda hendak timbul sawan, maka kelahiran dengan serta merta perlu dilakukan. Kadangkala dalam keadaan begini, doktor perlu melakukan kelahiran secara pembedahan sesarean untuk menyelamatkan bayi dan ibu kerana dikhuatiri sawan beranak mungkin berlaku.

Malangnya, doktor seringkali hanya boleh menyelamatkan nyawa ibu tetapi tidak begitu bernasib baik dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi. Dalam keadaan yang cemas biasanya bayi itu terlalu kecil dan tidak cukup bulan dan dengan itu peluangnya untuk hidup adalah tipis.

Pencegahan

Penting bagi ibu yang mengandung sulung atau mereka yang melebihi umur 35 tahun ketika hamil atau mengalami kerumitan ketika hamil, mendapatkan pemeriksaan di peringkat awal kehamilan. Wanita juga patut mengawal tubuh badan mereka. Jangan biarkan badan terlalu gemuk kerana ini juga satu faktor yang boleh mencetuskan masalah darah tinggi ketika hamil. Ketika hamil penting baginya mengawal makanan yang mengandungi banyak kanji dan gula.

Mengikut pengalaman saya, ramai wanita mengandung makan berlebihan kerana selera mereka meningkat ketika hamil. Ini menyebabkan mereka mengalami masalah darah tinggi. Penyakit jangkitan kuman di saluran perkencingan juga perlu mendapat perhatian di peringkat awal kerana jika tidak dikawal ia boleh merosakkan buah pinggang dan seterusnya menyebabkan penyakit darah tinggi. Ada kepercayaan jika pengambilan garam dalam makanan dapat dikurangkan, ia boleh menjauhkan penyakit darah tinggi. Sebenarnya tidak ada bukti khusus dan mutlak bagi kepercayaan tersebut. Saya tidak menghadkan pengambilan garam kepada penghidap darah tinggi ketika mereka hamil.

http://www.hamidarshat.com/zuriat-buku-138/137.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...