Petua Menurunkan Tekanan Darah Tinggi


Di sini terdapat beberapa petua dari beberapa artikel mengenai cara untuk menurunkan darah tinggi terutamanya kepada golongan yang sudah berusia. Berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan.

- Minum air rebusan taugeh seminggu sekali. Air dan taugeh hendaklah sama banyak nisbahnya.

- Rebus beberapa helai daun pandan wangi dengan dua gelas air. Biarkan hingga tinggal setengah gelas sahaja. Amalkan minum setiap pagi dan petang.

- Makan 3 ulas bawang putih mentah. Jika tidak tahan baunya, bolehlah direbus.

- Parut kunyit sebesar ibu jari. Perah airnya dan tambah dua sudu madu. Minum ramuan ini setiap pagi dan petang.

- Makan biji buah Peria.

- Minum air rebusan pokok Hempedu Bumi Pokok Cerita.

- Minum air rebusan daun Pokok Ati-ati.

- Jadikan pucuk Pokok Pala sebagai ulaman.

- Minum air rebusan Pokok Dukung Anak.

Sebagai tambahan untuk ibu-ibu yang mengandung yang mengalami tekanan darah tinggi, minumlah air kembang semangkuk atau biji selasih campur dengan air suam atau air sirap. InsyaAllah tekanan darah menurun.

http://101petua.blogspot.com/2010/02/petua-menurunkan-tekanan-darah-tinggi.html

Darah Tinggi Penyakit Seumur Hidup

 
HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.

Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.

“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.

Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

Satu daripada dua

Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.

“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.

Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.

“Dari sudut homeopati, keadaan pesakit darah tinggi termasuk simptom yang mereka alami akan dinilai terlebih dahulu.

“Selepas didiagnosis, mereka akan diberikan ubat-ubatan yang bersumberkan alam semula jadi seperti garam galian,” katanya.

Ujarnya lagi, garam galian berbeza daripada garam yang terdapat dalam makanan yang menjadi punca darah tinggi.

Katanya, garam galian lebih selamat dan bersumberkan sulfur, magnesium dan kapur.

“Ia selamat dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah seseorang,” katanya.

Akupuntur

Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.

Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.

“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.

“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.

Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.

“Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.

Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.

“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.

This article was publised in www.kosmo.com.my on 17 October 2010.

Bijirin Oat Cegah Risiko Darah Tinggi & Sakit Jantung




ADAKAH jantung anda dalam keadaan baik? Ia perlu difikirkan setiap wanita apabila penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu wanita di Malaysia malah lebih bahaya daripada semua penyakit kanser secara keseluruhan.

Mulai 1990 sehingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sebanyak 135 peratus. Pada 2006, 23 peratus kematian wanita disebabkan penyakit jantung, suatu yang amat membimbangkan apabila ia membabitkan satu kematian bagi setiap empat wanita.

Beberapa cara berikut dapat memberi penerangan mengenai keadaan jantung.

Pinggang besar, risiko besar

Lemak di sekeliling pinggang dan kawasan perut menandakan risiko lebih besar daripada lemak pada sebahagian bawah tubuh badan.

Ini bermakna wanita yang mempunyai bentuk badan buah epal iaitu lemaknya tertumpu di dalam perut berbanding punggungnya mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih besar daripada wanita yang mempunyai bentuk badan buah pear iaitu wanita yang mempunyai punggung lebih besar dan pinggul kecil.

Lemak abdomen juga boleh diketahui dengan mengukur lilitan pinggang. Ukuran melebihi 80 sentimeter (32 inci) menandakan anda obes dan mempunyai risiko besar untuk mendapat sakit dada, sakit jantung ataupun strok dan diabetes.

Indeks jisim tubuh

Indeks berkenaan menunjukkan hubungan antara berat dan ketinggian iaitu berkait rapat dengan lemak badan dan risiko kesihatan.

Bahagi berat anda dalam kilogram dengan dua kali ketinggian dalam meter (kilogram/m2). Indeks jisim tubuh 25.0 hingga 29.9 adalah berlebihan berat badan dan lebih daripada 30 adalah obes.

Berlebihan berat badan atau obes menjadikan fungsi metabolik anda dalam satu keadaan huru-hara dan membawa kolesterol darah tinggi, glukosa darah tinggi dan tekanan darah tinggi – tiga faktor utama kepada penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Paling teruk apabila anda mempunyai salah satu daripadanya, ia mengambil masa tidak lama untuk mendapatkan dua yang lain.

Kolesterol

Paras kolesterol juga dapat menentukan risiko anda mendapat penyakit jantung. Doktor mencadangkan wanita harus memastikan jumlah paras kolesterol mereka di bawah 5.2mmol/L, kolesterol tidak baik (LDL-C) lebih rendah daripada 2.6 mmol/L dan kolesterol baik (HDL-C) lebih tinggi daripada 1.3 mmol/L.

Terlalu banyak kolesterol tidak baik memang berbahaya untuk kesihatan kerana ia menjadi toksik dan menghasilkan plak (satu proses dinamakan aterosklerosis). Ia menyempitkan ruang salur darah yang akan menyekat pengaliran darah.

Apabila aliran darah jantung tersumbat, seseorang akan mengalami serangan jantung dan jika berlaku kepada otak, seseorang itu akan mendapat strok.

Berikut tip berguna untuk melindungi jantung:

1. Rendah dan tinggi yang betul. Langkah pertama mengamalkan diet yang memastikan jantung sihat dan berkeadaan baik. Dua prinsip mudah untuk diingati – rendah lemak, tinggi serat.
Kurangkan makanan berlemak contohnya makanan bergoreng dan berminyak. Dapatkan makanan yang dikukus, direbus, dibakar atau dipanggang.
Pada masa sama, pilih makanan yang tinggi serat. Mulakan mengambil sayur-sayuran yang dimasak sedikit, mengambil buah-buahan dengan kulit, memilih bijirin dan roti gandum penuh. Satu sumber makanan yang kaya dengan serat adalah oat.

2. Faktor oat. Oat adalah 100 peratus makanan semula jadi yang boleh melakukan satu perubahan besar untuk kesihatan jantung. Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Oat adalah makanan yang kaya dengan serat larut, sejenis serat yang terbukti secara klinikal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Ia mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam perut dan menghalang kolesterol daripada memasuki aliran darah, menurunkan kolesterol darah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.
Selain merendahkan paras kolesterol, oat turut membantu mengurangkan berat badan. Sebagai satu sumber tenaga rendah lemak, oat memerlukan masa lebih panjang untuk dihadamkan. Ini bermakna, ia membuatkan kita kenyang untuk jangka masa yang panjang.

3. Nutrien lengkap. Memandangkan serat larut oat amat penting, terdapat tiga nutrien lain yang harus diambil oleh wanita sebagai keperluan harian mereka iaitu kalsium, zat besi dan asid folik.
Ketumpatan tulang akan merosot dengan peningkatan umur dan bilangan kalsium mencukupi untuk memperbaiki kesihatan tulang serta menghalang osteoporosis. Ini kritikal kerana kajian menunjukkan seorang daripada dua wanita berumur lebih 50 tahun mempunyai masalah osteoporosis.
Zat besi membantu dalam pembentukan sel darah merah dan peredaran darah yang sihat. Kekurangan zat besi membawa kepada kekurangan darah yang biasa berlaku di kalangan wanita ketika datang haid.
Asid folik adalah satu kemestian untuk semua wanita di peringkat usia subur. Asid folik bukan saja boleh menyokong penghasilan sel darah merah dan menghalang kekurangan darah, ia dapat mengurangkan risiko mendapat bayi dengan satu kecacatan tiub neuron.

4. Kekal aktif. Wanita hari ini kekal aktif berterusan dan ia bukan mudah untuk makan secara betul. Justeru, makanan yang mudah menjadi pilihan.
Pilih produk makanan yang mengandungi cukup nutrien seperti serat larut oat, asid folik, zat besi dan kalsium yang boleh diambil dengan mudah.

5. Mulakan langkah. Sesibuk mana jadual anda, luangkan waktu untuk bersenam. Anda sudah menikmati makanan dengan betul, mengapa tidak memaksimumkan faedah dengan menambah senaman biasa?
Misalnya, anda boleh memaksimumkan faedah pengambilan kalsium dengan latihan berat untuk mengurangkan risiko osteoporosis. Apa yang diperlukan adalah sekurang-kurangnya 20 minit senaman setiap hari dalam seminggu.

Walau apapun umur anda, belum terlambat untuk berfikir mengenai jantung anda. Lakukan sedikit perubahan menerusi cara makan serta senaman, mulakan sedikit langkah dan berusaha.

http://mohdkhalilsaba.com/v2/tag/oat-dan-darah-tinggi/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...