Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/07/04
APA kaitan usia dengan sikap? Mungkin tidak jika ia membabitkan soal biasa, tetapi apabila menyentuh ancaman penyakit bahaya seperti darah tinggi sikap tak ambil pusing itu ibarat jerat yang bakal mengundang padah.
Analisis yang dibentangkan di Beijing, baru-baru ini, berdasarkan Kajian Prospektif Epidemiologikal Kawasan Bandar dan Pedalaman (PURE). Selain Malaysia, kajian itu dijalankan di Kanada, Sweden, China, Argentina, Turki dan Iran.
“Di seluruh dunia, tekanan darah tinggi diketahui sebagai punca utama masalah kardiovaskular tetapi amat malang masih ada sekelompok penduduk yang tidak peduli atau kurang menyedari masalah ini sekali gus tidak mengawal tekanan darah dengan baik,” kata Penolong Profesor di Universiti McMaster Hamilton, Kanada, Dr Clara Chow.
Pandangan itu turut dipersetujui jurucakap Persatuan Hipertensi Amerika Syarikat, Dr Daniel Lacklan.
“Berbanding lelaki sudah melewati usia 40-an, lelaki muda terutama masih bujang ini sukar mempercayai yang mereka juga berisiko hidap darah tinggi dan tidak berminat menemui doktor.
“Sikap itu dikesali kerana hakikatnya, mereka jugalah kelompok yang paling mudah menangani ancaman darah tinggi hasil perubahan gaya hidup seperti menguruskan badan. Rawatan adalah kunci utama kelangsungan hayat pengidap darah tinggi,” katanya.
Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh mengundang padah kerana mendedahkan individu kepada ancaman penyakit lain seperti sakit jantung, serangan angin ahmar atau strok dan kegagalan buah pinggang.
Selain itu, kajian terbaru itu turut menunjukkan tahap kesedaran antara penduduk bandar dan luar bandar di negara berpendapatan tinggi dengan negara miskin juga sangat jauh berbeza.
Di kawasan bandar dan luar bandar di negara yang berpendapatan tinggi, kadar kesedaran mengenai tekanan darah tinggi hampir sama iaitu 57 peratus di kawasan bandar dan 54 peratus di luar bandar.
Pengarah Pusat Kajian Strok dan Neurosains Gunaan, Universiti Auckland New Zealand, Dr Valery Feigin pula berkata terdapat bukti kadar kejadian strok di negara sedang membangun meningkat lebih daripada 100 peratus sejak empat dekad lalu sedangkan di negara membangun kes serangan strok sudah menurun 42 peratus dalam tempoh yang sama.
Jelasnya, di negara sedang membangun dalam tempoh empat dekad lalu kadar serangan strok meningkat 52 kes di kalangan 100,000 orang (dari 1970 hingga 1979) kepada 117 di kalangan 100,000 orang sepanjang tahun 2000 hingga 2008.
Bagaimanapun, kadar strok menurun daripada 163 di kalangan 100,000 orang untuk tempoh 1970 hingga 1979 kepada 94 kes untuk setiap 100,000 orang bagi tahun 2000 hingga 2008 di negara membangun.
Lebih daripada itu, kadar purata kes strok yang membawa kepada kematian adalah 27 peratus di negara sedang membangun pada tahun 2000 hingga 2008 berbanding 25 peratus di negara membangun untuk tempoh yang sama.
“Pola perubahan dalam kes strok yang membawa mortaliti disumbangkan oleh perubahan dalam kadar kejadian strok. Angka ini menunjukkan perlunya langkah segera bagi menangani epidemik strok ini. Kajian ini juga sangat menakutkan dan merupakan beban pada negara sedang membangun,”katanya.
Panduan Asas Tekanan Darah
Kategori Systolic (mm Hg) Diastolic (mm Hg)
Optima kurang 120 dan kurang 80
Normal kurang 130 dan kurang 85
Normal (tinggi) 130-139 atau 85-89
Info: Kawal tekanan darah tinggi
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakimudatakendahdarahtinggi/Article/index