3 Fakta Tekanan Darah Tinggi Yang Mesti Dibaca

 

Sepertimana yang kita semua telah sedia maklum, diantara salah satu penyebab berlakunya kerosakan pada organ buah pinggang ialah berpunca dari penyakit tekanan darah tinggi yang tidak dikawal. Jadi, kesimpulannya untuk menjaga buah pinggang kita agar terus berfungsi dengan baik ialah dengan memastikan tekanan darah kita juga dalam keadaan yang baik. Jadi, mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyakit tekanan darah tinggi adalah satu jalan penyelesaian terbaik.
Apakah penyakit tekanan darah tinggi?

Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah satu keadaan yang berlaku apabila tekanan di dalam arteri anda adalah konsisten di atas julat normal. Tekanan darah adalah daya darah menolak ke arah dinding arteri.

Hipertensi juga dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak mempunyai gejala dan boleh menyebabkan penyakit serius jika ia tidak dirawat dalam jangka masa yang lama.

Bagaimanakah saya dapat mengetahui yang saya mempunyai hipertensi?

Pada kebiasaannya seseorang itu tidak dapat memberitahu secara pasti yang dia mempunyai tekanan darah tinggi. Satu-satunya cara untuk memastikan tekanan darah anda ialah dengan berjumpa dengan doktor untuk mengukur tekanan darah anda. Dua nombor digunakan dalam ujian tersebut bagi memastikan ukuran tekanan darah anda samada mempunyai tekanan darah tinggi ataupun tidak.

Tekanan di atas dipanggil tekanan sistolik darah. Ia adalah ukuran tekanan darah apabila jantung berdegup. Manakala nombor di bawah pula dipanggil sebagai tekanan darah diastolik dan ia adalah ukuran tekanan apabila jantung berehat. Jika seseorang mempunyai tekanan darah 130/80, ini bermakna pesakit itu mempunyai bacaan sistolik 130 dan 80 tekanan darah diastolik.

Unit ukuran tekanan darah ialah dalam milimeter merkuri dan ia biasanya ditulis sebagai mmHg. Oleh itu tekanan darah 130/80 ditulis sebagai 130/80 mmHg.

Bilakah tekanan darah saya dianggap tinggi?

Tekanan darah tidak sama sepanjang hari. Ia berbeza diantara waktu siang dan malam, ketika bersenam, berseronok atau ketika sedang berhadapan dengan tekanan. Oleh kerana disebabkan perubahan yang normal ini, adalah penting untuk sentiasa mengukur tekanan darah anda beberapa kali pada waktu yang berbeza.

Jika bacaan tekanan darah secara konsisten sama atau lebih tinggi dari 140 sistolik dan 90 diastolik atau kedua-duanya, maka doktor akan mendiagnosis anda mempunyai tekanan darah tinggi atau pun hipertensi.

http://buahpinggangsihat.com/tekanan-darah-tinggi/3-fakta-tekanan-darah-tinggi-yang-mesti-dibaca/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...